InvestKL Sasar Pelaburan Bernilai Lebih Dariapada RM2 Bln Bagi 2023

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) — InvestKL menyasarkan untuk mendapatkan lebih daripada RM2 bilion pelaburan berimpak tinggi dan bernilai tinggi pada 2023 khususnya dalam ekonomi digital, idea dan inovasi serta pusat kecemerlangan serantau yang membawa kepada penciptaan 1,500 pekerjaan mahir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhammad Azmi Zulkifli berkata agensi itu akan mencari pelabur yang seiring dengan agenda kemampanan Malaysia.

“RM2 bilion adalah sasaran awal dan ini masih dibincangkan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tetapi kami yakin sasaran itu akan jauh lebih tinggi daripada RM2 bilion yang dikongsi sebelum ini,” katanya pada majlis anugerah dan perkembangan terkini prestasi InvestKL 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) MITI Datuk Bahria Mohd Tamil dan Pengerusi InvestKL Datuk Seri Michael Yam.

InvestKL ialah agensi penggalakan pelaburan untuk Greater Kuala Lumpur di bawah MITI.

Muhammad Azmi berkata pelaburan itu terdiri daripada syarikat di tiga wilayah utama, iaitu Amerika, Eropah dan Asia.

“Aktiviti pelaburan berkenaan agak serupa daripada segi trend dalam tempoh dua tahun lepas…memfokuskan kepada ekonomi digital. Banyak syarikat asing juga melihat untuk memusatkan dan menjamin rantaian bekalan mereka serta inovasi produk dan perkhidmatan,” katanya.

Pada 2022, agensi itu memperoleh pelaburan bernilai RM2.79 bilion, peningkatan 13 peratus daripada RM2.46 bilion pada 2021 dengan mewujudkan 2,805 jawatan eksekutif berkemahiran tinggi melalui penubuhan 13 hab perkhidmatan global termasuk Abbott, Baxter, Estee Lauder, Tupperware serta The Arnott’s Group.

InvestKL juga telah menetapkan sasaran untuk menarik pelaburan komited sebanyak RM35 bilion menjelang 2030, setakat tahun 2023 agensi itu telah mencapai 60 peratus daripada sasaran itu.

Muhammad Azmi berkata InvestKL juga bekerjasama dengan syarikat global terkemuka dan rakan kongsi strategik dalam program nilai tambah yang akan menyokong perniagaan yang bertanggungjawab dan perkongsian amalan terbaik untuk mempercepatkan agenda hijau Malaysia sejajar dengan Aspirasi Pelaburan Negara.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.