Peruntukan RM99.7 Bilion Dalam Bajet 2023 Bukti Komitmen Kerajaan Untuk Bantu Pasaran Tenaga Kerja – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) — Peruntukan sebanyak RM99.7 bilion dalam Bajet 2023 yang meliputi ekosistem pasaran tenaga kerja secara menyeluruh, merangkumi penawaran tenaga kerja, pasaran kerja dan permintaan tenaga kerja, menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu pasaran tenaga kerja pada masa depan, kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata bajet itu yang dibentangkan pada bulan lepas dijangka meningkatkan penawaran tenaga kerja melalui pemerkasaan kumpulan fokus seperti B40, M40, wanita dan belia dengan peruntukan sebanyak RM18.6 bilion.

“Selain itu, komponen permintaan tenaga kerja tertumpu kepada mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat melalui langkah langsung dan tidak langsung yang bernilai sekurang-kurangnya RM80.9 bilion.

“Akhir sekali, langkah-langkah pengukuhan pasaran pekerjaan melalui memberi insentif bagi pencarian kerja dan pemadanan untuk meningkatkan pekerjaan yang dijangka melibatkan kos kira-kira RM208 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam laporan “Labour Market Outlook 2023 – Dovetailing post-pandemic recovering momentum with enhanced resilience and reforms”, yang diterbitkan oleh Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) baru-baru ini.

Menurut kajian itu, kos sara hidup yang semakin meningkat mengekang pendapatan boleh guna isi rumah dan disebabkan dua pertiga daripada pendapatan isi rumah adalah daripada gaji yang dibayar, lonjakan kos sara hidup akan memperlahankan perbelanjaan penggunaan dan menjejaskan pertumbuhan dari aspek permintaan.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk makanan dan minuman bukan alkohol telah meningkat secara mendadak sebanyak lebih 4.0 peratus sejak Mac 2022 berbanding kadar biasa.

“Walaupun kadar pengangguran merosot daripada 4.2 peratus pada Januari kepada 3.7 peratus pada Julai, terendah sejak Februari 2020, kadar itu masih tinggi daripada paras sebelum krisis (3.3 peratus pada 2019).

“Oleh itu, kenaikan harga makanan dan minuman sudah tentu akan memberi kesan kepada pendapatan isi rumah terutamanya bagi golongan B40 dan M40 rendah,” katanya.

Mohd Yusof berkata tindakan dalam bentuk campur tangan yang kritikal adalah diperlukan untuk meningkatkan lagi impak daripada penawaran tenaga kerja.

Katanya ini melalui pendekatan pelbagai dimensi sebagai insentif untuk rakyat bekerja selain melaras semula kemahiran dan kecekapan pekerja bagi memenuhi keperluan industri yang menjadi teras untuk menyokong pengeluaran ekonomi.

“Pengangguran belia, kebolehpasaran siswazah, perlindungan pekerja dan pembangunan bakat atau tenaga kerja telah diketengahkan dalam Bajet 2023 dengan memanfaatkan teknologi tinggi dan pertumbuhan berasaskan digital yang dapat memperkukuh aspek meningkatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan taraf hidup,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, Pensyarah di Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob berkata ada di antara inisiatif itu dapat membantu menurunkan kadar pengangguran kepada 3.7 peratus setakat Julai 2022.

“Bagaimanapun, kita perlu terus meningkatkan lagi peratusan itu berikutan penyertaan tenaga kerja baharu dalam pasaran susulan kemasukan kalangan siswazah. Pada masa ini, Bajet 2023 akan menjadi platform permulaannya dan apabila ekonomi negara terus meningkat, akan ada kos tambahan yang diperlukan bagi mengekalkan atau menambah aktiviti-aktiviti ekonomi.

“Laporan Trends 2022 terbitan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menunjukkan ekonomi Asia Pasifik telah kembali pulih selepas terjejas oleh pandemik COVID-19. Adalah diharapkan dengan adanya kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Malaysia akan turut berpeluang menjana lebih banyak pelaburan asing,” katanya.

Walaupun terdapat sejumlah besar inisiatif dan subsidi yang diumumkan dalam Bajet 2023, Abu Sofian menyarankan agar tumpuan serta langkah lebih serius ditumpukan terhadap segmen pertanian dan ternakan yang disifatkannya sebagai penentu tahap jaminan keselamatan makanan selain memenuhi permintaan tempatan.

Beliau berkata, perladangan getah dan kelapa sawit perlu diteliti semula, termasuk mempertimbang pilihan untuk beralih kepada tanaman lain dalam usaha mengekalkan serta meningkatkan mata pencarian pemiliknya.

“Pekebun kecil misalnya perlu memikirkan kemungkinan untuk mengusahakan tanaman makanan lain. Kerajaan juga seharusnya menggalakkan inovasi serta pengeluaran komersial dalam skala besar dengan menghimpunkan pekebun kecil ini bagi membentuk satu koperasi atau sebuah syarikat sendirian berhad.

“Menerusi kerajaan yang stabil serta komitmen ini, kita mampu walaupun secara beransur-ansur untuk  pulih ke paras sebelum COVID dalam tempoh tiga hingga lima tahun,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Firdaos Rosli berkata aktiviti ekonomi yang digerakkan semula selain pembukaan sempadan antarabangsa terbukti membantu pemulihan pasaran tenaga kerja yang membolehkan transaksi dalam saluran rasmi dan tidak rasmi yang tidak berlaku ketika pandemik.

“Di satu sudut, dasar fiskal terbukti berkesan dalam membolehkan pasaran tenaga kerja ini kembali kepada asalnya. Ini hanya boleh berlaku dengan membenarkan perniagaan beroperasi dalam kapasiti lebih tinggi dan pekerja memasuki pasaran susulan peningkatan kegiatan-kegiatan perniagaan.

“Aspek lain pula menyaksikan persekitaran monetari yang akomodatif membantu mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta meningkatkan pendapatan boleh guna pekerja sepanjang tempoh pandemik,” katanya.

Susulan itu, katanya, kadar pengangguran Malaysia akan berkurangan dan berada di tahap lebih tinggi berbanding paras pra-pandemik berikutan lebihan kapasiti ketika syarikat-syarikat bergelut dengan kekurangan tenaga kerja.

“Terdapat usaha untuk mengurangkan secara beransur-ansur membabitkan aliran masuk pekerja asing berkemahiran rendah yang sebaliknya positif dari segi meningkatkan lagi aspek teknologi. Saya percaya aliran masuk pekerja asing ini akan lebih bersifat selektif dalam era pasca-pandemik.

“Bagaimanapun, kita tidak pasti sama ada kerajaan baharu nanti akan meneliti semula Bajet 2023 atau membentangkan semula,” katanya.

Bagi perbandingan di peringkat serantau, Firdaos berkata Malaysia secara relatifnya mencatat prestasi pemulihan tenaga kerja yang baik berbanding negara-negara lain seperti Indonesia dan China yang kekal menyaksikan kadar pengangguran tinggi serta belum kembali ke tahap pra-pandemik masing-masing.

Beliau berkata, kadar pengangguran Malaysia masih lagi sekitar paras pra-pandemik iaitu kira-kira 3.3 peratus walaupun ia semakin berkurangan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

“Prestasi AS, UK dan EU sebaliknya dilihat lebih baik kerana membuka ekonomi jauh lebih awal berbanding Malaysia. Kadar pengangguran negara-negara tersebut telah kembali ke tahap pra-pandemik seawal September 2021,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata kerajaan berkemungkinan perlu memberi tumpuan terhadap usaha penambahbaikan aspek upah bagi pemulihan pasaran tenaga kerja.

“Pandemik itu telah menyebabkan upah-kepada-keluaran dalam negara kasar (KDNK) susut kepada 34.8 peratus pada 2021 daripada 37.1 peratus pada 2020 yang menjauhkannya daripada sasaran 40 peratus sebagaimana ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Selain itu, penambahbaikan aspek upah ini akan turut membantu individu dalam meningkatkan semula simpanan persaraan mereka susulan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ini,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari