Bulan Literasi Kewangan Malaysia Untuk Lahirkan Masyarakat Bijak Wang Dan Mahir Perkhidmatan Kewangan Digital

  • Program pendidikan kewangan Fun(d) for Life menggunakan kepakaran teknologi digital untuk mendidik anak muda, ibubapa dan pendidik tentang wang 
  • Wang tunai sehingga RM20,000 untuk dimenangi sepanjang Bulan Literasi Kewangan Malaysia edisi ke-3 
  • Kolaborasi dengan pelbagai organisasi kewangan termasuk Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sebagai sokongan terhadap usaha Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) mendidik masyarakat tentang wang 

KUALA LUMPUR, 12 OKTOBER 2022: Perkembangan pesat teknologi digital pasca pandemik COVID-19 telah meningkatkan keperluan peningkatan kesedaran, keyakinan dan kemahiran orang ramai terhadap perkhidmatan kewangan digital. 

Walaubagaimanapun, masih ramai rakyat Malaysia yang bukan sahaja tidak mempunyai kemahiran dalam menguruskan perkhidmatan kewangan digital, tetapi juga mempunyai kesukaran dalam menguasai kemahiran kewangan peribadi. 

Menyedari perkara ini, sekurang-kurangnya 1,000 orang pelajar, pendidik dan ibubapa seluruh Malaysia bakal terlibat secara langsung dalam aktiviti pendidikan kewangan Fun(d) for Life, sempena Bulan Literasi Kewangan Malaysia yang dianjurkan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan Malaysia (dipengerusikan Bank Negara Malaysia & Suruhanjaya Sekuriti Malaysia).

Pelajar di SK Gong Kapas Terengganu menghadiri Kem Kewangan sempena Bulan Literasi Kewangan

Program Fun(d) for Life merupakan program pendidikan kewangan dwibahasa pertama untuk anak muda, ibubapa dan juga pendidik di Malaysia yang dibawakan bersama oleh FWD Takaful Berhad (FWD Takaful) dan Arus Academy secara percuma. 

Sempena Bulan Literasi Kewangan yang akan disambut sepanjang 1 Oktober hingga 31 Oktober 2022, Fun(d) for Life akan berganding bahu dengan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) Malaysia yang dipengerusikan bersama Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk melaksanakan program kewangan seiring dengan tema tahun ini, iaitu ‘Kesejahteraan Kewangan: Jom Digital dengan Yakin’. 

Menurut Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi, Ketua Pegawai Strategi & Saluran Digital FWD Takaful, “Kesejahteraan kewangan dapat dicapai apabila seseorang individu menguasai piramid pengurusan kewangan yang bermula dengan perlindungan, simpanan dan pelaburan. Kami memanfaatkan kepakaran dan minat FWD Takaful ke arah teknologi digital untuk memastikan lebih ramai orang dapat meningkatkan literasi kewangan dalam tiga aspek ini seawal bangku sekolah termasuk kumpulan pendidik dan juga ibubapa.” 

Sepanjang penganjurannya dalam tahun 2022, program Fun(d) for Life telah melaksanakan pelbagai program pendidikan kewangan bersama hampir 5,000 orang pelajar dan pendidik di seluruh negara secara bersemuka dan secara maya, termasuk kem kewangan selama dua minggu di Sabah dan Sarawak. Bulan Literasi Kewangan ini akan menyaksikan kemuncak segala aktiviti yang dilaksanakan dengan penganjuran Sidang Kemuncak Program Pendidikan Kewangan Fun(d) for Life 2022 yang melibatkan guru, murid dan warga komuniti. 

Untuk menyertai pelbagai aktiviti percuma oleh program Fun(d) for Life yang menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM20,000 sempena Bulan Literasi Kewangan Malaysia, sila layari www.fundfor.life/FLM2022.

Hadiah wang tunai menanti

Mengenai Fun(d) for Life: 

Fun(d) for Life merupakan sebuah program pendidikan kewangan untuk murid seawal 7 tahun, guru dan ibubapa. Ia dibawakan secara percuma oleh FWD Takaful dan Arus Academy. Melalui portal dwibahasa Fun(d) for Life kami di www.fundfor.life, kami menyediakan pelbagai permainan interaktif, infografik, komik serta tips aktiviti bagi murid, guru dan ibubapa. 

Ia merangkumi pelbagai topik-topik kewangan yang relevan di masa kini termasuk simpanan, bajet, matawang asing, penipuan atau scam di alam maya serta kepentingan perlindungan takaful. 

Dari masa ke semasa, Fun(d) for Life juga menganjurkan pelbagai program interaktif dan pertandingan bagi murid, guru dan ibubapa untuk membantu meningkatkan pengetahuan kewangan melalui cara yang seronok dan relevan. 

Program Fun(d) for Life adalah sebagai sokongan terhadap Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dan adalah selari dengan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023 untuk meningkatkan kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.fundfor.life. 

Mengenai FWD Takaful Berhad 

FWD Takaful Berhad (“FWD Takaful”) adalah pengendali takaful di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan takaful keluarga. FWD Takaful dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. FWD Takaful adalah unit perniagaan takaful Kumpulan FWD. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari fwd.com.my. 

Mengenai Kumpulan FWD 

Kumpulan FWD (“FWD”) adalah perniagaan insurans hayat Asia dengan kira-kira 10 juta pelanggan merentasi 10 pasaran, termasuk beberapa pasaran insurans yang paling pesat berkembang di dunia. Ditubuhkan pada tahun 2013, FWD menumpukan usaha untuk menjadikan insurans lebih mudah, cepat dan lancar, dengan pembaharuan yang inovatif dan pelan perlindungan yang mudah difahami, disokong oleh teknologi digital. Melalui pendekatan yang mengutamakan pelanggan ini, FWD komited untuk mengubah pandangan orang ramai terhadap insurans dan takaful. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari fwd.com.

Previous ArticleNext Article

Google Tubuh Entiti Tempatan Di Malaysia: Implikasi Terhadap WHT di Malaysia

Google baru-baru ini memaklumkan kepada pelanggan di Malaysia bahawa syarikat itu sedang menubuhkan entiti tempatan, Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Langkah ini membawa perubahan kepada struktur transaksi Google Cloud Platform dan Google Workspace bagi pelanggan yang mempunyai alamat pengebilan di Malaysia dan membuat pembayaran dalam Ringgit Malaysia (MYR).

Sebelum ini, transaksi pelanggan Malaysia dibuat dengan Google Asia Pacific Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura.

Selepas migrasi, kontrak dan akaun pelanggan yang terlibat akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd.

Perubahan ini bukan sekadar melibatkan syarikat teknologi, malah berpotensi memberi kesan kepada perniagaan dalam talian (online business) di Malaysia yang bergantung kepada perkhidmatan Google Cloud dan Google Workspace untuk menjalankan operasi harian.

Apa perubahan yang bakal berlaku?

Antara perubahan utama yang diumumkan:

1. Invois dikeluarkan oleh syarikat tempatan

Selepas migrasi, invois dan penyata bil akan dikeluarkan atas nama Google Cloud Malaysia Sdn. Bhd., termasuk alamat dan nombor pengenalan cukai entiti tempatan.

2. SST 8% dikenakan

SST akan dipaparkan sebagai komponen berasingan dalam invois dan dikutip oleh Google Cloud Malaysia mengikut kadar yang dinyatakan dalam notis tersebut.

3. Kontrak dipindahkan kepada entiti Malaysia

Kontrak sedia ada dengan Google Asia Pacific akan dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia. Entiti tempatan ini akan mengambil alih kedudukan kontrak berkenaan.

Jadi, bagaimana pula dengan Withholding Tax (WHT)?

Ini bahagian yang menarik dari perspektif percukaian.

Sebelum ini, pembayaran pelanggan Malaysia kepada Google Asia Pacific Pte Ltd perlu dinilai dari sudut cukai pegangan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).

Antara peruntukan yang relevan ialah Seksyen 109 berkaitan pembayaran royalti kepada bukan pemastautin.

Mengapa royalti?

Di bawah Seksyen 2 ACP 1967, definisi royalti merangkumi bayaran bagi penggunaan atau hak untuk menggunakan hak cipta, termasuk perisian (software).

Sebagai contoh, bayaran untuk mendapatkan hak penggunaan sesuatu aplikasi atau perisian oleh pelanggan sendiri berpotensi dikategorikan sebagai royalti dan tertakluk kepada WHT di bawah Seksyen 109.

Kadar domestik WHT bagi royalti ialah 10%, tertakluk kepada kadar atau layanan berbeza di bawah Perjanjian Pengelakan Pencukaian Dua Kali (DTA), jika berkenaan.

Apa implikasinya kepada Malaysia?

Perubahan struktur entiti syarikat teknologi antarabangsa seperti Google AKAN memberikan beberapa implikasi kepada landskap percukaian negara:

  1. Lebih banyak transaksi perkhidmatan digital boleh dilaksanakan melalui entiti tempatan.
  2. Kutipan SST dapat dilaksanakan melalui pembekal tempatan.
  3. Pelanggan Malaysia mungkin tidak lagi perlu membuat potongan WHT bagi pembayaran Google Cloud yang telah dipindahkan kepada Google Cloud Malaysia, tertakluk kepada struktur kontrak dan penerima sebenar pendapatan.

Bila migrasi ini akan berkuatkuasa?

Google akan menghantar dua notifikasi berasingan kepada pelanggan:

  1. Sebelum migrasi – pemberitahuan awal sebelum akaun dan kontrak dipindahkan.
  2. Selepas migrasi – pengesahan bahawa perubahan telah berkuat kuasa.

Notifikasi akan dihantar ke alamat e-mel yang didaftarkan.

Kesimpulannya, penubuhan entiti tempatan oleh syarikat teknologi antarabangsa bukan sekadar perubahan alamat invois. Ia boleh mengubah kedudukan percukaian transaksi, termasuk kewajipan cukai pegangan di Malaysia.