InvestKL Tarik Empat MNC Wujudkan Hab Di Greater KL

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — InvestKL telah menarik empat syarikat multinasional untuk mewujudkan hab dan pejabat perkhidmatan perniagaan di kawasan Greater Kuala Lumpur, mengukuhkan matlamat strategik untuk tempoh 10 tahun bagi menarik pelaburan sebanyak RM35 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL Muhammad Azmi Zulkifli mengumumkan bahawa pengeluar dari Australia, The Arnott’s Group (TAG), Tupperware Brands Corp, syarikat pembangunan perisian senaraian awam Britain, Endava Plc dan Baxter Southeast Asia telah memilih Greater KL untuk mewujudkan hab dan pejabat perkhidmatan perniagaan.

“Prestasi ekonomi negara yang berdaya tahan selepas pandemik turut dapat dilihat daripada peningkatan pelaburan asing yang masuk, dengan lebih banyak syarikat global memutuskan untuk mewujudkan hab perkhidmatan global mereka di Greater KL pada tahun ini.

“Ini menjadi bukti kepada tarikan Malaysia yang berterusan dalam kalangan pelabur asing sebagai destinasi pelaburan pilihan berdasarkan asas negara yang kukuh, dasar yang mesra pelabur, infrastruktur yang baik dan kumpulan tenaga kerja yang dinamik,” katanya dalam kenyataan.

Pada separuh pertama 2022, InvestKL berjaya menarik RM1.68 bilion nilai pelaburan, mewujudkan 1,919 peluang pekerjaan eksekutif berkemahiran tinggi. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA