Penggiat Industri Saran Pelaburan Untuk Tambah Baik Pengangkutan Di Pantai Timur, Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Kerajaan perlu melabur lebih banyak untuk menambah baik sistem pengangkutan awam menerusi Bajet 2023 terutamanya bagi rangkaian jalan raya di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak untuk menangani kesesakan lalu lintas yang semakin buruk di negara ini, menurut penggiat industri.

Pengarah Urusan syarikat perunding alam sekitar ERE Consulting Group Sdn Bhd Dr G Balamurugan berkata Sabah amat memerlukan sistem pengangkutan awam yang lebih baik terutamanya di Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan menyediakan peruntukan yang lebih baik dalam pembentangan bajet pada 7 Oktober.

“Kami juga berharap Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang akan dapat beroperasi tidak lama lagi. Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching juga sepatutnya bakal beroperasi pada tahun depan dan kami berharap bajet tersebut akan menyokong inisiatif-inisiatif ini,” katanya kepada Bernama. 

Perkhidmatan penumpang bagi ART, sistem kereta api tanpa landasan yang direka bentuk untuk pengangkutan penumpang awam bandar akan diperkenalkan secara berperingkat mulai suku keempat 2025.

“Kami melihat sektor pengangkutan sebagai sektor amat penting kepada negara untuk melabur pasca pandemik COVID-19 termasuk projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa (MRT3), Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Sistem Transit Rapid (RTS) berikutan projek-projek ini akan merangsang industri rel Malaysia ke persada dunia,” katanya.

Balamurugan berkata beliau berharap kerajaan akan memulakan laluan rel lain seperti Seremban Bypass dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang bersepadu, berpatutan dan lancar.

Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pelaksanaan beberapa projek berskala besar tidak akan ditangguhkan memandangkan nilai projek-projek ini telah ditetapkan mengikut perjanjian awal meskipun ringgit menyusut pada masa ini.

Beliau berkata projek-projek lain termasuk ECRL, MRT 2, MRT 3, Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-JB Sentral dan RTS ke Singapura akan diteruskan seperti dijadualkan.

Sehubungan itu, Wee berkata kementerian itu akan menubuhkan sebuah institusi yang dikenali sebagai Perbadanan Pembangunan Kereta Api Malaysia (MRDC) dalam usaha memperkasakan industri rel negara.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/penggiat-industri-saran-pelaburan-untuk-tambah-baik-pengangkutan-di-pantai-timur-sabah-sarawak/

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA