Potensi Besar Bagi Malaysia Dan Jerman Untuk Bekerjasama Erat Dalam Industri Plastik

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) — Malaysia dan Jerman mempunyai potensi besar untuk bekerjasama erat dalam industri plastik bagi menggalakkan pemahaman yang lebih baik mengenai amalan kemampanan selain menambah nilai kepada usaha bersama dalam melindungi masyarakat dan alam sekitar.

Konsul Jeneral Malaysia di Frankfurt, Jerman, Farzamie Sarkawi berkata berdasarkan terma “plastik” berkaitan dengan idea kebolehsuaian yang sentiasa berubah dan berkesan, konsep serba guna telah menjadikan plastik sebagai antara produk paling penting dalam kehidupan orang ramai.

“Malaysia sedang mengalami transformasi kemampanan yang pesat dan dalam kami menggalakkan aktiviti ekonomi kitaran berdasarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 dan Aspirasi Pelaburan Nasional, kami mengiktiraf kepentingan perniagaan plastik.

“Saya percaya langkah Malaysia untuk menggalakkan kemampanan amat tepat pada masanya berikutan Jerman bersedia untuk memperkenalkan Akta Usaha Wajar Rantaian Bekalannya pada Januari 2023,” katanya dalam webinar bertajuk “Business Opportunities on Sustainable Materials, An Outlook On The Malaysia and German/North Rhine-Westphalia (NRW) Ecosystem” hari ini.  

Webinar itu diadakan bersempena dengan penyertaan Malaysia dalam KFair 2022 di Dusseldorf, Jerman, pameran perdagangan terbesar di dunia untuk industri plastik dan getah.

NRW ialah wilayah plastik nombor satu di Jerman dan Eropah dengan lebih 145,000 pekerja dan perolehan tahunan sebanyak 36 bilion euro.

Pesuruhjaya Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Frankfurt Zuhaila Sedek berkata Jerman memberi penekanan yang kuat terhadap pematuhan kepada aturan, peraturan dan kemampanan.

Oleh itu, katanya perlu bagi syarikat Malaysia melakukan transformasi sebagai persediaan. 

“Mematuhi amalan mampan bukan lagi satu pilihan. Ia adalah satu keperluan untuk mengakses pasaran Kesatuan Eropah (EU) khususnya Jerman.

“Menerusi Akta Usaha Wajar Rantaian Bekalan Jerman yang akan berkuat kuasa pada tahun depan, syarikat Malaysia perlu memastikan ia boleh kekal berada dalam rantaian bekalan syarikat Jerman,” katanya.

Beliau berkata ia juga merupakan peluang untuk memahami dan meneroka potensi pasaran yang besar di Jerman kerana negeri NRW menempatkan lebih satu pertiga daripada 50 syarikat jualan terbaik di Jerman.

“Melangkah ke hadapan, ekoran daripada iklim ekonomi semasa, ia juga penting untuk mempelbagaikan…membentuk kerjasama seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pembangunan produk untuk meningkatkan nilai yang akan membawa penjenamaan yang baik untuk Jerman dan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata Matrade telah mengenal pasti kumpulan syarikat Malaysia yang kukuh untuk pameran itu, menyasarkan untuk menunjukkan keupayaan, inovasi dan kemampanan Malaysia.

Pada 2021, eksport Malaysia bagi resin plastik dan produk berkaitan plastik direkodkan pada RM16.01 bilion atau kira-kira 3.4 bilion euro.

Setakat Ogos 2022, Jerman merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di Eropah dan rakan dagang ke-13 terbesar secara keseluruhan serta destinasi eksport ke-14 terbesar dan sumber import kesembilan terbesar.

PANDANGAN PENERAJU PERNIAGAAN JERMAN TERHADAP MALAYSIA 

Dalam tempoh sama, Malaysia merupakan rakan dagang ke-33 terbesar Jerman, destinasi eksport ke-42 terpenting serta sumber import paling utama yang ke-28.

Pengurus Besar Asia dan Australia NRW.Global Business, Astrid Becker berkata syarikat Jerman perlu melihat Malaysia dengan lebih baik berdasarkan pembangunan ekonomi yang kukuh yang sedang dilalui oleh negara di Asia Tenggara itu. 

“Terdapat sistem pendidikan yang cemerlang dan syarikat Jerman boleh bergantung kepada tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dan mencari rakan kongsi di Malaysia dan seterusnya ke rantau ASEAN. 

“Selain itu, kami mahu membina hubungan apabila syarikat Jerman boleh mendapatkan bekalan dari Malaysia untuk aktiviti di NRW.

“Terdapat banyak peluang untuk diterokai oleh syarikat NSW dan kami berharap dapat membawa lebih banyak syarikat bersama-sama di kedua-dua negara untuk menjadi rakan kongsi perniagaan yang bernilai,” katanya. 

NRW.Global Business merupakan agensi perdagangan dan pelaburan negeri NRW. 

Perunding Antarabangsa Dewan Perniagaan dan Industri Jerman (IHK) Ostwestfalen zu Bielefeld (dewan utama untuk Malaysia di NRW) Jan Muller berkata syarikat Jerman sedang mencari pasaran baharu yang berpotensi memandangkan keadaan pasaran semasa yang sukar. 

“Kami telah melihat Rusia dan pasaran lain tetapi apabila pasaran menjadi semakin sukar pada masa ini seperti di Rusia, pemain industri melihat ke luar negara dan jauh dari pasaran China dan di situlah peranan Malaysia.

“Mereka (Malaysia) kukuh, mempunyai kerajaan yang baik, pasaran yang stabil dan boleh dipercayai untuk syarikat Jerman membuat pelaburan. Kami mahu mempunyai hubungan dengan Malaysia dan melihat bagaimana kami boleh menjalankan perniagaan di sana,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/potensi-besar-bagi-malaysia-dan-jerman-untuk-bekerjasama-erat-dalam-industri-plastik/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.