Kewangan Digital Kaedah Mapan Tangani Ketidaktentuan Ekonomi – Labuan FSA

KUALA LUMPUR, 4 Okt  (Bernama) — Usaha pendigitalan sektor kewangan merupakan langkah tunggal serta mapan bagi menangani ketidaktentuan di pasaran modal, termasuk di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), kata Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).

Ketika berkongsi pandangan itu, Ketua Pengarah Labuan FSA Nik Mohamed Din Nik Musa juga menyifatkan pendigitalan sebagai platform untuk membantu kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melakukan usaha pengumpulan dana menerusi pasaran modal di masa depan.

“Pihak Bank Dunia baru-baru ini telah bertindak menyemak turun pertumbuhan global tahun ini kepada 2.9 peratus daripada 5.7 peratus pada 2021 berikutan konflik berterusan serta ketidaktentuan yang kian ketara.

“Namun, pada masa sama, penggunaan digital telah dipercepat dan mendorong institusi kewangan menilai kemampanan model perniagaan sedia ada.

“Pendigitalan misalnya dapat mengharungi cabaran (kewangan) kerana membolehkan penerbit dan perniagaan menjangkau lebih ramai audiens selain dapat menurunkan kos menjalankan perniagaan,” katanya kepada pemberita di luar acara Kewangan Islam Pra-Global (GIFF2022) di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Nik Mohamed Din berkata sejajar dengan aliran tersebut, Labuan IBFC telah memperkenalkan Pusat Aset Digital Islamik (IDAC) yang menyediakan kebolehsediaan penyenaraian secara maya menggunakan teknologi blockchain dan membolehkan pelabur global mengenal pasti kelas aset baharu termasuk produk-produk pelaburan patuh Syariah.

Menurut laporan pasaran Labuan IBFC 2021, perkhidmatan kewangan digital terus mencatat pencapaian menerusi peningkatan lebih 38.5 peratus dalam ruang digital Labuan pada 2021 dan bertambah daripada 65 kepada 90 penggiat.

Ini akan membolehkan kalangan korporat, terutama PKS yang berminat untuk mengumpulkan dana secara cekap kos dan menarik pelabur alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta Islam dari Asia Tenggara dan Timur Tengah.

Nik Mohamed berkata aspek tokenisasi akan mendigitalkan penggunaan atau pembahagian aset bagi mengurangkan halangan dalam pasaran swasta.

“Memandangkan tokenisasi ini mendapat momentum di Labuan IBFC, terdapat minat oleh penggiat-penggiat yang berpotensi bagi mewujudkan pertukaran wakaf dan kredit karbon.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/kewangan-digital-kaedah-mapan-tangani-ketidaktentuan-ekonomi-labuan-fsa/

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Pelbagaikan Sumber Gas Bagi Perkukuh Keterjaminan Tenaga Negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengutamakan keterjaminan tenaga negara dengan mempelbagaikan akses kepada sumber gas berskala besar yang berpotensi memperluaskan pilihan bekalan dan meningkatkan daya tahan keselamatan tenaga.

Menurut Kementerian Ekonomi, susulan keadaan pasaran tenaga global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, tumpuan terus diberikan untuk mempelbagaikan sumber bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara atau satu pasaran sahaja.

Jelasnya, sebarang pengimportan minyak mentah dari mana-mana negara termasuk Russia perlu dilaksanakan melalui dasar perdagangan antarabangsa dan saluran komersial yang sah.

“Perkara ini tertakluk kepada pertimbangan harga, spesifikasi produk, logistik, kaedah pembayaran, pengangkutan, insurans, undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Negara yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai perjanjian bekalan minyak mentah, gas dan diesel selama 20 tahun dengan Russia serta bagaimana hak pengusahaan telaga gas di Turkmenistan akan diterjemahkan bagi manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Tambah Kementerian Ekonomi lagi, peluang pengusahaan telaga gas di Turkmenistan itu dinilai berdasarkan merit komersial dan potensi sumbangannya kepada kepelbagaian sumber bekalan gas dalam jangka panjang.

Pada 20 Jun lalu, PETRONAS memeterai beberapa penjanjian baharu dengan dua syarikat Turkmenistan merangkumi Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) yang meliputi Blok Luar Pesisir 19 dan 20, serta perjanjian kerjasama (CA) bagi kajian seismik 2D untuk blok luar pesisir utara.

PETRONAS memaklumkan bahawa kedua-dua perjanjian itu mencerminkan komitmen bersama untuk membuka peluang baharu, memperkukuh pemahaman bawah permukaan serta menyokong kedudukan Turkmenistan sebagai antara penyumbang penting bekalan tenaga serantau dan global.

Mengenai manfaatnya kepada rakyat, Kementerian Ekonomi menjelaskan bahawa usaha kerajaan mempelbagaikan sumber tenaga boleh diterjemahkan melalui tiga aspek utama iaitu memperkukuhkan keterjaminan bekalan negara melalui akses kepada sumber bekalan tenaga jangka panjang.

Selain itu, ruang yang lebih baik untuk mengurus tekanan harga dan subsidi secara teratur susulan bekalan yang lebih meluas serta meningkatkan penglibatan syarikat perkhidmatan minyak dan gas tempatan kepada rantaian nilai antarabangsa, sekali gus memperkukuh kepakaran teknikal Malaysia dan mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi.

Tambahnya, pendekatan itu tidak bermakna Malaysia akan terlindung sepenuhnya daripada turun naik harga tenaga pasaran dunia.

“Bagaimanapun, akses kepada sumber bekalan yang lebih pelbagai dan berdaya saing berpotensi menyokong kestabilan bekalan dan mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran tenaga global.

“Ini seterusnya akan membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk melindungi kepentingan rakyat, industri dan ekonomi negara dalam jangka panjang,” tambahnya.

-BERNAMA