Pernas Labur Hampir RM1 Bilion Untuk Pembangunan Industri Francais

PETALING JAYA 14 Mac (Bernama) — Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) telah melabur hampir RM1 bilion dalam 86 buah syarikat di bawah skim pelaburan Pernas sejak 1998 sehingga kini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy berkata bagi tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025, Pernas memperuntukkan sebanyak RM300 juta bagi pelaburan ekuiti.

“Pihak Pernas selaku agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang menguruskan industri francais memfokuskan beberapa sektor seperti peruncitan, restoran, perkhidmatan dan FTW Racing, jenama yang pertama bagi sektor permotoran dan sukan lasak.

“Untuk FTW Racing, mereka selaku bakal francaisor dapat membimbing bakal-bakal francaisi di bawahnya untuk terus berjaya di dalam industri francais ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan outlet FTW Racing, di sini hari ini.

Pernas memberi suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta kepada FTW Ventures Sdn Bhd melalui jenamanya FTW Racing sebagai usaha membantu jenama itu ke arah perniagaan francais. 

Turut hadir Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif FTW Ventures Sdn Bhd Hairolsham Abu Bakar.

Pada majlis itu, FTW Racing turut melancarkan aplikasi baharu untuk para pelanggan menempah dan membeli produk barangan sukan ekstrem dengan lebih mudah dan cepat. 

Aplikasi itu merupakan aplikasi yang pertama seumpamanya di rantau ini dengan memfokuskan kepada produk-produk aktiviti luar seperti jersi, seluar, kelengkapan keselamatan, topi keledar, motorsikal, basikal dan lain-lain.

Aplikasi tersebut boleh dimuatnaik di Google Play Store atau Apple App Store. 

–BERNAMA

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.