YES Lancar Pusat Pengalaman Dilengkapi Wifi 5G Percuma

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) — YES, pengendali rangkaian mudah alih YTL Communications Sdn Bhd (YTL), melancarkan Pusat Pengalaman YES pertamanya, yang membolehkan pelanggan membeli produk dan perkhidmatan telekomunikasi sambil menikmati ketersambungan wifi 5G secara percuma.

Ia juga tampil dengan restoran dan kafe yang dikuasai 5G pertama di Malaysia untuk para pelanggan menjamu selera dan menikmati ketersambungan 5G bersama ahli keluarga dan sahabat handai. 

“Pusat Pengalaman ini mewujudkan ruang modular untuk acara-acara korporat dan persendirian daripada sesi kerja bersama, persidangan hingga hackathon teknologi, ruang hiburan dan perlawanan permainan yang dikuasai 5G.

“Ia akan menjadi sebuah ruang komuniti yang sebenar dengan tujuan untuk saling berhubung antara satu sama lain dan memanfaatkan potensi sebenar teknologi 5G,” kata Ketua Pegawai Eksekutif YES Wing K Lee ketika pelancaran pusat itu di pusat beli-belah Lot 10 di sini hari ini.

Beliau berkata semua kedai YES di seluruh negara akan menggunakan konsep dan reka bentuk yang sama tidak lama lagi.

Dari segi liputan, Lee berkata liputan YES 5G di seluruh negara pada masa ini berada pada 32 peratus.

“Sementara itu, 90 peratus liputan 5G berada di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya, menjelang akhir tahun, kami akan mencapai 40 peratus liputan di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, Pusat Pengalaman YES  juga menawarkan pelanggan pengalaman praktikal teknologi 5G, daripada peranti 5G terkini dan robot berkuasa 5G kepada pengalaman realiti maya.

Dengan reka bentuk moden dan persediaan yang cukup indah, ia juga sebuah ruang yang sempurna untuk gambar-gambar ‘Instagram-worthy’, serta peluang untuk pengalaman fotografi dan penggambaran video yang dikuasai teknologi. 

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/yes-lancar-pusat-pengalaman-dilengkapi-wifi-5g-percuma/

Previous ArticleNext Article

Powerwell Catat Rekod Untung Bersih Tertinggi RM24.1 Juta, Sasar Lonjakan Melalui Sektor Pusat Data

KUALA LUMPUR: Pakar pengedaran kuasa tempatan, Powerwell Holdings Berhad (“Powerwell”) berjaya menamatkan tahun kewangan 2026 (“FY26”) dengan prestasi luar biasa selepas mencatatkan keuntungan bersih tertinggi dalam sejarah syarikat berjumlah RM24.1 juta.

Pencapaian memberangsangkan ini menyaksikan keuntungan bersih kumpulan melepasi ambang RM20 juta buat kali pertama , melonjak daripada RM18.7 juta yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.

Prestasi Kewangan Sumbangan Pasaran Luar Negara

Bagi keseluruhan FY26, perolehan Powerwell melonjak 15.6% tahun-ke-tahun (YoY) kepada RM159.0 million berbanding RM137.5 juta pada tahun lalu. Pertumbuhan mampan ini dipacu terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada operasi kumpulan di Bangladesh dan Indonesia.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY26), perolehan kumpulan mencatatkan penurunan kepada RM41.4 juta berbanding RM47.7 juta sebelum ini disebabkan oleh penghantaran produk yang lebih rendah.

Meskipun begitu, margin keuntungan kasar bagi suku tersebut melonjak kepada 39.8% (daripada 35.1% pada suku sama tahun lepas) hasil daripada pemuktamadan akaun untuk sebuah projek pusat data (data centre) serta projek loji hidro. Keadaan ini, ditambah pula dengan pembalikan kemerosotan nilai penghutang perdagangan dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah, telah melonjakkan untung bersih 4QFY26 sebanyak 6.9% YoY kepada RM7.7 juta.

Sebagai ganjaran kepada para pemegang saham, Powerwell mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 1.0 sen sesaham bagi suku di bawah tinjauan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan dividen bagi FY26 sebanyak 1.5 sen sesaham, yang mewakili nisbah pembayaran sebanyak 36.1% (anggaran RM8.7 juta).

Projek Mega & Pasaran Borneo

Tahun kewangan 2026 turut melakar sejarah tersendiri apabila Powerwell berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam ekosistem teknologi tinggi selepas meraih projek pusat data tunggal terbesar bernilai RM68.5 juta.

Bagi meluaskan lagi empayar perniagaannya, kumpulan sedang aktif mengembangkan ruang pembuatan di Malaysia dan Indonesia. Di samping itu, Powerwell telah memuktamadkan pengambilalihan 49% kepentingan dalam Tenaga Kenari pada 1 April 2026. Langkah strategik ini memberikan akses segera bagi kumpulan untuk menembusi pasaran Sarawak dan Sabah (Timur Malaysia), sekali gus membuka peluang rantaian pelanggan baharu dalam industri semikonduktor, utiliti, dan tenaga boleh diperbaharui.

Prospek Cerah

Sehingga akhir Mac 2026, nilai tempahan (order book) Powerwell kekal sihat pada paras RM150.8 juta, sekali gus memberikan pendapatan yang stabil untuk tempoh akan datang.

Melihat ke hadapan, pihak pengurusan Powerwell optimis terhadap prospek perniagaan syarikat yang disokong oleh saluran tender (tender pipeline) yang sangat aktif. Kumpulan sedia merebut peluang luas dalam segmen-segmen pesat membangun termasuk pusat data, tenaga boleh diperbaharui, semikonduktor, dan infrastruktur.

Walau bagaimanapun, memandangkan keadaan pasaran global yang dinamik, Powerwell menegaskan akan terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dengan memantau rapat ketidaktentuan pasaran, perkembangan geopolitik, dan keadaan makroekonomi yang boleh memberi kesan kepada landskap perniagaan.