Potensi Besar Bagi Malaysia Dan Jerman Untuk Bekerjasama Erat Dalam Industri Plastik

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) — Malaysia dan Jerman mempunyai potensi besar untuk bekerjasama erat dalam industri plastik bagi menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai amalan kemampanan selain menambah nilai kepada usaha bersama dalam melindungi masyarakat dan alam sekitar.

Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Jerman, Farzamie Sarkawi berkata berdasarkan terma “plastik” berkaitan dengan idea kebolehsuaian yang sentiasa berubah dan berkesan, konsep serba guna telah menjadikan plastik sebagai antara produk paling penting dalam kehidupan orang ramai.

“Malaysia sedang mengalami transformasi kemampanan yang pesat dan dalam kami menggalakkan aktiviti ekonomi kitaran berdasarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 dan Aspirasi Pelaburan Nasional, kami mengiktiraf kepentingan perniagaan plastik.

“Saya percaya langkah Malaysia untuk menggalakkan kemampanan amat tepat pada masanya berikutan Jerman bersedia untuk memperkenalkan Akta Usaha Wajar Rantaian Bekalannya pada Januari 2023,” katanya dalam webinar bertajuk “Business Opportunities on Sustainable Materials, An Outlook On The Malaysia and German/North Rhine-Westphalia (NRW) Ecosystem” hari ini.  

Webinar itu diadakan bersempena dengan penyertaan Malaysia dalam KFair 2022 di Dusseldorf, Jerman, pameran perdagangan terbesar di dunia untuk industri plastik dan getah.

NRW ialah wilayah plastik nombor satu di Jerman dan Eropah dengan lebih 145,000 pekerja dan perolehan tahunan sebanyak 36 bilion euro.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Frankfurt Zuhaila Sedek berkata Jerman memberi penekanan yang kuat terhadap pematuhan kepada aturan, peraturan dan kemampanan.

Oleh itu, katanya perlu bagi syarikat Malaysia melakukan transformasi sebagai persediaan. 

“Mematuhi amalan mampan bukan lagi satu pilihan. Ia adalah satu keperluan untuk mengakses pasaran Kesatuan Eropah (EU) khususnya Jerman.

“Menerusi Akta Usaha Wajar Rantaian Bekalan Jerman yang akan berkuat kuasa pada tahun depan, syarikat Malaysia perlu memastikan ia boleh kekal berada dalam rantaian bekalan syarikat Jerman,” katanya.

Beliau berkata ia juga merupakan peluang untuk memahami dan meneroka potensi pasaran yang besar di Jerman kerana negeri NRW menempatkan lebih satu pertiga daripada 50 syarikat jualan terbaik di Jerman.

“Melangkah ke hadapan, ekoran daripada iklim ekonomi semasa, ia juga penting untuk mempelbagaikan…membentuk kerjasama seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembangunan produk untuk meningkatkan nilai yang akan membawa penjenamaan yang baik untuk Jerman dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Matrade telah mengenal pasti kumpulan syarikat Malaysia yang kukuh untuk pameran itu, menyasarkan untuk menunjukkan keupayaan, inovasi dan kemampanan Malaysia.

Pada 2021, eksport Malaysia bagi resin plastik dan produk berkaitan plastik direkodkan pada RM16.01 bilion atau kira-kira 3.4 bilion euro.

Setakat Ogos 2022, Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Eropah dan rakan dagang ke-13 terbesar secara keseluruhan serta destinasi eksport ke-14 terbesar dan sumber import kesembilan terbesar.

PANDANGAN PENERAJU PERNIAGAAN JERMAN TERHADAP MALAYSIA 

Dalam tempoh sama, Malaysia merupakan rakan dagang ke-33 terbesar Jerman, destinasi eksport ke-42 terpenting serta sumber import paling utama yang ke-28.

Pengurus Besar Asia dan Australia NRW.Global Business, Astrid Becker berkata syarikat Jerman perlu melihat Malaysia dengan lebih baik berdasarkan pembangunan ekonomi yang kukuh yang sedang dilalui oleh negara di Asia Tenggara itu. 

“Terdapat sistem pendidikan yang cemerlang dan syarikat Jerman boleh bergantung kepada tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dan mencari rakan kongsi di Malaysia dan seterusnya ke rantau ASEAN. 

“Selain itu, kami mahu membina hubungan apabila syarikat Jerman boleh mendapatkan bekalan dari Malaysia untuk aktiviti di NRW.

“Terdapat banyak peluang untuk diterokai oleh syarikat NSW dan kami berharap dapat membawa lebih banyak syarikat bersama-sama di kedua-dua negara untuk menjadi rakan kongsi perniagaan yang bernilai,” katanya. 

NRW.Global Business merupakan agensi perdagangan dan pelaburan negeri NRW. 

Perunding Antarabangsa Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (IHK) Ostwestfalen zu Bielefeld (dewan utama untuk Malaysia di NRW) Jan Muller berkata syarikat Jerman sedang mencari pasaran baharu yang berpotensi memandangkan keadaan pasaran semasa yang sukar. 

“Kami telah melihat Rusia dan pasaran lain tetapi apabila pasaran menjadi semakin sukar pada masa ini seperti di Rusia, pemain industri melihat ke luar negara dan jauh dari pasaran China dan di situlah peranan Malaysia.

“Mereka (Malaysia) kukuh, mempunyai kerajaan yang baik, pasaran yang stabil dan boleh dipercayai untuk syarikat Jerman membuat pelaburan. Kami mahu mempunyai hubungan dengan Malaysia dan melihat bagaimana kami boleh menjalankan perniagaan di sana,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/potensi-besar-bagi-malaysia-dan-jerman-untuk-bekerjasama-erat-dalam-industri-plastik/

Previous ArticleNext Article

Berbilion Ringgit Hasil Cukai Dilepaskan? Menelusuri Insentif Cukai Malaysia

Syarikat bukan sahaja membayar cukai kepada kerajaan. Dalam keadaan tertentu, mereka juga diberikan pelbagai insentif cukai untuk menggalakkan pelaburan, membuka kilang, mengembangkan operasi, menjalankan penyelidikan dan membawa masuk teknologi baharu.

Persoalannya, apakah bentuk insentif yang diberikan dan bagaimana ia memberi kesan kepada hasil cukai kerajaan?

Secara umum, kita boleh melihat 15 bentuk insentif dan kemudahan yang dibahagikan kepada empat kategori.

Nota: Contoh pengiraan di bawah adalah ilustrasi untuk menerangkan cara insentif berfungsi. Ia bukan pengesahan bahawa syarikat yang disebut atau mana-mana syarikat tertentu telah menerima kelulusan.

KATEGORI 1: PENGECUALIAN CUKAI PENDAPATAN

1. Pioneer Status (PS) – Taraf Perintis

Syarikat yang menjalankan aktiviti atau mengeluarkan produk yang digalakkan boleh diberikan pengecualian sebahagian atau keseluruhan pendapatan berkanun untuk tempoh tertentu.

Contoh: Sebuah syarikat yang membina kilang menghasilkan komponen elektronik diluluskan status perintis. Jika pendapatan berkanun tahunannya RM10 juta dan 70% dikecualikan, hanya RM3 juta tertakluk kepada cukai.

Rujukan: HASiL – Pioneer Status, di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (PIA 1986).

Antara contoh lain yang boleh dilihat ialah industri pemprosesan unsur nadir bumi (REE) di Malaysia. Menurut laporan Bernama, syarikat yang menjalankan aktiviti pemprosesan REE di peringkat pertengahan dan hiliran boleh dipertimbangkan untuk menerima insentif taraf perintis. Ini menunjukkan kerajaan menggunakan insentif cukai untuk menarik pelaburan dalam industri strategik yang mempunyai potensi nilai tambah tinggi.

Senarai syarikat tersenarai Bursa Malaysia yang mempunyai rekod insentif cukai:

Syarikat tersenaraiEntiti penerimaInsentif dan tempoh
Press Metal Aluminium Holdings Berhad (8869)Press Metal Bintulu Sdn. Bhd. (PMBTU)100% pengecualian pendapatan berkanun daripada pengeluaran produk aluminium, 2013–2027. Dilanjutkan dengan pengecualian 40% bagi 2028–2030.

Kesan cukai yang dilaporkan: RM440 Juta (2025)
Mi Technovation Berhad (5286)Mi Equipment (M) Sdn. Bhd.100% pengecualian selama 10 tahun sehingga Januari 2024. Kelulusan baharu memberikan pengecualian 70% bagi aktiviti mesin pengisihan die wafer-level berasaskan AI, Januari 2024–Januari 2029.

Kesan cukai yang dilaporkan: RM16.26 juta (2025)
Genetec Technology Berhad (0104)Genetec Technology Berhad70% pengecualian pendapatan berkanun daripada aktiviti sistem automasi kilang pintar dan modul berkaitan EV, Disember 2019–Disember 2024. Kelulusan baharu untuk sistem pemasangan bateri EV, Disember 2024–Disember 2029.

Kesan cukai yang dilaporkan: Genetec mencatatkan kerugian sebelum cukai RM25.03 juta bagi 2025, tetapi masih mempunyai kelulusan taraf perintis untuk aktiviti pemasangan sistem bateri EV sehingga Disember 2029.
ECA Integrated Solution Berhad (0255)ECA Advanced Solutions Sdn. Bhd.100% pengecualian pendapatan berkanun daripada aktiviti perintis yang diluluskan, 27 November 2022–26 November 2027.
JF Technology Berhad (0146)Anak syarikat yang mengeluarkan interconnect dan integrated circuit test socket100% pengecualian pendapatan perniagaan di bawah Pioneer Status. Sambungan diluluskan sehingga 31 Mac 2026.

Kesan cukai yang dilaporkan: RM1.73 juta (2025)
DXN Holdings Bhd (5318)Entiti kumpulan yang menjalankan aktiviti berkaitanLaporan korporat merekodkan beberapa kelulusan Pioneer Status terdahulu untuk penanaman dan pemprosesan Ganoderma, Spirulina serta aktiviti Bio Synergy.

Nota: Nilai penjimatan yang dipaparkan berdasarkan item insentif cukai atau kesan cukai dalam rekonsiliasi cukai laporan tahunan syarikat. Angka ini bukan semestinya jumlah tunai yang dijimatkan, nilai keseluruhan kelulusan insentif atau hasil cukai yang dilepaskan kerajaan. Sesetengah angka turut merangkumi elaun dan insentif lain.

2. Principal Hub Incentive

Insentif untuk syarikat yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi serantau bagi mengurus aktiviti seperti pengurusan perniagaan, kewangan, perolehan dan rantaian bekalan.

Contoh: Sebuah kumpulan multinasional menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pengurusan operasi Asia Tenggara. Pendapatan daripada aktiviti perkhidmatan Principal Hub yang layak boleh menikmati kadar cukai khas atau pengecualian mengikut skim dan kelulusan.

Rujukan: MIDA – Guideline for Principal Hub Incentive 3.0.

KATEGORI 2: ELAUN CUKAI

3. Investment Tax Allowance (ITA) – Elaun Cukai Pelaburan

Elaun berdasarkan perbelanjaan modal yang layak seperti pembelian mesin, peralatan dan pembinaan kemudahan bagi projek yang diluluskan.

Contoh: Syarikat melabur RM100 juta untuk membeli mesin dan membina kemudahan pengeluaran. Jika kadar ITA yang diluluskan ialah 60%, syarikat memperoleh elaun RM60 juta. Penggunaannya tertakluk kepada had dan syarat skim.

Rujukan: HASiL – Investment Tax Allowance, di bawah PIA 1986.

4. Reinvestment Allowance (RA) – Elaun Pelaburan Semula

Diberikan kepada syarikat sedia ada yang membuat pelaburan semula untuk mengembangkan, memodenkan, mengautomasi atau mempelbagaikan aktiviti perniagaan yang layak.

Contoh: Kilang makanan yang telah beroperasi selama beberapa tahun melabur RM20 juta untuk menambah barisan pengeluaran baharu. Jika layak mendapat RA sebanyak 60%, elaun yang terhasil ialah RM12 juta. Tuntutan tertakluk kepada syarat, termasuk tempoh operasi dan jenis projek.

Rujukan: Subseksyen 7A, Jadual 7A Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).
Panduan ringkasan: PwC Malaysia – Tax Incentives.

5. Infrastructure Allowance – Elaun Infrastruktur

Elaun berkaitan perbelanjaan infrastruktur yang layak bagi projek atau aktiviti tertentu.

Contoh: Syarikat yang menjalankan projek perindustrian di kawasan yang ditetapkan membina kemudahan infrastruktur seperti jalan, jambatan atau kemudahan berkaitan yang memenuhi syarat insentif.

Rujukan: HASiL – Senarai Insentif di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986.

6. Industrial Adjustment Allowance (IAA) – Elaun Pelarasan Industri

Kemudahan elaun untuk syarikat pembuatan yang menjalankan aktiviti pelarasan industri yang diluluskan, termasuk pemodenan, penyusunan semula dan rasionalisasi operasi.

Contoh: Sebuah syarikat dalam industri kejuruteraan menjalankan penyusunan semula operasi dan menaik taraf proses pengeluaran menggunakan peralatan moden. Aktiviti tersebut boleh dipertimbangkan jika memenuhi syarat IAA.

Rujukan: HASiL – Industrial Adjustment Allowance.

7. Accelerated Capital Allowance (ACA) – Elaun Modal Dipercepatkan

Accelerated Capital Allowance (ACA) atau Elaun Modal Dipercepatkan ialah kemudahan cukai yang membolehkan syarikat menuntut potongan cukai bagi pembelian aset perniagaan yang layak dengan lebih cepat berbanding kadar elaun modal biasa.

Mudahnya, kerajaan membenarkan syarikat mengambil kira kos mesin atau peralatan tertentu sebagai potongan cukai dalam tempoh yang lebih singkat.

Katakan sebuah kilang membeli mesin pengeluaran berharga RM1 juta. Mesin itu layak mendapat ACA.

Untuk memudahkan pemahaman, kita andaikan:

  • Harga mesin: RM1 juta
  • Kadar cukai syarikat: 24%
  • Elaun modal biasa: 20% elaun permulaan + 14% elaun tahunan
  • ACA: 40% elaun permulaan + 20% elaun tahunan

Kadar ini hanyalah ilustrasi, bukan kadar ACA universal. Kadar sebenar bergantung pada kategori aset dan skim yang diluluskan.

Bandingkan dua situasi

Kita gunakan kadar rekaan untuk memudahkan penerangan:

PerkaraElaun modal biasaACA (ilustrasi)
Harga mesinRM1,000,000RM1,000,000
Elaun tahun pertama34%60%
Potongan cukai tahun pertamaRM340,000RM600,000
Baki kos belum diberi elaunRM660,000RM400,000

Apa maksudnya?

  • Kaedah biasa: Syarikat hanya boleh menolak RM340,000 daripada pendapatan bercukai pada tahun pertama.
  • ACA: Syarikat boleh menolak RM600,000 pada tahun pertama.

Jadi, ACA membolehkan syarikat mendapat potongan tambahan sebanyak RM260,000 lebih awal.

Rujukan: HASiL – Public Ruling No. 6/2022, Accelerated Capital Allowance.

8. Automation Capital Allowance – Elaun Modal Automasi

Insentif untuk menggalakkan syarikat menggunakan teknologi dan mesin automasi bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.

Contoh: Kilang memasang robot untuk kerja pembungkusan dan sistem automasi bagi proses pengeluaran. Perbelanjaan modal yang memenuhi syarat skim boleh menikmati elaun khas.

Rujukan: HASiL – Public Ruling No. 6/2022, bahagian 7.9 (Automation Equipment). Skim yang dihuraikan dalam ruling tersebut mempunyai tempoh kelayakan tertentu dan tidak boleh dianggap terbuka secara automatik untuk pembelian baharu pada 2026.

Dalam industri semikonduktor, pelaburan automasi merupakan antara perkara penting untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing. Bernama melaporkan bahawa Malaysia Semiconductor Industry Association( MSIA) mencadangkan supaya had Elaun Modal Automasi dinaikkan daripada RM10 juta kepada RM100 juta. Cadangan ini menunjukkan besarnya keperluan modal yang diperlukan oleh syarikat untuk mengautomasi operasi dan meningkatkan keupayaan pengeluaran.

KATEGORI 3: PENGECUALIAN CUKAI TIDAK LANGSUNG

9. Pengecualian Duti Import

Syarikat yang layak boleh diberikan pengecualian duti import bagi mesin, peralatan atau bahan tertentu yang digunakan dalam aktiviti yang diluluskan.

Contoh: Sebuah kilang mengimport mesin khusus dari Jepun untuk digunakan dalam proses pembuatan. Jika diluluskan pengecualian duti import, syarikat tidak perlu menanggung duti berkenaan bagi import tersebut.

Rujukan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia – Pengecualian Duti Import bagi Mesin dan Peralatan.

Syarikat pembuatan yang perlu mengimport mesin dan peralatan dari luar negara juga boleh menikmati kemudahan pengecualian duti import jika memenuhi syarat. Sebagai contoh, kilang yang mengimport mesin khusus dari Jepun atau Jerman untuk kegunaan pengeluaran boleh memohon pengecualian duti import yang berkaitan. Kemudahan ini mengurangkan kos permulaan pelaburan dan membantu syarikat membawa masuk teknologi yang mungkin belum tersedia di Malaysia. Rujukan berkaitan boleh dilihat melalui panduan MIDA.

10. Pengecualian Cukai Jualan

Pengecualian cukai jualan boleh diberikan bagi barangan atau transaksi tertentu mengikut peruntukan dan syarat yang ditetapkan.

Contoh: Pengilang berdaftar membeli bahan mentah, komponen dan bahan pembungkusan untuk digunakan secara langsung dalam proses pengilangan. Pembelian tersebut boleh mendapat pengecualian cukai jualan jika memenuhi syarat.

Rujukan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia – FAQ Sales Tax dan Sales Tax (Persons Exempted from Payment of Tax) Order 2018.

11. Pengecualian Duti Eksais

Pengecualian duti eksais boleh diberikan bagi barangan atau aktiviti tertentu yang memenuhi syarat di bawah undang-undang berkaitan.

Contoh: Pengilang yang menjalankan aktiviti pengeluaran barangan tertakluk kepada duti eksais boleh memohon kemudahan pengecualian jika transaksi atau barangan tersebut termasuk dalam peruntukan yang dibenarkan.

Rujukan: MITI – Incentives for Investment. Halaman ini menerangkan kerangka insentif langsung dan tidak langsung termasuk pengecualian duti eksais di bawah undang-undang berkaitan.

12. Kemudahan Zon Bebas (Free Zone)

Syarikat yang beroperasi dalam zon bebas boleh menikmati layanan kastam khas bagi barangan yang dibawa masuk, disimpan, diproses atau dieksport, tertakluk kepada peraturan zon bebas.

Contoh: Pengilang elektronik yang beroperasi di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas mengimport komponen untuk dipasang menjadi produk siap sebelum dieksport ke pasaran antarabangsa.

Rujukan: Akta Zon Bebas 1990 (Akta 438) dan MITI – Incentives for Investment.
Perlu difahami, status beroperasi di zon bebas tidak bermaksud semua cukai syarikat dikecualikan secara automatik.

KATEGORI 4: POTONGAN BERGANDA

13. Potongan Berganda bagi Penyelidikan dan Pembangunan (R&D)

Syarikat yang menjalankan aktiviti R&D yang diluluskan boleh menikmati potongan berganda bagi perbelanjaan hasil yang layak.

Contoh: Syarikat membelanjakan RM100,000 bagi penyelidikan yang memenuhi syarat. Jika layak mendapat potongan berganda, jumlah potongan cukai boleh menjadi RM200,000. Pada kadar cukai 24%, penjimatan cukai secara ilustrasi ialah RM24,000.

Rujukan: Seksyen 34A ACP 1967 – Approved Research and Development.
HASiL – Guidelines on Research and Development.

14. Potongan Berganda bagi Latihan

Perbelanjaan latihan tertentu yang memenuhi syarat boleh diberikan potongan tambahan bagi menggalakkan pembangunan kemahiran pekerja.

Contoh: Syarikat menghantar pekerja mengikuti latihan teknikal yang diluluskan bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang automasi, teknologi atau pengeluaran. Perbelanjaan yang memenuhi syarat boleh dipertimbangkan untuk potongan khas.

Rujukan: Seksyen 34(6) ACP 1967 dan peruntukan berkaitan latihan yang diluluskan. Kelayakan bergantung pada jenis latihan, penyedia latihan dan syarat yang ditetapkan.
Rujukan umum: MITI – Incentives for Investment.

15. Potongan Berganda bagi Promosi Eksport

Syarikat yang menjalankan aktiviti promosi untuk meningkatkan eksport boleh menikmati potongan tambahan bagi perbelanjaan yang memenuhi syarat.

Contoh: Pengilang tempatan menyertai pameran perdagangan antarabangsa, menjalankan promosi produk di luar negara dan mencari pasaran eksport baharu. Perbelanjaan yang layak boleh dipertimbangkan untuk potongan berganda.

Rujukan: HASiL – Double Deduction for Promotion of Exports, di bawah PIA 1986 dan peruntukan cukai berkaitan.

ADAKAH KERAJAAN MENERBITKAN SENARAI SYARIKAT PENERIMA INSENTIF?

Ini antara persoalan paling penting.

Laman rasmi Kementerian Kewangan (MOF) menyediakan maklumat mengenai pelbagai insentif cukai. MIDA pula menerbitkan garis panduan, aktiviti yang dipromosikan dan syarat permohonan.

Bagaimanapun, setakat semakan sumber awam, belum ditemui satu pangkalan data awam yang menyenaraikan secara menyeluruh semua nama syarikat penerima insentif, jenis kelulusan, tempoh manfaat dan nilai cukai yang dilepaskan.

Kita boleh menemui pengumuman kelulusan bagi syarikat tertentu melalui laporan tahunan, pengumuman Bursa Malaysia atau kenyataan media.

Tetapi maklumat tersebut masih berpecah-pecah.

Apa yang diperlukan ialah pelaporan yang lebih menyeluruh, sekurang-kurangnya merangkumi:

  1. Nama syarikat dan entiti penerima insentif.
  2. Jenis insentif yang diluluskan.
  3. Tempoh dan syarat kelulusan.
  4. Nilai pelaburan yang berkaitan.
  5. Anggaran hasil cukai yang dilepaskan.
  6. Impak kepada ekonomi seperti pekerjaan, gaji, eksport, pemindahan teknologi dan pembangunan vendor tempatan.

Ketelusan ini penting supaya rakyat dapat menilai sama ada manfaat ekonomi yang dijanjikan benar-benar setimpal dengan kos fiskal yang ditanggung kerajaan.

APA YANG KERAJAAN SENDIRI AKUI TENTANG INSENTIF CUKAI?

Dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan bahawa kerajaan sedang membangunkan Tax Expenditure Statement (TES).

TES bertujuan mengukur kehilangan hasil kerajaan akibat perubahan dasar percukaian, termasuk pengecualian dan pelepasan cukai.

Ini bermakna, laporan tersebut belum memberikan satu angka agregat yang boleh digunakan untuk menyatakan jumlah keseluruhan hasil cukai yang dilepaskan melalui semua insentif cukai.

Rujukan: Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, Kementerian Kewangan Malaysia, bahagian berkaitan Public Finance and Fiscal Responsibility Act 2023 dan pembangunan Tax Expenditure Statement.


JADI, BERAPA BANYAK HASIL CUKAI KERAJAAN YANG DILEPASKAN?

Kita perlu bezakan dua perkara:

  1. Cukai yang tidak dikutip kerana insentif yang sah. Ini ialah kos fiskal atau hasil cukai yang dilepaskan oleh kerajaan untuk menggalakkan aktiviti ekonomi tertentu.
  2. Cukai yang tidak dibayar akibat ketidakpatuhan atau penyalahgunaan insentif. Ini pula melibatkan isu kelayakan tuntutan, pematuhan syarat kelulusan dan kemungkinan manipulasi.

Kedua-duanya bukan perkara yang sama dan perlu dinilai secara berasingan.

Kita juga perlu melihat sama ada insentif yang diberikan benar-benar menghasilkan pulangan kepada negara, contohnya:

  • Berapa banyak pekerjaan berkualiti diwujudkan?
  • Berapa tinggi gaji yang dibayar kepada pekerja tempatan?
  • Berapa banyak teknologi dan kepakaran dipindahkan?
  • Berapa banyak vendor tempatan mendapat manfaat?
  • Berapa banyak cukai yang akhirnya dibayar oleh syarikat selepas tamat tempoh insentif?

Malaysia sememangnya memerlukan pelaburan asing dan domestik. Insentif cukai boleh menjadi salah satu alat untuk menarik pelaburan tersebut.

Namun, insentif bukan hadiah percuma. Ia menggunakan ruang fiskal kerajaan dan sepatutnya datang bersama pulangan ekonomi yang boleh diukur.

Kalau kerajaan boleh mengumumkan nilai pelaburan yang berjaya ditarik masuk, kerajaan juga patut menjelaskan berapa banyak hasil cukai yang dikorbankan untuk mendapatkannya.

Nota penting: Senarai ini ialah gambaran bentuk insentif dan kemudahan yang terdapat dalam rangka cukai dan pelaburan Malaysia. Ia bukan bermaksud kesemua 15 kemudahan terbuka untuk permohonan baharu pada masa ini. Kelayakan bergantung pada undang-undang, tarikh permohonan, kelulusan dan syarat khusus setiap skim. Bagi sektor pembuatan, kerangka New Incentive Framework (NIF) mula dilaksanakan pada 1 Mac 2026 dan permohonan baharu di bawah PIA 1986 tidak lagi diterima selepas tarikh tutup yang ditetapkan. Kelulusan sedia ada kekal tertakluk kepada syarat asal.