SkyDrive Memperkenalkan Reka Bentuk Kereta Terbang SD-05, Berhasrat Untuk Memulakan Perkhidmatan Teksi Udara Pada 2025

TOYOTA, Japan, 4 Okt (Bernama) — SkyDrive Inc. telah memperkenalkan reka bentuk bagi kereta terbang model komersial mereka — SkyDrive SD-05. SkyDrive merancang untuk menggunakan SD-05 itu, yang pada masa ini dalam pembangunan, untuk melancarkan perkhidmatan teksi udara di kawasan Teluk Osaka semasa eksposisi dunia yang dijadualkan pada 2025 di Osaka, Jepun

“Ini adalah satu lagi langkah besar ke arah merealisasikan kereta terbang dan jalan raya di langit,” kata Takumi Yamamoto, pengarah reka bentuk SkyDrive. “Dua tahun telah berlalu sejak pengumuman mengenai SD-03, yang berjaya menyiapkan ujian penerbangan awam kendalian manusia mereka pada Ogos 2020, dan kami sangat gembira kerana dapat mengumumkan penggantinya, SD-05.”

Beribu pejabat di bandar raya Toyota di Wilayah Aichi, SkyDrive ialah sebuah pemaju dan pengeluar terkemuka bagi kereta terbang (*1) dan dron kargo di Jepun.

Imej 1: Bahagian luar SD-05, yang sedang dalam pembangunan.
Video bagi Model Komersial SD-05 Tajuk: SkyDrive SD-05: Kenderaan Terbang Sifar Pelepasan

Gambaran Keseluruhan SD-05

SD-05 ialah sebuah pesawat kompak dua tempat duduk yang berkuasa elektrik dengan keupayaan berlepas dan mendarat secara menegak. Dikendalikan oleh seorang pemandu-juruterbang, kestabilan penerbangannya dijamin dengan bantuan sebuah sistem penerbangan yang dikawal oleh komputer. SkyDrive sedang membangunkan kereta terbang dengan satu sasaran ke arah merealisasikan sebuah dunia di mana ia digunakan dalam kehidupan seharian untuk pergerakan udara sama seperti automobil digunakan untuk pengangkutan darat harian.

“Kenderaan ini bukan sekadar sebuah alat mudah untuk bergerak dari titik A ke B,” kata Yamamoto. “Berdasarkan kepada konsep reka bentuk dalam ‘memberi sayap kepada perjalanan harian,’ ia juga merupakan sebuah rakan perjalanan yang lebih selamat dan menyeronokkan.”

SkyDrive sedang dalam proses memperoleh sejenis sijil (*2) untuk SD-05 itu daripada Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT), sebagai yang pertama seumpamanya di Jepun. Syarikat itu terus berusaha ke arah memulakan penggunaan praktikal bagi kereta terbang semasa Eksposisi Dunia Osaka, Kansai, yang dijadualkan pada 2025 di Jepun. SD-05 itu direka bentuk untuk bergerak sehingga kira-kira 10 km dan kelajuan ronda maksimum ialah 100 km/j. Walau bagaimanapun, reka bentuk dan spesifikasi adalah tertakluk kepada perubahan dan kemajuan pembangunan reka bentuk.

Permohonan yang berpotensi untuk SD-05 sedang dalam pertimbangan, termasuk pengangkutan jalan pintas melalui langit, satu akses yang unik ke kemudahan resort, dan perkhidmatan perubatan kecemasan.

“SkyDrive akan terus mereka bentuk impian bagi masa depan dengan matlamat untuk merealisasikan jalan-jalan langit,” kata Yamamoto. SkyDrive juga bergerak untuk mempromosikan operasi perniagaan mereka bukan sahaja di Jepun tetapi juga di luar negara. Di Amerika Syarikat, sebagai contoh, syarikat itu telah menubuhkan sebuah pejabat pada September 2022, untuk tujuan menyediakan satu kaedah pengangkutan “perbatuan terakhir”. Syarikat itu telah membangunkan pasaran secara bersama dengan pihak berkuasa tempatan dan syarikat-syarikat rakan.

Reka Bentuk Luaran bagi SD-05

Seperti pesawat prototaip SD-03 tempat duduk tunggal SkyDrive, “progresif” (perintis dan maju) ialah istilah yang digunakan untuk menggambarkan reka bentuk SD-05 itu, yang SkyDrive percaya sebagai satu pemerihal yang sesuai untuk sebuah genre baharu pengangkutan. Melihat kepada fiuslaj, atau badan, pesawat itu dari sisi, kontur berbentuk S mencadangkan satu pasang kipas terangkat ke langit. Melihat ke bawah pada kapal terbang itu dari atas, orang ramai boleh melihat bentuk seekor burung walit berwarna putih mutiara, seekor burung kecil yang tangkas yang berupaya terbang ke paras yang tinggi.

Reka bentuk kerangka pesawat udara termaju secara aerodinamik itu dimaklumkan oleh kajian tentang bentuk-bentuk burung dan haiwan yang diperkemaskan dan mempunyai ciri-ciri mendatar dan ekor menegak untuk menambahkan kestabilan ketika dalam penerbangan. Di sudut atas kerangka udara itu, 12 unit kipas motor diletakkan untuk kestabilan penerbangan. Ini mencerminkan teknologi kawalan penerbangan yang diperoleh melalui lebih daripada 1,000 ujian penerbangan yang dijalankan semasa pembangunan kerangka udara itu.

Untuk SD-05 itu, pakar-pakar dari SkyDrive dan rakan mereka telah berusaha dengan kerjasama JAMCO Corporation (*3), sebuah pembuat dalaman pesawat; Toray Carbon Magic Co., Ltd. (*4), sebuah penyedia bagi Tetulang Plastik Gentian Karbon termaju (CFRP); dan Electric Power Systems, Inc. (*5), sebuah pembangun terkemuka bagi sistem bateri yang termasuk rangkaian kuasa tinggi untuk pesawat elektrik yang layak bagi jenis pensijilan.

Dengan misi mereka untuk menerajui sebuah revolusi pergerakan sekali dalam satu abad, SkyDrive sedang membangunkan kereta terbang yang lebih terjamin dan selamat melalui pembangunan dan ujian demonstrasi berulang bagi model komersial SD-05 itu, yang membawa kepada sebuah masa depan di mana pengangkutan udara adalah sebahagian daripada kehidupan seharian.

“Kami tidak sabar untuk melihat semua orang di Ekspo Osaka itu pada 2025,” kata pengarah reka bentuk Yamamoto.

Nota:

(*1) Kereta terbang, yang secara amnya dikenali sebagai pesawat eVTOL (berlepas dan mendarat secara menegak menggunakan elektrik) di luar Jepun, dicirikan oleh pengelektrikan, pandu auto berautonomi sepenuhnya, dan berlepas dan mendarat secara menegak. Satu kemajuan baharu di dalam bidang pergerakan, pembangunan kereta terbang sedang digalakkan di peringkat global. Di Jepun, Majlis Awam-Swasta untuk Revolusi Pergerakan Udara telah ditubuhkan pada 2018 untuk tujuan tersebut. Projek itu dijangka membawa kepada perkhidmatan teksi di kawasan bandar, pengangkutan baharu untuk pulau-pulau terpencil dan kawasan pergunungan, dan pengangkutan kecemasan semasa bencana. Satu pelan hala tuju telah dirumuskan oleh Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) dan MLIT menjangkakan permulaan perniagaan adalah pada pertengahan 2020-an.

Untuk mengetahui tentang pengumpulan dana bagi projek itu, sila layari: https://en.skydrive2020.com/archives/7416

Untuk maklumat lanjut, sila layari, https://en.skydrive2020.com/

Sumber: SkyDrive Inc.

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article
Individu berlesen/berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti.

Portal Semak Sebelum Labur SC membolehkan anda menyemak sama ada seseorang individu atau entiti dibenarkan oleh SC untuk menawarkan, mempromosi atau menjual sebarang produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings