Aplikasi DEMA Bantu Tangani Kekurangan Pekerja Sektor Perladangan – Nectar

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) — Aplikasi Pengurusan Estet Digital (DEMA) milik Nectar Consortium Sdn Bhd, direka khusus bagi membantu menangani kekurangan tenaga kerja selain menggalakkan penyertaan lebih ramai warga tempatan dalam sektor pertanian dengan memanfaatkan teknologi syarikat tersebut.

DEMA yang dilancarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada Julai 2022, juga bermatlamat untuk membantu pengendali ladang mengurus data lapangan secara lebih pantas serta mudah.

Pengarah Urusan syarikat itu, Ahmad Tarmizi Mukhtar berkata penyelesaian digital tersebut dapat mengurangkan kos operasi selain meningkatkan hasil secara purata 30-40 peratus.

“Masalah yang dihadapi sekarang kebergantung ketara terhadap tenaga kerja asing bagi sektor perladangan dan pertanian.

“Menerusi DEMA, kami menyasarkan penglibatan warga tempatan serta memanfaatkan tanah yang ada dengan menyertai kontrak ladang ditawarkan oleh Nectar. Pada akhirnya, mereka dapat memiliki ladang serta menjadi pemilik perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, idea sebenar di sebalik pendigitalan perniagaan perladangan itu adalah bagi memperkemas keseluruhan proses berkaitan selain menarik pekerja muda serta membolehkan komuniti perniagaan melihat sektor berkenaan sebagai usaha yang menguntungkan.

“Pada masa ini, terdapat kelompok pekerja muda dalam sektor e-panggilan yang tidak hanya memenatkan tetapi merupakan pekerjaan yang membahayakan.

“Sebaliknya, syarikat ini menawarkan alternatif lebih pintar yang membolehkan tenaga muda ini memanfaatkan teknologi selain dapat memperkasa sektor jaminan keselamatan makanan,” katanya.

Ahmad Tarmizi berkata pengguna DEMA akan mendapat akses terhadap aplikasi itu menerusi peranti mudah alih masing-masing pada bila-bila masa bagi menjejaki serta mengendalikan perniagaan mereka.

Ini termasuk membolehkan pemilik tanah atau bangunan untuk bekerjasama dengan petani Nectar bagi memajukan pertanian menggunakan sistem TEROKA yang merupakan versi mini DEMA.

“Mereka boleh memulakan usaha itu dengan ladang seluas seekar dan membiasakan diri dengan sistem Nectar. Malah, banyak koperasi yang memanfaatkan TEROKA bagi menjalankan usaha penanaman cili dan timun.

“Kami (terbukti) dapat mengubah perbelanjaan modal yang besar kepada kos operasi yang berpatutan bagi memastikan kemampanan operasi. Nectar juga berjaya membuktikan bahawa pendekatan dari-ladang-ke-meja makan itu adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata aplikasi berkenaan juga dapat membantu mengurangkan kebergantungan tenaga kerja yang ketara serta meningkatkan kecekapan.

“Anda berkemungkinan memerlukan kira-kira 10 pekerja jika mengendalikan ladang seluas 10 ekar menerusi kaedah konvensional.

“Namun menerusi DEMA, anda hanya perlu mengambil khidmat seorang pelatih atau siswazah baharu untuk membantu ketika proses penuaian sambil memantaunya menerusi aplikasi tersebut,” katanya.

DEMA beroperasi menerusi peranti mudah alih serta membolehkan peladang menyimpan maklumat seperti data, penjejakan perniagaan dalam masa nyata serta memantau aktiviti di ladang terbabit.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bursa Malaysia Securities Mengeluarkan Teguran Awam Dan/Atau Mengenakan Denda Ke Atas Computer Form (Malaysia) Berhad Serta Lapan Orang Pengarah

Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”) telah mengeluarkan teguran awam terhadap Computer Forms (Malaysia) Berhad (CFM) dan lapan (8) orang pengarahnya kerana melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (Main Market Listing Requirements, MAIN LR).

Selain teguran awam, lapan pengarah terbabit turut dikenakan denda berjumlah RM2 juta.

Pelanggaran utama oleh CFM

CFM didapati melakukan beberapa pelanggaran serius berkaitan pendedahan maklumat kepada pelabur, antaranya:

1. Gagal mendedahkan syarat penting dalam usaha sama (Joint Venture Agreement – JVA)

Dalam pengumuman bertarikh 5 Januari 2023, CFM gagal mendedahkan beberapa fakta material berkaitan perjanjian usaha sama dengan EA Mobility Holding Co. Ltd., termasuk:

  • Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) yang ditandatangani pada hari yang sama.
  • Klausa Put Option yang membolehkan EA Mobility menjual keseluruhan pegangannya dalam syarikat usaha sama kepada CFM sekiranya CFM gagal mendapatkan:
    • Tempahan disahkan (Affirmed Orders) sekurang-kurangnya 200 buah kenderaan elektrik (EV); dan
    • Bayaran deposit atau harga pembelian sekurang-kurangnya RM12.5 juta sebelum 30 Jun 2023.
  • Hakikat bahawa Perjanjian Usaha Sama (JVA) akan terbatal secara automatik sekiranya mana-mana pihak tidak lagi memiliki saham dalam syarikat usaha sama.

2. Siaran media 3 Julai 2023 mengelirukan pelabur

CFM mengeluarkan kenyataan media yang menggambarkan usaha sama tersebut masih berada pada landasan positif.

Namun, syarikat gagal mendedahkan bahawa:

  • Sasaran tempahan 200 EV tidak berjaya dicapai.
  • Bayaran minimum RM12.5 juta juga gagal diperoleh.
  • Kegagalan tersebut membuka ruang kepada EA Mobility untuk melaksanakan Put Option yang boleh menyebabkan penamatan usaha sama.

3. Lewat mengumumkan notis Put Option

Pada 10 Julai 2023, EA Mobility memaklumkan hasrat untuk melaksanakan Put Option.

Bagaimanapun, CFM hanya membuat pengumuman kepada Bursa pada 20 Julai 2023, iaitu selepas kelewatan lapan hari dagangan.

4. Pengumuman berkaitan penamatan usaha sama tidak lengkap dan mengelirukan

Dalam beberapa pengumuman antara 20 Julai hingga 1 September 2023, CFM menyatakan bahawa:

  • Operasi syarikat usaha sama masih berjalan seperti biasa.
  • Rundingan dengan EA Mobility masih diteruskan.

Namun syarikat tidak memaklumkan bahawa:

  • Penamatan JVA akan berlaku selepas pemindahan saham EA Mobility kepada CFM.
  • Maklumat mengenai penamatan hanya diumumkan pada 5 September 2023, hampir dua bulan selepas notis Put Option dikeluarkan dan hanya selepas Bursa Malaysia meminta penjelasan lanjut.

5. Memberikan maklumat tidak tepat kepada Bursa Malaysia

CFM turut didapati gagal memberikan maklumat yang tepat apabila:

  • Memaklumkan bahawa tiada perjanjian lain selain JVA.
  • Tidak menyerahkan salinan Perjanjian Pemegang Saham (Shareholders Agreement) walaupun diminta oleh Bursa Malaysia.
  • Perjanjian tersebut hanya diserahkan pada 25 September 2023 selepas beberapa kali pertanyaan dibuat.

Denda terhadap lapan pengarah

Kesemua lapan pengarah didapati membenarkan syarikat melakukan pelanggaran tersebut dan dikenakan teguran awam serta denda seperti berikut:

PengarahJumlah Denda
Tan Sri Datuk Mazlan Bin LazimRM300,000
Datuk Seri Tan Choon HwaRM100,000
Datuk Wira Justin Lim Hwa TatRM150,000
Datuk Hoo Swee GuanRM450,000
Pang Nan YewRM300,000
Wong Kok SeongRM300,000
Kho See YiingRM300,000
Tan Li SinRM100,000

Jumlah keseluruhan denda: RM2 juta.

Mengapa tindakan ini diambil?

Bursa Malaysia memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas proses siasatan lengkap dengan mengambil kira:

  • Keseriusan pelanggaran yang dilakukan.
  • Kesan terhadap pemegang saham dan pelabur.
  • Peranan serta tahap penglibatan setiap pengarah.

Menurut Bursa Malaysia, pendedahan maklumat yang tepat, lengkap dan dibuat tepat pada masanya amat penting bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat, di samping memastikan pasaran modal kekal teratur, telus serta mengekalkan keyakinan pelabur.

Latar belakang kes

Pada 5 Januari 2023, CFM memeterai Perjanjian Usaha Sama (JVA) dan Perjanjian Pemegang Saham (SA) dengan EA Mobility bagi projek kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Walaupun perjanjian tersebut mengandungi syarat penting yang boleh menyebabkan usaha sama ditamatkan sekiranya sasaran tempahan EV dan kutipan deposit RM12.5 juta tidak dipenuhi sebelum 30 Jun 2023, syarat tersebut tidak didedahkan kepada pasaran.

CFM kemudiannya gagal memenuhi syarat berkenaan, menyebabkan EA Mobility melaksanakan Put Option pada 10 Julai 2023. Namun, perkembangan material tersebut tidak didedahkan secara segera dan lengkap kepada pelabur, sekali gus mendorong Bursa Malaysia mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat dan para pengarahnya.