Parlimen Tergantung: Apakah Kesannya Kepada Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) —  Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang baru berakhir ini telah membawa ketidaktentuan kepada negara dengan parlimen yang tergantung apabila tidak ada mana-mana parti yang mencapai majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan.  

Ahli Ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak Prof Dr Barjoyai Bardai berkata keputusan di luar jangkaan itu bukanlah suatu yang mengejutkan sambil menambah itulah caranya bagaimana demokrasi diamalkan pada hari ini. 

“Kerajaan baharu boleh dibentuk tanpa menang majoriti kerusi, kerajaan campuran beberapa larti politik dan satu pakatan baharu muncul,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual. 

Sejumlah 220 daripada 222 kerusi parlimen dipertandingkan apabila pengundian bagi Parlimen Padang Serai di Kedah ditangguhkan ke 7 Dis susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH-PKR) M.Karupaiya pada Rabu lepas manakala pengundian ditangguhkan di 11 pusat mengundi di Parlimen Baram Sarawak berikutan banjir.

Memetik perkembangan terbaharu di United Kingdom yang mana perdana menterinya pada masa itu, Liz Truss, bertukar dalam tempoh 45 hari selepas pelantikan beliau, ia membuktikan bahawa perdana menteri bergilir, kaedah pertukaran yang membolehkan kerajaan dibentuk tanpa perlu satu parti majoriti boleh dilaksanakan. 

Pada asasnya, ekonomi Malaysia adalah kukuh, namun senario semasa sedikit sebanyak akan menjejaskan sentimen pelabur walaupun dalam jangka masa pendek, kata Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor, timbalan naib-canselor kajian penyelidikan dan graduan di i-CATS University College.

Beliau berkata, para pelabur kemungkinan akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga kerajaan baharu dibentuk. 

Pakatan yang mana? Dalam politik semuanya boleh berlaku

Sementara itu, Profesor Dr Mohd Nazari Ismail daripada Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya berkata terdapat banyak senario yang boleh berlaku dan ia bergantung sepenuhnya kepada hasil rundingan antara parti-parti.

PRU15 menyaksikan pertembungan tiga pakatan utama, iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berbanding pilihan raya sebelum ini hanya antara BN dan PH. 

“Jika satu parti menang, situasi politik akan menjadi lebih stabil; jika keputusan setara, dua parti akan bergabung untuk membentuk kerajaan, tetapi pada masa ini kita tidak tahu siapa yang akan bekerjasama dengan siapa,” katanya. 

Jangkaan awal dan yang mana pasaran mengambil kira adalah pembentukan kerajaan BN yang diterajui UMNO dengan kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, keputusan PRU15 jauh tersasar daripada ramalan dengan BN mengalami kekalahan paling buruk dalam sejarah politiknya apabila ia hanya menang 30 kerusi daripada 178 kerusi yang dipertandingkan.

PH memperoleh 82 kerusi parlimen dan PN sebanyak 73 parlimen. Ia diikuti oleh GPS dengan 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 kerusi, Warisan 3 kerusi dan lain-lain empat kerusi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan tidak ada mana-mana parti politik memperoleh majoriti mudah selepas gagal memenangi 50 peratus daripada 219 kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam PRU15. 

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, kecuali PH, yang boleh menerima prinsip parti itu dalam membentuk kerajaan yang bersih dan stabil. 

Beliau juga berkata PN telah menerima surat daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan diarah untuk memuktamadkan perkara tertentu menjelang tengah hari, hari ini.

“Tidak perlulah saya dedahkan kandungan surat itu. Yang Dipertuan Agong telah menyenaraikan beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan dengan sewajarnya.  

“Kami perlu membincangkan beberapa perkara tertentu dan kami berharap dapat memuktamadkannya pada tengah hari ini, InsyaAllah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memperoleh sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti mudah. 

Firma pembrokeran CGS-CIMB sebelum pilihan raya meramalkan sekiranya PRU15 berakhir dengan parlimen tergantung, pasaran mungkin akan mengalami pembetulan berikutan kebimbangan ketidaktentuan politik pasca pilihan raya. 

Penganalisis Maybank Investment Bank Suhaimi Ilias pula berkata, ”kita tidak seharusnya menolak kemungkinan berlakunya pakatan yang ‘tidak diduga’. Ini kerana walaupun kedengaran agak klise namun ‘dalam politik segalanya boleh berlaku’ dan ‘tidak ada rakan dan seteru yang kekal dalam politik’.

Beliau berkata kemungkinan lain adalah Kerajaan ‘minoriti’ berikutan parlimen tergantung atau kebuntuan dalam kalangan parti untuk membentuk kerajaan pakatan dengan majoriti mudah. 

 Senario itu akan membawa impak dan perubahan dasar dan akan menjadi tempoh tidak menentu kepada ekonomi dan pasaran, katanya. 

Kepentingan bersama dalam dasar, rakyat dan ekonomi

Walau apa juga keputusannya, konsolidasi fiskal akan kekal menjadi keutamaan, walaupun laluan itu mungkin berbeza bergantung kepada parti atau pakatan mana yang menerajui kerajaan, katanya. 

Dari segi perbelanjaan kerajaan, langkah-langkah beroreintasikan rakyat akan diteruskan terutamanya pemberian tunai kepada rakyat yang telah laksanakan sejak sebelum PRU14 oleh kerajaan BN pada masa itu dan diteruskan menerusi pertukaran nama untuk mencerminkan Kerajaan yang mentadbir.

“Apa yang kami jangkakan dari segi pemberian tunai adalah bantuan lebih bersasar seperti penyusunan semula subsidi kepada mekanisme bersasar bagi sistem menyeluruh dan rasionalisasi pelbagai jaringan keselamatan sosial dan program kebajikan.  

“Kami juga menjangka kerajaan pasca PRU15 meneruskan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal yang dicadangkan dalam Bajet 2023,” katanya. 

Beliau berkata projek prasarana utama akan diteruskan – bagi projek yang sedang dalam pembinaan  – Laluan Rel Pantai Timur, Landasan Elektrik Berkembar Gemas-Johor Bahru (JB), Laluan Transit Rel JB-Singapura, Lebuh Raya Pan-Borneo projek Sabah-Sarawak Link Road – dan bagi projek yang tendernya telah bermula – Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3).  

Peruntukan tinggi perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri kurang maju bagi prasarana asas juga dijangka diteruskan.

“Kerajaan Persekutuan baharu dijangka menumpu kepada menambah baik kualiti dan penyampaian perkhidmatan awam penting, terutamanya pendidikan, latihan dan penjagaan kesihatan serta merealisasikan aliran pelaburan lebih tinggi dan berkualiti ke negeri kurang membangun bagi pembangunan sosia-ekonomi lebih inklusif, setara dan seimbang,” katanya.  

Memandangkan kemampanan merupakan prinsip yang diberi tumpuan utama ketika ini, mana-mana kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU15 sudah tentunya akan menjadikannya sebagai agenda dasar utama terutamanya dalam merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menjayakan komitmen Malaysia bagi menangani perubahan iklim. 

Bidang utama akan termasuk tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, mitigasi impak bencana alam, pengurusan sumber semula jadi, membimbing dan membantu masyarkat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana bagi peralihan ke arah kemampanan.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/parlimen-tergantung-apakah-kesannya-kepada-ekonomi-negara/

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari