Mekanisasi Atasi Kebergantungan Pekerja Asing Sektor Perladangan

MELAKA, 1 Nov (Bernama) — Pembangunan mekanisasi dalam sektor ladang kelapa sawit perlu dipertingkatkan sebagai alternatif terbaik dalam mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing yang semakin mendesak pada waktu ini.

Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata sehingga Oktober 2022, jumlah pekerja asing di sektor tersebut hanya 13,000 orang sahaja yang mana secara dasarnya ia memerlukan 100,000 pekerja asing untuk ditempatkan di ladang-ladang di seluruh negara.

Manakala penglibatan pekerja tempatan pula katanya, sangat perlahan walaupun menunjukkan peningkatan lebih 0.6 peratus. 

Beliau berkata setakat 2021, hampir 391,000 pekerja asing direkodkan bekerja di sektor perladangan sawit yang mana 74 peratusnya adalah dari Indonesia. 

“Jadi bagi mengurangkan kesan tenaga kerja terutama melibatkan aktiviti tuaian kelapa sawit, lebih 35 buah jentera ladang dibangunkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang mana alternatif ini mampu menampung kekurangan tersebut dan dalam masa yang sama menarik belia tempatan agar menceburi sektor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan “Labour and Mechanisation in Plantation Seminar (LAMP) 2022” di sini hari ini. Hadir sama Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir. 

Katanya dengan teknologi mekanisasi yang direka dan dibangunkan itu juga pihaknya mendapati mampu menampung kekurangan tenaga pekerja sebanyak 20 hingga 30 peratus.

Sementara itu, Ahmad Parveez berkata inovasi lebih 20 rekaan mesin dan jentera dalam bidang perladangan kelapa sawit yang sedang dibangunkan itu akan menjadikan negara mempunyai teknologi mekanisasi yang canggih, praktikal, selamat dan kos efektif terutama dalam aktiviti tuaian sawit bagi tempoh tiga hingga lima tahun lagi. 

“Jadi jumlah pekerja itu boleh dialihkan kepada bahagian lain seperti pengurusan memandangkan lebih banyak kerja-kerja ladang boleh menggunakan teknologi ini terutamanya aktiviti penuaian buah tandan segar,” katanya.

Katanya antara projek penyelidikan dan pembangunan berteknologi tinggi yang sedang dijalankan juga termasuklah teknologi laser dan ultrasonik, penyelarasan radio serta pelbagai teknologi tuaian.

“Jentera yang dibangunkan adalah jentera bagi aktiviti pengumpulan, penuaian buah sawit dan penyelenggaraan ladang.

“Ini termasuklah jentera seperti Grabber, jentera pemindahan, alat penuaian, kenderaan penyembur berasas sensor dan pengangkat mudah alih buah tandan segar yang dikomersialkan,” katanya.

–BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/mekanisasi-atasi-kebergantungan-pekerja-asing-sektor-perladangan/

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.