PMB Investment Terima Anugerah Refinitiv Lipper Fund 2023

PMB Investment Berhad, sebuah anak syarikat milik penuh Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, menerima tiga (3) anugerah dalam tiga (3) kategori dana unit amanah patuh syariah terbaik Malaysia pada majlis Anugerah  Refinitiv Lipper Fund 2023 (Refinitiv Lipper Fund Awards 2023) hari ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA, Mahdzir Othman berkata, “Kami amat berbesar hati dan  bersyukur atas kejayaan PMB Investment memenangi dua (2) anugerah untuk dua (2) daripada dana kami.  Selain itu, pengiktirafan sebagai ‘Best Equity Group – Malaysia Provident Funds’ adalah satu lagi pencapaian  yang membanggakan dalam tempoh pandemik yang memberi tekanan dan ketidakstabilan kepada sosial,  ekonomi dan politik.” 

Dana tersebut, PMB Shariah Tactical Fund (PMB STF) memenangi Anugerah Dana Refinitiv Lipper 2023 untuk  kategori ‘Mixed Asset MYR Flexible Best Fund’ bagi tempoh lebih lima (5) tahun berakhir 31 Disember 2022.  Seterusnya, PMB Shariah Equity Fund (PMB SEF) pula memenangi anugerah untuk kategori ‘Equity Malaysia  Diversified Best Fund’ bagi tempoh tiga (3) dan lima (5) tahun berakhir 31 Disember 2022. 

Mengulas lanjut atas kemenangan ini, Mahdzir menyambung, “Kami akan terus memberi tumpuan untuk  meningkatkan pelaburan yang diamanahkan oleh pelabur kami dengan memberikan prestasi konsisten dan  penyelesaian pelaburan yang dapat memanfaatkan setiap peluang dalam semua keadaan pasaran.” 

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Mahani Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada badan  pemberi anugerah atas pengiktirafan yang diberikan kepada PMB Investment Berhad, “Anugerah Refinitiv  Lipper adalah pengiktirafan berasaskan merit terhadap usaha kami untuk terus memberi nilai kepada pelabur  kami melalui produk dan perkhidmatan terbaik.” 

PMB Shariah Tactical Fund merekodkan pulangan 16% untuk tempoh lima (5) tahun berakhir pada 31  Disember 2022. Manakala, PMB Shariah Equity Fund mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila  memberi pulangan sebanyak 95% untuk tempoh tiga (3) tahun dan 89% untuk tempoh lima (5) tahun, masing masing berakhir pada 31 Disember 2022.  

Jelas Mahani lagi, “Pelabur secara semula jadi mencari dana dengan prestasi yang kukuh. PMB Shariah Equity  Fund mengekalkan prestasinya sepanjang masa mencabar ini dan terus mencatatkan pulangan 29% untuk satu  (1) tahun bagi prestasi berakhir 28 Februari 2023 manakala PMB Shariah Tactical Fund mencatatkan 10%  pulangan untuk tempoh yang sama.” 

PMB Investment, sebuah syarikat milik penuh Pelaburan MARA Berhad, adalah sebuah Syarikat Pengurusan  Pelaburan Islam (Islamic Fund Management Company, IFMC) yang menguruskan 19 dana unit amanah, dua (2)  dana borong dan beberapa mandat portfolio dengan pelaburan dalam kelas-kelas aset ekuiti dan sukuk. 

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI