MPOB: Stok MSM Naik 13.25 Peratus Pada Ogos 2022

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — Stok minyak sawit mentah (MSM) Malaysia bagi Ogos 2022 meningkat sebanyak 13.25 peratus kepada 1.02 juta tan daripada 905,946 tan pada Julai, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Selain itu, inventori minyak sawit diproses meningkat 23.29 peratus bulan ke bulan kepada 1.07 juta tan daripada 866,858 tan sebelum ini, katanya dalam satu kenyataan mengenai prestasi industri minyak sawit Malaysia bagi Ogos 2022.

“Secara keseluruhan, stok minyak sawit meningkat 18.16 peratus bulan ke bulan kepada 2.09 juta tan daripada 1.77 juta tan sebelum ini,” kata MPOB.

 Bagi pengeluaran, ia berkata pengeluaran MSM meningkat sebanyak 9.67 peratus kepada 1.72 juta tan pada Ogos berbanding 1.57 juta tan pada Julai.

Ia berkata pengeluaran isirung sawit meningkat 10.57 peratus bulan ke bulan kepada 424,234 tan daripada 383,669 tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran minyak isirung sawit mentah meningkat 5.94 peratus kepada 191,347 tan berbanding 180,612 tan pada Julai.

Sementara itu, MPOB berkata eksport minyak sawit susut sebanyak 1.94 peratus bulan ke bulan kepada 1.30 juta tan daripada 1.32 juta tan pada Julai, manakala eksport minyak isirung sawit meningkat sebanyak 32.58 peratus bulan ke bulan kepada 101,674 tan, daripada 76,689 tan sebelumnya.

“Eksport oleokimia merosot 3.03 peratus pada Ogos kepada 214,721 tan daripada 221,424 tan pada Julai, manakala eksport biodiesel meningkat 82.23 peratus bulan ke bulan kepada 26,244 tan daripada 14,401 tan sebelumnya,” katanya.

Agensi itu berkata import MSM Malaysia pada Ogos 2022 melonjak 135.14 peratus kepada 836 tan daripada 356 tan pada Julai, manakala import minyak sawit yang diproses meningkat 11.02 peratus bulan ke bulan kepada 144,616 tan, dan jumlah import minyak sawit meningkat 11.36 peratus bulan ke bulan kepada 145,452 tan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/mpob-stok-msm-naik-13-25-peratus-pada-ogos-2022/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama