Hampir 80 Peratus Kekurangan Buruh Industri Perladangan Diselesaikan – Fadillah

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) — Hampir 80 peratus masalah kekurangan tenaga buruh dalam industri perladangan telah diselesaikan sehingga kini dengan bakinya sedang giat diusahakan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, bagaimanapun masalah kekurangan tenaga buruh masih kekal mencabar terutamanya di tempat-tempat tertentu, contohnya seperti Sarawak kerana negeri itu tidak menerima buruh dari Bangladesh.

“Kita sudah hampir selesai (masalah buruh), saya rasa hampir 80 peratus kini telah masuk tetapi cabarannya adalah di bahagian tertentu seperti di Sarawak, kerana mereka tidak mahu menerima buruh Bangladesh untuk bekerja di Sarawak.

“Jadi, sudah pastinya ia adalah satu cabaran untuk mendapatkan lebih banyak buruh Indonesia untuk masuk tetapi sejauh mana prosedur proses berkenaan boleh dilakukan. Dari segi kelulusan permohonan, hampir 100 peratus telah dicapai,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Projek Sawit Positif Rakyat (Projek P3) di sini hari ini.

Beliau berkata dari segi kelulusan (kemasukan buruh asing), ia sudah ada, tetapi cabarannya ialah membawa orang dari negara sumber kerana amalan, peraturan dan undang-undang dari negara sumber bukan dalam kawalan kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Fadillah menekankan kepentingan Malaysia melibatkan masyarakat antarabangsa, sama ada perunding atau pemain industri, serta memenuhi piawaian, amalan serantau dan juga antarabangsa.

Beliau berkata piawaian antarabangsa mesti diiktiraf bagi pemain industri untuk memenuhi jangkaan mereka yang membeli produk atau perkhidmatan Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Lantunan Melawan Arus Namun Trend Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mencatat lantunan melawan arus trend semalam apabila menaik MYR13 untuk ditutup pada paras MYR4,551. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras lebih rendah iaitu sebanyak MYR4,534. Ia jatuh kepada paras terendah sesi hari itu sebanyak MYR4,528 sebelum minat pembelian yang kuat muncul, lalu membawanya kepada paras tertinggi berjumlah MYR4,580. Akhirnya, ia menutup dagangan berhampiran paras tertinggi berkenaan dan membentuk corak lilin menaik. Pergerakan harga yang positif ini dianggap sebagai lantunan yang melawan arus trend. RSI sekarang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan momentum menaik kembali muncul.

Walaupun mengalami kenaikan harga, komoditi ini masih lagi berada di bawah garisan SMA 50 hari, yang mengesahkan bahawa struktur pasaran menurun dalam jangka sederhana masih kuat. Kami ramalkan tekanan jualan akan kembali menghampiri garisan SMA 50 hari sekiranya momentum menaik bertahan. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO melepasi paras MYR4,700.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.