7 Sebab Kenapa Milenial Belum Melabur di Pasaran Saham

Rasa kesian pun ada, rasa bersalah pun ada sebab mesej tentang pelaburan saham ini belum sampai ke pengetahuan generasi baru yang dikenali sebagai milenial ini.

Umum tahu bahawa Bursa Malaysia merupakan tempat di mana syarikat-syarikat besar seperti MyEG, Dutch Lady, Telekom, Petron, Digi, Tenaga Nasional, Petronas dan banyak lagi disenaraikan. Ini membolehkan kita membeli atau menjual saham-saham mereka untuk memperoleh keuntungan.

Namun bagi golongan milenial ini, mereka hanya menjadi konsumer barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat besar tadi.

Sebagai contoh:

  • Beli Milo untuk anak tetapi tak ada saham Nestle
  • Langgan perkhidmatan Unifi tetapi tak ada saham Telekom
  • Guna prepaid Hotlink tetapi tak ada saham Maxis
  • Tiap-tiap bulan bayar bil elektrik tetapi tak ada saham Tenaga Nasional
  • Isi minyak di stesen minyak tetapi tak ada saham Petronas, Petron dan sebagainya.

Jom kita kupas beberapa faktor utama kenapa golongan milenial ini belum terlibat dengan pelaburan saham.

1. Tak Pernah Dengar Pun Pasal Pelaburan Saham

Ini logik, kerana kebanyakan golongan milenial tak minat untuk membaca suratkhabar fizikal yang mainstream seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times, The Star dan sebagainya. Padahal di setiap suratkhabar ini, ada ruangan khas mengenai ekonomi negara, termasuklah perkembangan terkini pasaran saham Bursa Malaysia.

Kalau tengok televisyen, cuma minat siaran Astro (yang juga disenaraikan di Bursa Malaysia tapi tak patuh Syariah) samada hiburan atau bolasepak. Berita jam 8 malam pun hari-hari ulas tentang turun naik harga saham.

2. Percaya Pelaburan Saham Untuk Orang Kaya Sahaja

Bila sebut saja pelaburan saham, mindset terus bertukar bahawa ianya khusus untuk orang kaya dan high-class sahaja. Ia sering dikaitkan dengan golongan pakcik-pakcik tua berpangkat Datuk yang ada driver sendiri dengan kereta Mercedes.

Tapi tahukah anda pelaburan saham di Bursa Malaysia boleh dimulakan dengan modal RM10.60 untuk buka akaun CDS (ada yang boleh buka secara percuma) dan pembelian minima 1 lot (100 unit) bagi sesaham? Ada beratus-ratus saham syarikat yang berharga bawah RM1 bagi seunit saham, jadi modal untuk 1 lot tak sampai pun RM100.

3. Tak Dapat Terima Konsep Rugi

“Tak naklah aku…rugi je nanti”

Ada pula tak boleh terima yang pelaburan itu boleh rugi. Ini mungkin disebabkan telah terbiasa menyimpan duit dalam ASB, Tabung Haji dan sebagainya. Harga seunit adalah tetap pada RM1, dan setiap tahun tunggu saja dividen sebanyak 6% ke 8%.

Tapi mesti pernah dengar kan istilah High Risk High Return? Instrumen pelaburan yang membolehkan anda menikmati keuntungan yang tinggi, pasti datang dengan risiko yang tinggi. Jika ada ilmu, kita boleh mengurangkan risiko dan meningkatkan pulangan pelaburan.

Islam juga menggalakkan kita berniaga, kerana 9/10 daripada pintu rezeki adalah daripada berniaga. Tetapi ada ke perniagaan yang hari-hari untung, dan tak boleh rugi?

Makcik berniaga nasi lemak setiap pagi pun, kalau ditakdirkan pagi itu hujan lebat, pasti jualan beliau terjejas sampai tak balik modal. Begitulah konsep mencari rezeki dengan berniaga, kerana dalam pelaburan saham – rugi itu pasti, untung itu wajib.

4. Rasa Susah Nak Urus Sendiri

Dah terbiasa dengan pelaburan amanah saham, di mana tunggu setahun dapat dividen. Ada yang tak tahu pun duit tersebut dilaburkan ke dalam dana apa, naik ke turun harga dana tersebut.

Malah CEO KWSP sendiri pernah membuat kenyataan, hanya 1/5 sahaja pencarum KWSP yang mengeluarkan duit untuk melabur ke dalam unit trust, memperolehi keuntungan lebih daripada yang diisytiharkan KWSP setiap tahun.

Dengan mengambil sikap sambil lewa terhadap pelaburan, silap haribulan duit persaraan tak berkembang pun selepas bertahun-tahun melabur. Rugi pula adalah…

5. “FGV Pun Rugi, Inikan Orang Biasa Macam Kita..”

Terlalu asyik dengar keburukan sesuatu perkara, sampai dah tak nak dengar pandangan lain berkenaan sesuatu perkara. Samalah juga dengan golongan milenial yang sering percaya bahawa saham syarikat FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) tidak mendatangkan keuntungan, jadi orang biasa pula akan lebih rugi.

Eh bro, kenapa perlu ambil contoh yang itu saja? Sedangkan ada saja saham-saham yang memberikan keuntungan luar biasa tingginya. Tahu tak setakat Mei 2021, ada 746 saham yang patuh syariah.

Tak percaya? Tengok sahaja Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Untung Mei 2021. Ada yang untung sampai 400% hanya dalam masa sebulan.

Tapi tak aci kalau cerita yang baik sahaja, sebab dalam Top 10 Saham Patuh Syariah Paling Rugi Mei 2021 , ada saham yang jatuh sehingga 70% dalam masa sebulan.

6. Gagal Simpan Duit

Memang tidak dinafikan, golongan milenial ini kurangnya ilmu berkaitan kewangan. Dah terbiasa hidup senang barangkali, semuanya disediakan oleh ibubapa.

Namun apabila realiti kehidupan dirasai semasa mula bekerja, terpaksa pula tanggung beban pembiayaan PTPTN sewaktu belajar dulu. Dan taknak mengalah, baru mula bekerja sudah ingin berkereta jenama import seperti Honda dan Toyota. Ikutilah kisah Hutang Kereta Menjerat ke Neraka Kewangan kalau rasa nak sangat beli Toyota Vios dengan gaji RM2,500 sebulan.

7. Ingat Sama Dengan Forex

Ada yang terikut-ikut dengan Forex trading dan pernah untung besar, tetapi kemudian mula rugi besar pula. Dan tidak kurang juga kena tipu dengan syarikat pelaburan, cuba baca Kerugian Dianggar RM3.8 bilion. PDRM Dedahkan 30 Syarikat Tawar Skim Tidak Sah. Banyak syarikat yang bertopengkan pelaburan forex, saham, emas dan Bitcoin.

Ilmu yang perlu ada sebelum nak jual beli saham ni antaranya ilmu Teknikal Analisis (pergerakan harga dekat chart). Sama seperti forex trading, kena ada ilmu yang sama. Jadi mulalah ingat Forex trading dengan saham ini sama sahaja. Sebenarnya ia adalah 2 instrumen yang sangat berbeza.

Boleh baca betul-betul di Apa Beza ‘Main’ Saham Dengan ‘Main’ Forex?

Teruskan Perjuangan Mengajak Golongan Milenial Untuk Membuat Pelaburan Saham

Sekarang dah tahu kan kenapa golongan milenial kebanyakannya tidak berminat dengan pelaburan saham? Oleh itu, ayuh mereka yang sudah berkecimpung dalam dunia pelaburan saham, tingkatkan usaha untuk memperbaiki kelemahan diri dan mengajak lebih ramai anak bangsa untuk kenal dengan pelaburan saham yang sememangnya merupakan lubuk emas.

Ada banyak video YouTube dan ebook yang ajar teknik-teknik asas untuk buat duit di pasaran saham.

Pernah dengar tentang buku Malaysia Melabur Saham? Jika anda benar-benar berminat untuk terlibat dalam pelaburan saham tetapi “ZERO” dan masih belum memulakan langkah pertama, buku ini teramat sesuai.

This image has an empty alt attribute; its file name is 210115-MMS-Thumbnail-700x468.jpg

Ianya ringkas, padat dan sarat dengan contoh-contoh berbentuk grafik.

  • Tak semua orang boleh belajar menerusi video, jadi boleh baca buku ini di masa lapang. Nak Google semua artikel pun memakan masa.
  • Anda nak mula melabur saham, tapi nak tahu dulu asasnya?
  • Tak dapat nak belajar secara face-to-face, jom mulakan dengan membaca buku ini.
  • Senang faham sebab buku ini penuh dengan gambar dan contoh-contoh.

Miliki sekarang sebab masih ada harga istimewa -> Buku Malaysia Melabur Saham

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Minat Nak Jadi Remisier? Begini Caranya

Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.

Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.

Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.

Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu

Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar: The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 10 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.

Ada Syarat Nak Jadi Remisier?

Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.

Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
  2. Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
  3. Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
  4. Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.

Untuk mengetahui kombinasi modul peperiksaan yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada panduan modul peperiksaan CMSRL mengikut aktiviti.

Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan pelesenan boleh dirujuk dalam Licensing Handbook Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:

  • Modul 6 dan Modul 7
  • Modul 6 dan Modul 18
  • Modul 7 dan Modul 17
  • Modul 17 dan Modul 18

Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.

Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus

Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?

Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)

Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula

Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.

Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.

Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.

Yuran Peperiksaan

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.

Sumber rasmi: SIDC – The SC Licensing Examinations

Senang Ke Nak Lulus?

Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.

Sumber: Kadar kelulusan mengikut modul, 2015–2024

Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja

Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.

Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!

Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier

1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?

Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?

Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.

3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?

Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.

4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?

Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.

5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?

Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.