KPK Pertingkat Eksport Produk Hiliran Minyak Sawit, Derivatif — TPM Fadhillah

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) — Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan agensi berkaitan akan terus meningkatkan eksport produk hiliran minyak sawit dan derivatifnya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata kementerian telah membangunkan dasar sifar sisa lanjutan, melibatkan sejumlah besar sisa, termasuk kulit isirung sawit dan serat mesokarpa daripada tandan buah segar kelapa sawit, dahan buah kosong dan bahan lain digunakan sepenuhnya.

“Minyak sawit menjadi tonggak utama ekonomi Malaysia kerana ia bukan sahaja membawa hasil eksport bernilai tinggi tetapi juga menyediakan pekerjaan langsung kepada lebih 650,000 orang termasuk kira-kira 450,000 pekebun kecil,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam perniagaan kumpulan syarikat Gamalux 2023 hari ini.

Beliau juga berkata KPK telah melaksanakan semua inisiatif utama dengan visi memajukan sektor komoditi pertanian Malaysia bagi merealisasikan kemakmuran bersama dan pembangunan mampan di seluruh rantaian nilai.

Fadillah berkata minyak sawit adalah salah satu industri utama Malaysia dan penyumbang pendapatan eksport terbesar daripada sektor pertanian di Malaysia.

“Pada 2022, jumlah nilai eksport minyak sawit dan produk sawit berjumlah RM130 bilion (US$29.8 bilion), atau 8.4 peratus daripada jumlah nilai eksport Malaysia,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian