GIFF 2022: Ekosistem Kewangan Terbuka Perlu Jadi Hala Tuju Kewangan Islam

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) — Kewangan Islam harus bergerak ke arah ekosistem kewangan terbuka kerana ia baik untuk pengguna, manakala pergerakan perbankan terbuka memberikan pengguna akses yang lebih besar kepada perkhidmatan kewangan melalui platform pihak ketiga.

Ketua Pegawai Transformasi Aeon Credit Service (M) Bhd Ajit Jayaram berkata salah satu faedah utama pembiayaan terbuka ialah kemasukan lebih besar pengguna yang kini kurang mendapat layanan daripada penyedia kewangan tradisional.

“Keterangkuman kewangan bukan tentang membuka akaun bank; ia adalah mengenai memberi akses kepada kredit berdasarkan kemampuan.

“Saya percaya perbankan terbuka akan menyelesaikan masalah keterangkuman kewangan dan dengan bank yang mempunyai akses kepada data transaksi, kami boleh mengumpulkan maklumat tentang sikap pelanggan dan menilai kemampuan kewangan mereka.

“Dalam jangka masa panjang, anda boleh mempunyai pendekatan khusus kepada setiap pelanggan anda,” katanya semasa perbincangan bersama ahli-ahli panel yang diadakan sempena Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF2022) dua hari, hari ini.

Ajit merupakan salah seorang ahli panel semasa perbincangan bertemakan “The Journey from Open Banking to Embedded Finance”.

Dalam menyuarakan sentimennya, Ketua Negara Zurich Malaysia Junior Cho berkata kewangan terbuka menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna manakala syarikat pula mampu memacu lebih banyak inovasi berdasarkan permintaan khusus pengguna.

“Kewangan terbuka adalah keperluan bagi penyedia perkhidmatan kewangan untuk maju pada masa hadapan dan pelanggan hari ini bersedia untuk berkongsi data mereka untuk mendapatkan produk yang khusus dan disesuaikan dengan keperluan mereka,” katanya.

GIFF2022 dianjurkan bersama oleh Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia, sebagai sokongan terhadap inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Bertemakan “Take the Reins”, GIFF2022 yang dianjurkan secara dwitahunan itu bertujuan untuk menjana wacana aktif mengenai langkah-langkah yang diperlukan untuk mengukuhkan kedudukan kepimpinan global kewangan Islam.

Perbincangan utama akan berkisar mengenai topik seperti teknologi kewangan dan pendigitalan, tumpuan dalam perjalanan daripada perbankan terbuka kepada kewangan terbenam (embedded finance) dan cara membina perkhidmatan kewangan digital dengan mudah.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/giff-2022-ekosistem-kewangan-terbuka-perlu-jadi-hala-tuju-kewangan-islam/

Previous ArticleNext Article

Monee Perkenal SFinancing-i Kepada Semua Pengguna Shopee Dengan Pembiayaan Digital Patuh Syariah

Monee Capital Malaysia Sdn. Bhd. (Monee) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi SFinancing-i, iaitu penyelesaian pembiayaan digital patuh Syariah yang kini dibuka kepada semua pengguna Shopee* di Malaysia. Direka untuk memberikan lebih fleksibiliti kewangan, SFinancing-i membolehkan pengguna mengakses pembiayaan tunai segera dengan mudah terus melalui aplikasi Shopee.

Dengan pembiayaan sehingga RM20,000 dan tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan, SFinancing-i direka untuk membantu memenuhi keperluan kewangan peribadi pengguna melalui pengalaman yang mudah dan lancar secara digital. Pengguna yang diluluskan boleh mengeluarkan dana serta-merta ke akaun bank atau ShopeePay Wallet, tanpa perlu mengemukakan dokumen pendapatan atau membayar sebarang yuran pengaktifan.

Sempena pelancaran ini, pengguna yang mengaktifkan dan membuat permohonan pembiayaan pertama akan menikmati promosi istimewa kadar bulanan 1%* untuk tempoh bayaran balik sehingga 24 bulan.

Dikuasai oleh Monee Capital Malaysia dengan kerjasama Sedania As Salam Capital, serta disahkan oleh Masryef Advisory, SFinancing-i dibangunkan berasaskan prinsip Syariah Komoditi Murabahah (Tawarruq). Ia menawarkan penyelesaian pembiayaan yang telus dan mudah diakses, selaras dengan prinsip kewangan Islam.

Ciri-ciri utama SFinancing-i termasuk:

  • Pembiayaan sehingga RM20,000
  • Tempoh bayaran balik yang fleksibel sehingga 24 bulan
  • Pengeluaran tunai segera ke akaun bank atau ShopeePay Wallet
  • Kadar bulanan 1% untuk permohonan pembiayaan pertama
  • Proses permohonan 100% digital tanpa dokumen pendapatan
  • Tiada yuran pengaktifan

Pengguna yang layak boleh mengaktifkan SFinancing-i terus melalui tab “Saya” di aplikasi Shopee. Perkhidmatan ini terbuka kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap yang berumur 18 tahun ke atas.

Bagi pengguna yang memerlukan jumlah pembiayaan lebih tinggi, Monee turut menawarkan SFinancing-i Xtra, iaitu penyelesaian pembiayaan bertempoh yang menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000 kepada pengguna yang layak**, dengan kadar bulanan serendah 0.75%.

Untuk maklumat lanjut, sila klik DI SINI.

*Tertakluk kepada terma dan syarat.

**SFinancing-i Xtra pada masa ini hanya tersedia untuk pengguna terpilih sahaja.