KPJ Berhasil Tetapkan Harga Tawaran Sukuk Kelestarian Sulung Bernilai RM555 Juta

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Anak syarikat milik penuh KPJ Healthcare Bhd, Point Zone (M) Sdn Bhd, berjaya menetapkan harga tawaran bagi Sukuk Kelestarian sulung bernilai RM555 juta di bawah Program Sukuk Wakalah RM3 bilion sedia ada pada 6 Mac, 2023.

Dalam kenyataan pada Selasa, KPJ Healthcare menjelaskan tawaran tersebut merupakan terbitan sulung daripada sebuah syarikat penyedia penjagaan kesihatan swasta di Malaysia dan rantau Asean.

Pegawai Pimpinan, KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad berkata tawaran Sukuk Kelestarian itu mencerminkan komitmen pihaknya untuk memperjuangkan agenda kelestarian dan mencapai keseimbangan antara matlamat ekonomi dan pertimbangan sosial dan alam sekitar.

“Kumpulan akan terus menjamin kesejahteraan individu dan komuniti di bawah naungan kami dan juga persekitaran operasi kami, dipelihara dengan baik sambil kami mencatatkan prestasi perniagaan yang mampan,”  katanya dalam kenyataan yang sama.

Hasil daripada terbitan Sukuk Kelestarian ini akan digunakan oleh KPJ Healthcare mengikut kriteria yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Sukuk Kelestarian yang telah diberikan penarafan Emas pada Oktober 2022 oleh MARC Ratings, syarikat penarafan luar bebas.

Menurut kenyataan itu, terbitan tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pelabur instrumen pendapatan tetap, dengan nisbah bida kepada liputan hampir 10 kali ganda.

“Permintaan pelabur yang kukuh itu telah mendorong terbitan ditambah daripada RM450 juta kepada RM555 juta, dengan sebaran kadar yang menyusut 20 mata asas (bps) bagi Sukuk Kelestarian lima tahun, tujuh tahun dan 10 tahun, dengan kadar keuntungan masing-masing pada 4.50 peratus, 4.69 peratus dan 4.86 peratus,” tambah kenyataan itu.

Maybank Investment Bank Bhd dan OCBC Al-Amin Bank Bhd ialah Penasihat Utama Bersama, Pengatur Utama Bersama dan Penasihat Penstrukturan Kelestarian Bersama untuk Program Sukuk Wakalah ini.

Selain itu, Pengurus Utama Bersama ialah Affin Hwang Investment Bank Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, Maybank Investment Bank dan OCBC Al-Amin.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840