ARBM Bekerjasama Dengan Nomura Asset Management Bagi Tingkatkan Penawaran Pelaburan Syariah

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) — Al Rajhi Bank Malaysia (ARBM) bekerjasama dengan Nomura Asset Management Malaysia untuk meningkatkan penawaran pelaburan Syariah dan kepelbagaian produknya, sekali gus mengisi jurang produk untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, ARBM akan menambah tiga dana Nomura, iaitu Nomura Global Shariah Semiconductor Equity Fund, Nomura Global Shariah Strategic Growth Fund dan Nomura i-Income Fund dalam senarai penawaran produknya.

“Kerjasama ini akan menawarkan lebih banyak pilihan dana patuh Syariah kepada pelanggan kami yang telah dipilih secara strategik untuk pertumbuhan berdasarkan trend kewangan digital dan Islam,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ARBM Arsalaan Ahmed dalam kenyataan hari ini. 

Dilancarkan pada Julai 2022, Nomura Global Shariah Semiconductor Equity Fund adalah untuk pelabur yang mencari pertumbuhan modal jangka panjang dan peluang daripada syarikat yang terlibat di peringkat global dalam ekosistem pembuatan semikonduktor yang patuh Syariah dengan toleransi risiko tinggi.

Bagi Nomura Global Shariah Strategic Growth Fund, matlamat dana ini ialah mencapai pertumbuhan modal jangka panjang, terutamanya melalui pelaburan dana dalam ekuiti patuh Syariah asing, sukuk, skim pelaburan kolektif Islam dan instrumen pasaran wang Islam.

Nomura i-Income Fund pula bertujuan untuk memberikan pengagihan pendapatan tetap kepada pelabur melalui pelaburan dalam deposit Islam, instrumen pasaran wang Islam dan sukuk.

Pelanggan akan dapat melanggan dana Nomura di semua cawangan Al Rajhi Bank Malaysia mulai 21 Okt 2022. 

Nomura Asset Management Malaysia kini menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset di bawah pengurusan untuk pelabur korporat dan runcit.

Ia adalah sebahagian daripada 14 pejabat global, yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/arbm-bekerjasama-dengan-nomura-asset-management-bagi-tingkatkan-penawaran-pelaburan-syariah/

Previous ArticleNext Article

FCPO: Penurunan Harga Kian Menguat

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mengalami penurunan mendadak pada hari Jumaat apabila menyusut MYR76 untuk ditutup pada harga MYR4,475. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras MYR4,560. Ia mencecah paras tertinggi intrahari pada MYR4,577 sebelum kegiatan jualan yang besar mengheretnya ke arah paras terendah sesi tersebut pada MYR4,455. Ia kemudiannya menutup dagangan berhampiran paras terendah sesi hari itu dengan corak lilin menurun yang kuat, sekali gus mengesahkan tekanan jualan mendominasi pasaran.

Pergerakan ini menyaksikan FCPO menurun ke arah paras sokongan terdekat bernilai MYR4,390. RSI berada dalam zon menurun, lalu memberikan isyarat bahawa momentum menurun adalah kukuh dan mungkin akan berlarutan. Komoditi ini sekarang diramalkan untuk menguji paras sokongan seterusnya pada MYR4,390. Kami bertindak mengekalkan bias dagangan negatif kerana sentimen menurun jelas menguasai pasaran.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurangkan risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih dikekalkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya ialah MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi sebanyak MYR4,600.