Adidas Menamatkan Kerjasama Dengan Kanye West Berhubung Dengan Isu Anti-Semitik

Pepatah melayu ada menyebut, kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa. Perumpamaan tersebut menunjukkan mulut kita boleh menjadikan diri kita binasa tanpa memerlukan kekuatan fizikal. Begitulah yang terjadi kepada artis popular di Amerika Syarikat yang sering mencetuskan kontroversi iaitu Kanye West.

Kredit gambar: Stockx

Kanye West yang merupakan artis kulit hitam yang sangat popular dalam genre hip hop dan merupakan sebahagian kecil artis kulit hitam yang berjaya mencapai nilai kekayaan yang berjumlah billionaire. Dia berjaya menjadi billionaire disebabkan kerjasama yang dilakukanya bersama Adidas dalam mengeluarkan kasut Adidas di bawah jenama Yeezy.

Kasut Yeezy yang sangat popular dalam kalangan pencinta kasut merupakan salah satu kasut yang unik dan terhad. Kasut tersebut menjadi rebutan bagi peniaga kasut yang menjual balik kasut itu di pasaran terbuka dengan harga yang lebih mahal dari harga sebenar.

Kecaman Terhadap Kaum Yahudi

Pada bulan lepas, Kanye West telah memuji dirinya dengan merasakan dirinya hebat dalam kerjasama bersama Adidas. Semasa ditemu ramah oleh Piers Morgan, dia telah menyatakan dengan tegas bahawa syarikat Adidas memerlukan dirinya untuk mendapat tempat di Amerika Syarikat. Kanye turut merasakan pengaruh yang dimilikinya itu sangat besar sehinggakan jika dia melakukan kesalahan, pihak Adidas tidak akan memberhentikanya sebagai model untuk jenama mereka.

Sebelum ini, Kanye telah pun beberapa kali mengeluarkan kenyataan yang berbaur anti-semitik. Antaranya dia telah menuduh syarikat hip hop terkenal dari New York yang dimiliki oleh Puff Daddy dikawal oleh yahudi melalui Twitter. Dia juga mendakwa jika dia ingin mati dalam letupan, dia akan membawa tiga orang yahudi untuk mati bersamanya. Kebencian yang dinyatakan oleh Kanye West telah menimbulkan ketidaksenangan daripada golongan yahudi. Anti-semitik merurujuk kepada kata-kata yang boleh menimbulkan kebencian kepada kaum yahudi.

Perkara yang melibatkan anti-semitik ini merupakan isu yang sangat sensitif di Amerika Syarikat dan Eropah yang mana dipopularkan selepas berlakunya peristiwa holocoust di Jerman. Kanye kelihatan seperti mencabar Adidas apabila dia percaya Adidas tidak akan berani mengambil tindakan terhadap dirinya walaupun dia mengeluarkan kenyataan anti-semitik. Sangkaanya amat meleset sama sekali apabila pihak Adidas telah memaklumkan secara rasmi bahawa syarikat tersebut sudah memutuskan kerjasama yang dimenterai sejak tahun 2013.

Sumber: CNN Business

Sering Mencetuskan Kontroversi

Kanye West merupakan salah seorang artis yang sering mencetuskan kekecohan dalam dunia industri hiburan. Antara yang menjadi ingatan peminat muzik ialah peristiwa yang berlaku pada MTV Video Music Awards 2009 di mana pada masa itu Kanye telah naik ke pentas dan merampas mikrofon dari tangan Taylor Swift yang ketika itu baru sahaja diumumkan sebagai pemenang anugerah video muzik terbaik.

Kredit gambar: Page Six

Dia menafikan kemenangan Taylor Swift dalam acara tersebut dan menyatakan bahawa Beyoncé lebih layak untuk memenangi anugerah tersebut berbanding dengan Taylor Swift yang masih baru dalam industri hiburan. Selain tindakan tersebut, Kanye juga turut terkenal dalam mempromosikan slogan “White Lives Matter”. Slogan ini bertentangan dengan slogan asal iaitu “Black Lives Matter”.

Slogan yang dipromosikan oleh Kanye West itu sebenarnya adalah tindakan rasis di mana slogan itu menunjukan ketuanan masyarakat berkulit putih dan mempunyai kaitan rapat dengan golongan Nazi di Amerika Syarikat.

Mempunyai Masalah Mental Yang Ketara

Disebabkan banyak tindakan yang dilakukan oleh Kanye West ini dilihat luar kawalan manusia normal, Kanye telah disahkan mempunyai masalah mental yang kronik. Sebelum ini dia beberapa kali telah memasuki klinik psikiatri bagi merawat penyakit mental yang teruk dihadapainya itu.

Tahap kesihatan mental yang dihadapinya itu dilihat semakin merosot dan disebabkan perkara tersebut, dia telah bercerai dengan isterinya yang juga seorang selebriti yang terkenal, Kim Kardashian.Kanye turut memberitahu bekas presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bahawa dia mempunyai masalah Bipolar Disorder ketika mereka bertemu pada tahun 2018.

Kredit gambar: NBC News
Previous ArticleNext Article

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings