CPTPP Bagi Malaysia Akan Berkuat Kuasa 29 Nov Ini – Mohamed Azmin

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) — Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi Malaysia akan mula berkuat kuasa pada 29 November ini, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Malaysia telah meratifikasi CPTPP berikutan penyerahan surat cara ratifikasi oleh kerajaan untuk perjanjian itu kepada New Zealand, depositari CPTPP, pada 30 Sept 2022.

Menurut Mohamed Azmin, ratifikasi CPTPP bagi Malaysia dianggap selesai dan Malaysia merupakan negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian ini. 

“Hasil Kajian Analisis Kos-Faedah (CBA) menunjukkan bahawa manfaat yang bakal dinikmati oleh Malaysia menerusi penguatkuasaan CPTPP jelas mengatasi sebarang kos yang mungkin timbul.

“Segala pindaan undang-undang berkaitan perjanjian CPTPP telah selesai,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) mengenai status penyertaan Malaysia untuk CPTPP dan kemajuan untuk perjanjian perdagangan bebas lain.

Mohamed Azmin berkata beberapa pengecualian dan fleksibiliti berkaitan hak Bumiputera dan pemain tempatan di bawah perjanjian CPTPP juga telah diperoleh.

“Kesemua negara anggota CPTPP tidak mempunyai sebarang tempoh peralihan bagi nilai ambang perolehan mereka kecuali Malaysia dan ini merupakan kejayaan yang kita capai.

“Sebagai contoh, tempoh peralihan bagi Malaysia untuk sektor perkhidmatan adalah selama sembilan tahun, sektor barangan selama tujuh tahun dan sektor pembinaan selama 20 tahun,” katanya.

Oleh kerana Malaysia telah mendapat tempoh peralihan yang panjang, beliau berkata kementerian telah berbincang dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk melihat modul tertentu bagi mempersiapkan pemain tempatan, khususnya Bumiputera untuk bersedia menyertai perjanjian CPTPP.

Selain itu, katanya komitmen Malaysia berkaitan perolehan kerajaan ini adalah terhad kepada peringkat Persekutuan sahaja dan tidak melibatkan peringkat negeri.

Mohamed Azmin yakin perjanjian ini akan diteruskan oleh kerajaan yang akan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 sekiranya Parlimen dibubarkan kerana CPTPP memberi manfaat kepada negara dan rakyat. 

“Saya meminta supaya usaha untuk membubarkan Parlimen tidak dijalankan sekarang. Walaupun indikator ekonomi semakin baik, kita perlu sedikit masa supaya proses pemulihan ekonomi ini benar-benar memberikan kesan positif kepada rakyat,” katanya. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/cptpp-bagi-malaysia-akan-berkuat-kuasa-29-nov-ini-mohamed-azmin/

Previous ArticleNext Article

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.