Pertumbuhan Pinjaman Bank Malaysia Kekal Lima Hingga Enam Peratus Pada 2023 — S&P Global

KUALA LUMPUR, 17 Nov  (Bernama) — Pertumbuhan pinjaman sektor perbankan Malaysia dijangka kekal di antara lima hingga enam peratus pada 2023 bersandarkan kepada ekonomi negara yang stabil yang akan menyokong kepercayaan kredit perniagaan dan pengguna Malaysia, kata S&P Global Ratings.

Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang pada 6.6 peratus pada 2022 dan purata 4.5 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Dalam Ulasan Prospek Bank 2023 oleh S&P Global Ratings yang dikeluarkan hari ini, firma penyelidikan itu berkata bank juga boleh mengatasi risiko kualiti aset yang semakin meningkat kerana permodalan yang kukuh dan penimbal peruntukan mampu mengimbangi tekanan kualiti aset.

Permodalan kukuh bank-bank Malaysia setakat 30 Jun, 2022 ialah pada 14.3 peratus nisbah ekuiti biasa Tahap-1, dan penampan peruntukan sebanyak 1.8 peratus daripada jumlah pinjaman akan membantu mereka menyerap peningkatan tekanan kredit yang sederhana, katanya.

Walau bagaimanapun, ia menyatakan bahawa kualiti aset dijangka merosot dan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) industri mungkin akan meningkat kepada 2.5 hingga 3.0 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang daripada 1.8 peratus pada akhir Jun 2022 berikutan tamatnya tempoh program moratorium.

”Pinjaman kepada isi rumah berpendapatan rendah dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergelut untuk pulih daripada pandemik mungkin berisiko. Inflasi yang lebih tinggi dan kadar faedah menyebabkan ia menjadi lebih teruk. Penampan peruntukan tinggi bank juga harus mengehadkan keperluan dalam peruntukan tambahan walaupun NPL meningkat.

“Sementara itu, kos kredit pula akan menurun kepada 30 hingga 40 mata asas (bps) tetapi kekal lebih tinggi daripada paras prapandemik kerana institusi perbankan berkemungkinan kekal berhati-hati di tengah-tengah ketidaktentuan global,” katanya.

Ia berkata bagaimanapun, pendapatan bank boleh menghampiri tahap prapandemik bermula 2023, dengan margin yang lebih tinggi, kos kredit yang disederhanakan dan kadar cukai yang dinormalkan akan mendorong dalam peningkatan itu.

“Dalam kes asas kami, kami meramalkan pulangan purata aset sebanyak 1.3 hingga 1.4 peratus, berbanding 1.1 hingga 1.2 peratus yang dianggarkan untuk 2022,” katanya.

S&P Global Ratings juga menekankan bahawa risiko pasaran hartanah harus dikekalkan walaupun isu lebihan bekalan dalam pasaran hartanah kekal sebagai cabaran berstruktur.

“Namun begitu, pertumbuhan sederhana dalam harga hartanah pada beberapa tahun kebelakangan ini, nisbah pinjaman kepada nilai berhemat bank dan pinjaman yang berhati-hati kepada risiko mengehadkan segmen komersial daripada sektor ini,” katanya.

Melangkah ke hadapan, ia berkata pada tahun depan, inflasi dan kadar faedah yang lebih tinggi boleh menjejaskan permintaan kredit dan meningkatkan risiko mungkir bagi sesetengah pengguna yang berpendapatan rendah serta kepada PKS.

“Kami melihat risiko ini sebagai masih boleh diurus. Walaupun ia bukan kes asas kami, peningkatan mendadak dalam pengangguran juga boleh meningkatkan risiko kualiti aset untuk sektor perbankan.

“Beberapa bank digital baharu boleh melancarkan operasi pada 2023. Walaupun kami percaya bank yang besar akan mengekalkan bahagian pasaran mereka, ia akan menjadi menarik untuk melihat bagaimana model perniagaan mereka berkembang untuk bertindak balas dengan persaingan digital,” katanya.

Melihat secara lebih meluas lagi terhadap sektor perbankan global, ia berkata sektor perbankan akan menjadi lebih sukar pada 2023. Walaupun sebahagian besar penilaian bank adalah stabil, S&P Global menjangkakan penimbal penting yang telah dibina oleh bank sepanjang 10 tahun yang lalu akan diuji kali ini.

Margin faedah bersih semakin “gemuk” dalam banyak bidang kuasa berdasarkan kadar faedah yang lebih tinggi. Rangsangan ini, bersama-sama dengan kualiti aset yang kukuh dan permodalan yang teguh, terus menyokong pandangan secara keseluruhan yang stabil merentas sektor perbankan global.

Asas deposit yang kukuh disokong oleh lebihan simpanan hasil daripada pandemik COVID-19 turut membantu, katanya.

Ia juga menekankan bahawa inflasi berada pada paras tertinggi 40 tahun dalam beberapa bidang kuasa perbankan, dan ini memberi kesan kepada kos pinjaman yang lebih tinggi. Inflasi juga bertindak seperti brek pada prospek pertumbuhan ekonomi.

Persamaan bagi bank boleh berubah pada inflasi yang lebih tinggi secara material di luar kes asas semasa S&P Global, atau kemelesetan yang lebih mendalam atau lebih lama mengakibatkan penguncupan pertumbuhan yang lebih teruk daripada jangkaan dan pengangguran yang lebih tinggi, katanya.

“Risiko utama kepada penarafan bank ialah munculnya keadaan ekonomi dan pembiayaan yang lebih teruk daripada kes asas kami. Risiko utama tambahan ialah insolvensi korporat yang berpotensi lebih tinggi diburukkan lagi oleh pinjaman korporat yang besar, pinjaman kerajaan yang tinggi dan sektor hartanah yang melemah.

“Kami menjangkakan peningkatan dalam perbezaan kredit antara yang kuat dan lemah. Cabaran mungkin lebih akut dan pantas untuk institusi kewangan bukan bank, dan bank tertentu di pasaran sedang pesat membangun. Entiti di negara yang paling terdedah kepada sekatan tenaga juga mungkin menghadapi cabaran,” tambahnya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/pertumbuhan-pinjaman-bank-malaysia-kekal-lima-hingga-enam-peratus-pada-2023-sp-global/

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.