Jawatankuasa Penasihat Kepada Menteri Kewangan Untuk Tingkatkan Hasil Negara, Kurangkan Perbelanjaan Mengurus

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) — Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara lain, berperanan utama menasihati menteri mengenai cara dan sumber untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

Dalam kenyataan pada Ahad, Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hassan Marican berkata Jawatankuasa Penasihat itu juga akan menasihati Menteri Kewangan mengenai perkara berkaitan subsidi termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada, dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik.

Beliau berkata Jawatankuasa Penasihat juga akan memberi nasihat mengenai perkara berhubung syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk menentukan kaitannya dalam konteks semasa dan menyatukan mana yang sesuai, selain perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.

“Jawatankuasa Penasihat melapor terus kepada Menteri Kewangan, dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung kepada keperluan,” katanya.

Beliau berkata sebuah sekretariat yang akan menyokong operasi Jawatankuasa Penasihat telah dibentuk dan terletak di Menara Berkembar Petronas di sini.

Mohd Hassan atas kapasitinya sebagai pengerusi jawatankuasa itu juga telah mempelawa Nurul Izzah Anwar untuk mengetuai sekretariat itu secara bersama dengan Khairil Anuar Ramli.

Beliau berkata Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan telah mengadakan mesyuarat sulung pada Jumaat 10 Feb, 2023.

Mesyuarat itu dipengerusikan Mohd Hassan Marican yang juga Penasihat Petronas dan dihadiri oleh ahlinya yang lain iaitu Pengerusi Sarawak Energy Bhd, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi; Pengerusi Eksekutif FPSO Ventures Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ulung Ekonomi di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya, Datuk Dr Rajah Rasiah; dan Profesor Ekonomi di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA