Kadar Agihan Keuntungan 2022 TH Dilihat Sederhana Dengan Pergolakan Pasaran – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Jangkaan agihan keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2022 yang akan diumumkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bergantung kepada strategi pelaburan yang dikelolakan oleh pengurus dana TH sepanjang 2022.

Ahli Ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Prof Barjoyai Bardai berkata jika dilihat strategi TH sebelum ini yang agak konservatif, pulangan dividen 2022 dijangka sederhana akibat ketidakstabilan pasaran ekuiti global.

“Memandangkan situasi pasaran kewangan seperti saham yang bergolak disebabkan kenaikan agresif (kadar faedah) oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) sepanjang tahun lepas, ramai kalangan pelabur asing telah ‘lari’ dan balik semula ke pasaran AS.

“Disebabkan pasaran ekuiti (saham) di AS bergolak dan turun, banyak institusi pelaburan telah mengubah strategi mereka untuk meminimumkan risiko daripada memaksimumkan keuntungan.

“Ini termasuklah TH yang dilihat bersikap konservatif  bagi tahun 2022 (laporan kewangan sehingga September), kerana merasakan adalah lebih baik selamatkan modal dan mendapat keuntungan kecil, daripada cuba memaksimumkan keuntungan tetapi mendedahkan risiko modal yang mungkin hilang,” katanya kepada Bernama.

Setakat 30 Sept, 2022, pecahan aset TH meliputi 60.1 peratus atau RM52.79 bilion adalah pendapatan tetap; hartanah (8.7 peratus atau RM7.63 bilion); ekuiti domestik 16.5 peratus (RM14.51 bilion); ekuiti asing 5.1 peratus (RM4.49 bilion); ekuiti swasta 1.1 peratus (RM974 juta); dan pasaran wang 8.5 peratus (RM7.44 bilion). 

Berdasarkan pecahan ini, Barjoyai berpandangan pendapatan TH akan kekal stabil didorong oleh pelaburan pendapatan tetap.

Sementara itu, Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang turut bersetuju dengan pandangan tersebut juga melihat pulangan dividen TH bagi 2022 akan sederhana kerana TH mengamalkan strategi pelaburan yang selamat ekoran ketidaktentuan ekonomi global.

“Umum mengetahui, sekiranya kita mengamalkan pelaburan selamat, pulangannya juga akan sederhana.

“Walau bagaimanapun, saya jangka TH tidak mengamalkan strategi bertahan atau ‘defensif’ ini selama-lamanya. Ia perlu berubah selari dengan keadaan ekonomi dunia,” katanya.

Isu Menara TM

Dalam pada itu, mengenai isu berkaitan Menara TM, beliau berkata implikasi yang akan dihadapi oleh TH sekiranya keputusan dibuat untuk menjual Menara Telekom Malaysia (TM), Menara TM Semarak dan Wisma TM Taman Desa yang kini hangat dibincangkan, mungkin memberi impak kepada TH sebagai antara institusi yang melabur dalam Sukuk Menara ABS.

Bangunan menara-menara tersebut adalah sebahagian daripada sukuk terbitan ijarah atau dikenali sebagai Sukuk Menara ABS.

Memetik laporan berita, keputusan TM menamatkan sebahagian besar sewaan bangunan di ibu pejabat syarikat itu di Bangsar, Kuala Lumpur dilihat memberi impak kerugian kepada pemegang sukuk Menara ABS.

Difahamkan juga antara pelabur sukuk Menara ABS yang memegang hak undi terbesar ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara pemegang sukuk yang terjejas susulan langkah itu antaranya institusi pelaburan seperti KWSP dan TH, dan ia akan memberi kesan kepada ahli KWSP selain pendeposit TH.

“Penjualan ketiga-tiga ini mungkin bergantung juga kepada keadaan…adakah masanya baik untuk menjual? dan kedua, adakah pulangan modal wajar atau sesuai dengan pelaburan yang telah dibuat?

“Ini kerana pelaburan hartanah ini sememangnya mempunyai potensi keuntungan yang lebih kepada keuntungan modal, dan bukan kepada sewaan,” katanya.

Kenaikan Kos Haji dan Subsidi

Nuradli berkata berikutan pandemik COVID-19, kenaikan kos yang dikenakan kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan fardu haji sememangnya tidak dapat dielakkan.

Tidak kira sama ada di Malaysia, Indonesia atau negara yang menghantar jemaah haji masing-masing, kos haji telah dinaikkan ekoran kenaikan cukai dan pelbagai caj perkhidmatan.

Bezanya, kos sebenar yang dibayar oleh jemaah haji Malaysia ditampung oleh TH melalui subsidi atau Bantuan Kewangan Haji.

“Kadar kos sebenar haji adalah RM28,632 bagi setiap orang jemaah, namun sebanyak RM10,980 dikenakan bagi golongan B40, dan RM12,980 bagi golongan bukan B40. Di sini, kos sebenar (haji) yang ditanggung oleh B40 hanya 38 peratus, dan bukan B40 membayar 45 peratus.

“TH yang menanggung subsidi tersebut, iaitu melalui keuntungan atau pulangan daripada pelaburan dibuat TH melalui pegangan saham, perladangan dan perniagaan lain,” katanya.

Walau bagaimanapun, keuntungan tersebut juga akan dibahagikan kepada para pendeposit TH selain bertujuan membantu menampung kenaikan kos mengerjakan haji yang semakin meningkat.

Menurut TH, kos haji bagi musim 1443H/2022M adalah RM28,632 bagi setiap orang jemaah berbanding anggaran awal sebanyak RM25,540 manakala kos haji bagi musim 1440H/2019M adalah RM22,900 seorang.

TH menjelaskan sehingga Jun 2022, perbelanjaannya meningkat sebanyak RM134.42 juta kepada RM437.30 juta memandangkan Bantuan Kewangan Haji kepada jemaah haji 1443H/2022M yang terus ditanggung oleh TH.

Cadangan dan Harapan Masa Depan

Melangkah ke hadapan, Barjoyai menjangkakan pasaran saham kembali pulih susulan langkah Fed AS yang mungkin memperlahankan kenaikan kadar faedahnya, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras domestik meningkat semula kepada paras 1,600 hingga 1,700 mata.

Keadaan ini akan dapat mengubah strategi pelaburan TH dengan meningkatkan atau memindahkan pelaburan tetap kepada pelaburan saham, seterusnya memberi pulangan yang lebih baik bagi 2023.

“Bagi jangka masa panjang, saya berpendapat TH juga boleh menambah instrumen pelaburannya dalam sektor hartanah dan kurangkan pelaburan instrumen pendapatan tetap.

“Ini kerana instrumen tersebut mempunyai pulangan yang kecil dan tetap. Jadi, mungkin wujud persoalan, adakah ini instrumen yang sesuai dalam pelaburan Islam?,” katanya.

Bagi Nuradli pula, cabaran yang menanti pengurus dana TH mungkin lebih besar berikutan kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi global.

Justeru, beliau berharap pengurus dana TH akan terus dapat mencari strategi terbaik dalam mengemudi perjalanan pelaburan TH.

“Saya berharap TH akan dapat terus kekal kukuh sebagai satu mekanisme bagi rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam untuk terus mengekalkan tabungan mereka di dalam TH dan mendapat pulangan atau dividen yang munasabah sebagai pendeposit.

“Saya juga berharap rakyat akan meningkatkan tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan harapan dapat menunaikan Rukun Islam kelima ini, Insya-Allah,” tambah beliau.

— BERNAMA

https://thekapital.my/kadar-agihan-keuntungan-2022-th-dilihat-sederhana-dengan-pergolakan-pasaran-ahli-ekonomi/

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.