Pengecualian Visa, Yen Lemah Akan Lonjak Pelancongan, Beli-Belah Di Jepun

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Langkah Jepun untuk membenarkan pelancongan dan perjalanan bebas tanpa visa dalam situasi mata wang yen yang lebih rendah akan meningkatkan pelancongannya, termasuk menarik lebih ramai pengunjung dari Malaysia dan merangsangkan pemulihan sektor yang paling teruk terjejas ekoran pandemik COVID-19.

Pengarah Eksekutif Pejabat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO) Kuala Lumpur, Fumi Matsumoto berkata pengumuman terbaru mengenai pelonggaran sekatan perjalanan dijangka melonjakkan ekonomi dengan pelancongan masuk diunjurkan meningkat dibantu oleh penyusutan nilai yen.

Berkuat kuasa 11 Okt 2022, Jepun akan menerima semula perjalanan individu dan kemasukan tanpa visa untuk pelancong asing serta memansuhkan had ketibaan harian.

Sebelum ini, pelancong hanya boleh melakukan perjalanan ke Jepun menerusi pakej pelancongan.

“Pengembara ke Jepun akan mendapat lebih banyak manfaat daripada aktiviti makan dan beli-belah berikutan yen lemah walaupun harga pakej pelancongan meningkat 20 hingga 30 peratus disebabkan harga bahan api yang melambung tinggi dan pengaturan perjalanan normal baharu,” katanya kepada Bernama pada Ahad.

Beliau berkata hubungan dua hala yang terjalin sejak sekian lama dan Dasar Pandang Ke Timur (DPT) yang meraikan ulang tahun ke-40 tahun ini, akan terus menggalakkan rakyat Malaysia melawat Jepun termasuk tiga destinasi pilihan utama iaitu Hokkaido, Tokyo dan Osaka.

Bagi pihaknya, JNTO telah mempromosikan daya tarikan Jepun walaupun semasa pandemik dan kini berusaha sebaik mungkin untuk meningkatkan ketibaan pelancong Malaysia di Jepun sejak sekatan kemasukan sempadan dilonggarkan secara beransur-ansur mulai 10 Jun, 2022.

Matsumoto berkata walaupun sekatan perjalanan, dengan pelancong perlu melakukan perjalanan melalui pakej pelancongaan, telah dilonggarkan namun bakal pelancong perlu mengemukakan sama ada sijil vaksinasi COVID-19 bagi tiga dos vaksin yang diluluskan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atau keputusan PCR negatif yang telah dilakukan dalam masa 72 jam sebelum meninggalkan negara asal.

Jepun menarik kira-kira setengah juta pelancong dari Malaysia sebelum pandemik pada 2019.

“Kami menjangkakan angka ini akan mengambil masa beberapa tahun lagi untuk kembali kepada paras yang sama sebelum pandemik,” katanya sambil menambah 1,600 rakyat Malaysia telah melawat Jepun pada Julai 2022.

Kira-kira 468,360 rakyat Malaysia melawat Jepun pada 2018 dan 501,592 pada 2019 sebelum pandemik melanda.

JNTO baru-baru ini menganjurkan Pameran Pelancongan Jepun (JTF) 2022 secara hibrid mulai 12 hingga 21 Sept, mempromosikan pelancongan ke Jepun.

Kembali diadakan selepas tiga tahun dan pada ulang tahun ke-40 DPT, acara langsung JTF 2022 di Pusat Beli-belah Tropicana Gardens dari 16 hingga 18 Sept itu menampilkan  21 organisasi yang mengambil bahagian dan acara dalam talian yang boleh diikuti menerusi laman web JNTO mempunyai 26 organisasi.

Matsumoto berkata lebih 60,000 pengunjung direkodkan bagi JTF 2022 secara fizikal manakala menerusi dalam talian pula mencatatkan lebih 90,000 pengunjung, satu petanda bahawa rakyat Malaysia tidak sabar untuk melawat Jepun lagi.

JTF 2022 menyaksikan 13 kerajaan wilayah Jepun dan organisasi berkaitan mengambil bahagian dalam talian untuk mempromosikan wilayah masing-masing seperti Okinawa yang memilki pantai yang indah, dengan “tujuh daripadanya telah datang ke Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada JTF 2022”.

Sejumlah 31.8 juta pelancong di seluruh dunia melawat Jepun pada 2019.

Sara Yong dari Biro Pelancongan Jepun berkata sambutan terhadap JTF 2022 adalah sangat baik memandangkan ramai yang telah membeli tiket dan menempah lawatan prarancangan untuk musim bunga sakura.

Majoriti ramai rakyat Malaysia yang melancong ke Jepun cenderung mengambil Pakej ke Jepun
selama 5 Hari 4 Malam dari agensi pelancongan ke Jepun yang sah dan berdaftar.

Dari akhir Mac hingga pertengahan April atau awal Mei, bunga sakura yang menjadi ikon negara itu menarik perhatian pengunjung dan penduduk tempatan apabila bunga-bunga indah ini menjadi hamparan melitupi Jepun dengan keindahan warna merah jambu lembut.

“Sekarang dengan pembukaan semula sempadan, mereka tidak sabar untuk kembali ke Jepun selepas dua tahun tidak berbuat demikian, dan kami menerima banyak pertanyaan untuk urusan lawatan dan perjalanan.

“Di Hokkaido, pelancong Malaysia suka menikmati musim sejuk dan salji,” katanya, merujuk kepada hakikat bahawa rakyat Malaysia tidak perlu pergi jauh hingga ke barat, sebaliknya hanya berkunjung ke negara terdekat untuk mengalami musim sejuk.

Beliau berkata JNTO telah mempromosikan Jepun sebagai destinasi pelancongan melalui Facebook, Instagram dan laman webnya serta kempen dalam talian untuk menarik dan memperkenalkan permata Jepun kepada rakyat Malaysia.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pengecualian-visa-yen-lemah-akan-lonjak-pelancongan-beli-belah-di-jepun

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA