4 Tips Nak Tingkatkan Simpanan Untuk Beli Rumah

Ramai yang inginkan rumah sendiri, tetapi ramai juga yang masih belum berkemampuan daripada segi simpanan. Itu sebabnya kita disarankan untuk membuat pelaburan untuk menampung serba sedikit kelompongan dalam simpanan sedia ada.

Jika simpanan masih belum cukup, usah berputus asa. Percayalah bahawa usaha ini pasti akan diberkati dan dapat juga memiliki rumah sendiri.

Cuba tengok 4 tips nak tingkatkan simpanan untuk beli rumah berikut:

1. Bunuh Hutang Jahat

Dah nama pun hutang jahat, buat apa hendak disimpan. Hapuskan sahaja hutang-hutang jahat yang ternyata menganggu kehidupan anda. Senaraikan segala jenis hutang jahat yang anda ada, dan cuba langsaikan hutang jahat ini satu persatu sehingga selesai.

Hutang jahat yang paling utama adalah hutang kad kredit, kerana kadar faedahnya yang sangat tinggi. Kedua, hutang personal loan. Apa sahaja hutang yang mengenakan kadar faedah yang tinggi, fokus untuk habiskan hutang ini terlebih dahulu.

Dan apabila hutang jahat ini sudah lupus, banyak duit yang dapat anda selamatkan. Pastinya, apabila duit yang selama ini perlu disalurkan kepada hutang jahat telah tidak diperlukan lagi, maka simpanan anda secara tidak langsung juga akan turut meningkat.

Benar, bukan satu perkara yang mudah untuk menyelesaikan hutang. Namun, jika anda menjadikan hajat untuk simpanan adalah dengan membeli rumah pertama, pastinya anda lebih berdisipilin dan bersemangat untuk melupuskan segala jenis hutang jahat tersebut.

2. Tetapkan Jumlah Simpanan

Ada sesetengah apabila hendak menyimpan, tetapi tidak pasti berapa jumlah simpanan yang perlu mereka ada. Dalam situasi seperti ini, anda perlu sedia maklum dan menetapkan matlamat anda terlebih dahulu.

Sebagai contoh, jika anda berhasrat untuk membeli rumah yang berharga RM200,000 anda perlu mengumpul deposit sekurang-kurangnya 10% daripada harga rumah. Maka sasaran simpanan anda adalah RM20,000.

Namun, ianya tidak menjadi masalah sekiranya anda menyimpan lebih daripada jumlah tersebut. Sekurang-kurangnya ada sedikit buffer untuk membuatkan anda berasa lebih selesa.

3. Simpan Untuk Jangka Masa Panjang

Amatlah penting anda menyimpan secara konsisten untuk jangka masa panjang. Kita ambil contoh tadi anda menyasarkan untuk menyimpan RM20,000 dan mampu menyimpan RM1,000 sebulan. Maka anda perlukan 20 bulan untuk mencapai sasaran tersebut.

Jangan pula sebulan simpan RM1,000, bulan seterusnya kosong, bulan lagi satu simpan RM500 dan sebagainya. Latih diri untuk jadi berdisiplin dengan memulakan simpanan secara konsisten.

Nanti bila dah start bayar instalment rumah, lagi parah jika anda tidak dapat bayar instalment secara bulanan dan berdisiplin. Sebab tu kena mula dari sekarang.

4. Bijak Mengatur Kewangan

Jika anda mempunyai pendapatan tetap setiap bulan, bermakna anda juga perlu punya perbelanjaan yang tetap pada setiap bulan. Perbelanjaan yang tetap ini termasuklah bayaran bil utiliti, ansuran kereta dan sebagainya.

Pastikan terlebih dahulu segala jenis perbelanjaan tersebut berada dalam kategori keperluan dan bukannya kehendak semata-mata.

Fokus kepada matlamat anda membuat simpanan tadi. Jika rasa perlu menambah pendapatan, carilah peluang yang terbuka luas seperti membuat kerja-kerja freelance atau membawa Grab atau Uber.

Ukur Baju Di Badan Sendiri

Terakhir sekali, anda sendiri yang tahu tahap kemampuan anda. Tak guna juga kalau anda bekerja terlalu keras, sampai tanggungjawab terhadap pekerjaan atau keluarga terabai.

Kalau rasa tak mampu beli rumah berharga RM200,000, boleh rendahkan expectation anda terlebih dahulu. Cuba tengok harga rumah sekitar RM100,000 pula, nanti bila keadaan kewangan dah stabil, baru beli rumah yang lebih mahal.

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Dilema mahu membeli atau menyewa rumah

Memiliki rumah sejak sekian lama dianggap sebagai simbol kestabilan dan kejayaan hidup bagi rakyat Malaysia.

Tidak hairanlah ramai golongan muda merasakan mereka perlu membeli rumah secepat mungkin yang memaksa mereka menanggung komitmen pinjaman perumahan selama 30 hingga 40 tahun.

Namun, dalam cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, harga rumah yang terus berada di luar kemampuan sebahagian besar pembeli muda serta corak pekerjaan yang semakin dinamik, tiba masanya kita menilai semula maksud sebenar ‘seseorang itu ada rumah’.

Pada asasnya, rumah adalah tempat berteduh dan menyediakan keperluan asas untuk kediaman. Yang mustahak adalah ‘jaminan tempat kediaman dan kepentingan untuk mendiami’ yang lazimnya adalah melalui pemilikan tetapi boleh juga melalui penyewaan.

Bagi ramai golongan muda, terutamanya di peringkat awal kehidupan, menyewa boleh menjadi pilihan yang lebih praktikal dan fleksibel.

Ia membolehkan mereka mampu untuk menetap berhampiran tempat kerja, mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan beban hutang jangka panjang sebelum benar-benar bersedia untuk membeli rumah sendiri.

Perubahan cara berfikir ini secara perlahan-lahan membuka ruang kepada perkembangan pasaran sewaan di Malaysia, termasuk kemunculan konsep ‘co-living’ atau kediaman bersama di dalam sebuah komuniti transit, serta juga konsep Rent-to-Own (RTO) atau Sewa-untuk-Beli.

Walaupun segmen ini masih kecil berbanding pasaran sewaan konvensional, ia semakin mendapat perhatian khususnya dalam kalangan generasi muda.

Konsep ‘co-living’ menawarkan bilik atau unit yang lengkap dengan perabot, tempoh sewaan yang lebih fleksibel serta kemudahan bersama yang diuruskan secara profesional.

Ia juga mengurangkan kos kemasukan (barrier of entry) kerana penyewa tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membeli perabot atau menanggung pelbagai kos utiliti secara berasingan.

Bagi golongan belia dan profesional muda, pekerja kontrak serta mereka yang sering berpindah lokasi pekerjaan, ‘co-living’ menyediakan pilihan perumahan yang lebih mudah dan praktikal tanpa perlu membuat komitmen membeli rumah ketika pendapatan mereka, khususnya pendapatan boleh guna mereka masih sedang dibina dan deperkukuhi.

Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi sekiranya pasaran sewaan ingin berkembang menjadi satu cabang penting dalam ekosistem perumahan negara.

Cabaran pertama ialah persepsi masyarakat. Budaya pemilikan rumah masih sangat kuat dan menyewa sering dianggap sebagai pilihan sementara atau petanda seseorang mencapai kestabilan kewangan.

Persepsi ini ada benarnya, tetapi ia juga mewujudkan tekanan sosial yang menyebabkan ramai membeli rumah lebih awal daripada kemampuan sebenar mereka ataupun menyebabkan kerakusan pasaran yang sehingga mengakibatkan tekanan mental dan emosi.

Hakikatnya, keperluan perumahan setiap individu berbeza mengikut peringkat kehidupan. Ada yang memerlukan fleksibiliti untuk berpindah mengikut kerjaya, manakala ada yang lebih selesa menangguhkan pembelian rumah sehingga kedudukan kewangan mereka lebih kukuh.

Oleh itu, menyewa tidak sepatutnya sewenang-wenangnya dilihat sebagai pilihan yang kurang baik sehingga dilihat sebagai stigma berbanding pemilikan rumah.

Cabaran kedua ialah pasaran sewaan negara yang masih belum matang dan terpasung. Sebahagian besar pasaran masih dikuasai oleh pemilik individu dengan standard pengurusan, syarat penyewaan dan kualiti penyelenggaraan yang berbeza-beza.

Keadaan ini menyebabkan pengalaman menyewa tidak seragam dan kadangkala menimbulkan ketidakpastian kepada penyewa dan juga pemilik rumah.

Cabaran ketiga pula ialah kekurangan rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk mengawal selia sektor sewaan kediaman.

Pelaksanaan dan penggubalan sebuah akta, seperti Akta Penyewaan Kediaman (RTA) yang satu ketika dahulu diusulkan tetapi tertangguh, perlu disegerakan bagi mewujudkan pasaran sewaan yang lebih teratur dan telus.

Sebuah akta yang khusus untuk regulasi pasaran penyewaan sektor kediaman ini berpotensi untuk menyediakan perlindungan yang lebih jelas kepada penyewa dan juga pemilik, memperkukuhkan mekanisme penyelesaian pertikaian serta meningkatkan keyakinan pelabur dan pengendali profesional dalam sektor perumahan sewaan.

Bagi akta sedemikian, keutamaan harus diberikan kepada pendekatan yang mesra penyewa, mesra pemilik dan mesra pelabur yang mengimbangi secara saksama kepentingan-kepentingan setiap pemegangtaruh untuk melahirkan satu persekitaran pasaran yang menang-menang.

Tumpuan juga harus diberikan untuk memperhalusi dan mengukuhkan konsep RTO atau Sewa-untuk-Beli sebagai salah satu langkah penyelesaian menang-menang.

Dalam jangka panjang, pembangunan pasaran sewaan yang lebih tersusun akan memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.

Persediaan dan ketersediaan bakal pembeli rumah adalah berbeza-beza di dalam persekitaran yang mencabar dewasa ini di samping tekanan sosial berkenaan kemampuan dan pemilikan rumah idaman.

Walaupun apapun keadaannya, yang pasti adalah setiap individu dan isi rumah seharusnya mempunyai akses dan jaminan tempat kediaman yang selesa, mempunyai akses kepada kemudahan, selamat dan mampu dibayar mengikut keperluan serta kedudukan kewangan masing-masing.

Dalam hal ini, memperkukuhkan pasaran sewaan melalui konsep seperti RTO dan ‘co-living’ serta pemerkasaan rangka kerja perundangan berpotensi untuk melengkapkan ekosistem perumahan negara dengan menyediakan pilihan yang lebih pelbagai dan inklusif untuk rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pengarah Kanan, Penyelidikan Hartanah Rahim & Co Chestertons

— Berita Harian