Petronas Catat Pencapaian Terbaik Dalam Sejarah Bagi Tahun Kewangan 2022, Untung Bersih Melonjak 51 Peratus

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan prestasi kewangannya yang paling mantap dengan keuntungan bersih RM101.6 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 (FY2022), meningkat 51 peratus berbanding RM50.9 bilion setahun lalu, didorong oleh keadaan pasaran yang menggalakkan tahun lepas.

Syarikat minyak dan gas negara itu merekodkan hasil paling tinggi tahun ke tahun (y-o-y) sebanyak RM375.3 bilion pada FY2022 daripada RM248.0 bilion, melonjak 100 peratus terutamanya disebabkan impak harga yang menggalakkan untuk produk-produk utama sejajar dengan harga penanda aras yang lebih tinggi.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 70 peratus tahun ke tahun kepada RM170.7 bilion.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata ketika pada 2022 membolehkan kumpulan itu memanfaatkan kenaikan harga minyak dan gas dengan baik, tahun lepas juga menandakan peningkatan turun naik permintaan bekalan didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran dan peralihan tenaga yang dipercepatkan.

“Walaupun kami mantap dengan kedudukan yang lebih kukuh, Petronas akan terus mengukuhkan rantaian nilai bersepadu dengan fokus yang lebih terarah kepada kecemerlangan komersial dan operasi,” katanya pada majlis pengumuman prestasi kewangan Petronas untuk tahun kewangan 2022 di sini, hari ini.

Tengku Muhammad Taufik menegaskan Petronas akan meneruskan pengembangannya secara organik dengan meneroka peluang dan menegakkan disiplin modal dalam pelaburan semula dan mengembangkan portfolio perniagaannya.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) Petronas meningkat kepada RM135.3 bilion, manakala pelaburan modal berjumlah RM50.1 bilion disumbangkan oleh projek-projek huluan dan hiliran.

Jumlah aset syarikat juga mengukuh kepada RM710.6 bilion pada 31 Dis, 2022.

Ekuiti pemegang sahamnya meningkat kepada RM401.6 bilion pada 31 Dis, 2022, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang dicatatkan pada tahun tersebut.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Petronas Liza Mustapha berkata walaupun sebahagian besar penjanaan hasil adalah di Malaysia, 74 peratus daripada hasil itu direalisasikan melalui eksport dan operasi antarabangsa.

Beliau menambah perbelanjaan modal domestik meningkat sebanyak 24 peratus dengan keputusan pelaburan akhir (FID) adalah untuk 16 projek, manakala pinjaman kumpulan berjumlah RM104 bilion.

Petronas merekodkan jumlah purata pengeluaran harian sebanyak 2,434 ribu tong setara minyak (boe) sehari pada 2022, lebih tinggi daripada 2,275 ribu boe sehari pada 2021, terutamanya didorong oleh permintaan keseluruhan yang bertambah baik untuk gas di Semenanjung Malaysia ditambah dengan peluang yang direalisasikan dan prestasi yang lebih baik daripada operasi antarabangsa.

Kumpulan itu juga mencapai 37 hidrokarbon pertama, 26 FID, dan sembilan penemuan penerokaan di Malaysia dan luar negara, kata Petronas.

Melangkah ke hadapan, Liza berkata industri minyak dan gas berpotensi menyaksikan harga menjadi sederhana pada 2023 memandangkan jangkaan kelembapan ekonomi, walaupun ia berdepan dengan ketidaktentuan pasaran yang berpanjangan.

“Dalam persekitaran ini, syarikat akan terus memacu kecemerlangan operasi dalam perniagaan terasnya sambil mengejar sasaran pertumbuhan dan kemampanan,” tambah beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

GEAR-uP: KWAP labur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM51 juta dalam Bioscience Nutraceutical Holdings Sdn Bhd, pembekal sehenti dan pemilik jenama nutraseutikal di Malaysia, bagi membangunkan ekosistem pasaran persendirian negara menerusi Dana Pemacu.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Kemajuan GEAR-uP yang dikeluarkan hari ini berkata, pelaburan itu dilaksanakan menerusi pengurus dana tempatan Mekar Capital dan pengurus dana global Navis Capital.

Menurut laporan itu, pelaburan berkenaan membuktikan modal institusi mampu memajukan sektor kesihatan bernilai tinggi menerusi inovasi nutraseutikal, pengkomersialan produk serta pembangunan jenama premium.

KWAP turut menyokong pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan bersama sebanyak RM210 juta dalam Fasa 1 bagi pembangunan 9,000 katil.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pembangunan yang lebih luas untuk menyediakan 28,800 katil menerusi empat projek, dengan jumlah nilai pembangunan kasar kira-kira RM600 juta,” menurut laporan itu.

MOF berkata, pelaburan berkenaan bertujuan mewujudkan persekitaran kediaman lebih baik kepada golongan yang menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

Laporan itu turut memaklumkan pencapaian setakat Jun 2026 bagi inisiatif Dana Impak Khazanah Nasional Bhd.

Sebanyak 32 syarikat peringkat pertengahan disokong di bawah Mid-Tier Companies Growth Innovation Programme, manakala 21 lagi menerima sokongan menerusi Program ELEVATE 2.0.

Sementara itu, MOF berkata syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) memainkan peranan penting sebagai pelabur asas dan pelabur utama strategik dalam penyenaraian berkualiti di Bursa Malaysia.

Langkah itu melengkapkan konsep larian berganti apabila modal yang dipulangkan kepada pelabur modal teroka dan ekuiti swasta boleh dilaburkan semula dalam generasi baharu firma peringkat awal.

Pendekatan berkenaan membolehkan lebih banyak syarikat berkembang secara berperingkat sehingga mencapai tahap sesuai untuk disenaraikan.

Menurut laporan itu, aliran penyenaraian yang berterusan penting bagi mencapai sasaran Pelan Induk Pasaran Modal 2026-2030 untuk meningkatkan permodalan pasaran kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

Sokongan kukuh pelabur institusi turut menjadi antara faktor penting bagi memastikan aliran berkenaan kekal mampan.

MOF berkata, GLIC mengurus secara aktif portfolio merangkumi 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan sasaran pulangan tahunan 7.5 peratus bagi tempoh 2024 hingga 2028.

Portfolio berkenaan berpotensi menjana nilai sehingga RM100 bilion.

Prestasi pada 2025 melepasi sasaran apabila mencatat pulangan pemegang saham sebanyak 8.0 peratus.

“Memandangkan GLC mewakili kira-kira 27 peratus daripada permodalan Pasaran Utama Bursa Malaysia, keuntungan ini disalurkan semula kepada ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, KWAP, Permodalan Nasional Bhd dan Tabung Haji untuk meningkatkan simpanan persaraan rakyat Malaysia,” menurut MOF.

Menurut laporan itu, GLIC memacu penjanaan nilai portfolio menerusi tiga pendekatan utama, iaitu menyediakan laluan keluar bagi kitaran modal, memperkukuh kredibiliti untuk pasaran lebih luas serta membina asas pemilik jangka panjang yang stabil.