Touch ‘N Go eWallet Gabung Lima Langkah Utama Bagi Memerangi Penipuan Kewangan

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — TNG Digital Sdn Bhd (TNG Digital), pemilik dan pengendali Touch ‘n Go eWallet, komited untuk menggabungkan lima langkah utama yang dikenakan ke atas bank oleh Bank Negara Malaysia untuk memerangi penipuan kewangan.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat fintech itu berkata ia merancang untuk melaksanakan lima strategi itu pada suku pertama 2023, yang termasuk meningkatkan keselamatan dengan menambah lebih banyak kaedah pengesahan untuk melengkapi kaedah semasa, mengetatkan peraturan penipuan dan menyekat transaksi yang mencurigakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alan Ni berkata Touch ‘n Go eWallet memberi penekanan yang tinggi terhadap ciri-ciri privasi dan keselamatan untuk menjaga kepentingan pengguna.

“Kami percaya langkah-langkah yang diperkenalkan itu akan memberikan ketenangan fikiran kepada pengguna kami bahawa wang dalam e-dompet mereka dilindungi dan setiap transaksi yang dilakukan adalah selamat dan terjamin.

“Kami berharap langkah ini akan membawa kami lebih dekat dengan lebih ramai rakyat Malaysia berikutan mereka menggunakan Touch ‘n Go eWallet dalam kehidupan seharian, sejajar dengan visi kami untuk membina masyarakat yang lebih celik kewangan,” katanya.

Menurut syarikat itu, strategi lain ialah melaksanakan pengesahan dan tempoh bertenang untuk pendaftaran perkhidmatan kali pertama seperti peranti selamat atau dokumen profil dan mengehadkan pengesahan e-transaksi kepada satu peranti mudah alih atau peranti selamat bagi setiap pemegang akaun.

Strategi lain ialah mempunyai saluran perkhidmatan pelanggan atau talian hotline yang khusus untuk laporan insiden dan curiga mengenai penipuan, menurut TNG Digital.

“Apabila dilaksanakan, piawaian keselamatan ini dijangka akan mengukuhkan lagi perlindungan terhadap urus niaga penipuan dan akan mengukuhkan keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan rakyat Malaysia, peniaga dan komuniti e-dompet,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA