Pembukaan China Bentang Peluang Kepada Pemulihan Perniagaan

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Malaysia dalam persekitaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan domestik yang lembap tahun ini perlu memberi tumpuan khusus ke atas sebarang peluang seperti pembukaan sempadan China, memandangkan republik itu merupakan rakan dagang utama negara. 

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra (MBA), Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dalam perkembangan berkaitan kerana ianya menjadi kunci ke arah kestabilan serta daya tahan ekonomi dan banyak perniagaan Malaysia bergantung kepada produk yang dibekalkan China. 

“Pembukaan semula China akan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan pulih lebih cepat.

“Ia juga akan banyak membantu industri perhotelan dan pelancongan untuk bangkit semula kerana daripada segi perangkaan, pelancong China merekodkan ketibaan tertinggi di Malaysia,” katanya kepada Bernama.   

Berdasarkan data daripada Tourism Malaysia, sebelum pandemik, China adalah yang ketiga terbesar daripada segi ketibaan pelancong di Malaysia, dengan kira-kira 3.1 juta pelancong China telah melawat negara ini pada 2019 daripada 26.1 juta pelancong.   

Walaupun majoriti rakyat Malaysia telah menerima suntikan vaksin serta penggalak dan lebih bersedia untuk mencegah jangkitan COVID-19, Ahmed Razman berkata Malaysia tidak boleh mengambil mudah perkara ini kerana terdapat kemungkinan krisis kesihatan berlaku semula di negara ini, akibat jangkitan bukan sahaja dari China tetapi juga dari negara lain.

“Oleh itu, saya berpendapat kerajaan boleh mengambil tindakan dan usaha bersepadu bagi memastikan tidak berlaku penularan varian baharu COVID-19. Ini boleh dibuat melalui saringan ketat ke atas ketibaan pelancong. 

“Kerajaan tidak boleh bergantung kepada proses manual untuk memantau ketibaan pelancong tetapi sewajarnya menggunakan teknologi serta mekanisme yang sesuai dengan mewujudkan platform khusus atau bersepadu bagi membolehkan mana-mana individu atau organisasi yang berurusan dengan pelancong melaporkan sebarang insiden atau penularan varian baharu COVID-19,” katanya. 

Walaupun kerajaan berusaha untuk memastikan sebarang penularan wabak COVID-19 dapat dikesan dan dipantau dengan cepat di negara ini, perniagaan juga perlu memikul tanggungjawab bersama.

“Memandangkan pembukaan semula sempadan memberi kelebihan kepada mereka dalam perniagaan masing-masing, PKS perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang betul ketika berurusan dengan pelancong, sebagai contoh, masih terdapat keperluan bagi mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup dan pengangkutan awam,” kata Ahmed Razman.

 Sementara itu, Profesor dan Dekan Institut Pengajian Siswazah, Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata pembukaan sempadan China akan meningkatkan perdagangan serta pelaburan di peringkat global dan serantau di Asia selepas tempoh sekatan pergerakan yang panjang selain dasar sifar COVID-19. 

“Ini akan menjadi positif. Bagi Malaysia, China merupakan pasaran ketiga terbesar selepas Asean dan Singapura, yang mana eksport ke kedua-dua pasaran ini menokok sebanyak 25.3 peratus dan 26.4 peratus pada November, tetapi pertumbuhan eksport ke China hanya 4.3 peratus. 

“Jadi terdapat banyak potensi pertumbuhan eksport apabila China dibuka,” katanya.

Bagaimanapun, beliau ketika mengulas mengenai faktor negatif berkata kebimbangan mengenai varian baharu COVID-19 boleh memberi impak kepada pertumbuhan jika sekatan dikenakan.   

Beliau menjelaskan kepentingan untuk tidak bertindak balas secara berlebihan dan belajar daripada pengajaran pandemik sebelum ini. 

“Kadar vaksinasi yang tinggi dan tahap imuniti semula jadi yang meluas memberikan lebih banyak perlindungan kali ini berbanding sebelumnya dan mesti diambil kira sebelum kita mengenakan sekatan yang mungkin membawa kepada kerosakan ekonomi selanjutnya,” kata Williams. 

— BERNAMA

TAG: Pembukaan China, COVID-19, Geoffrey Williams

Artikel asal: https://thekapital.my/pembukaan-china-bentang-peluang-kepada-pemulihan-perniagaan/

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.