BNM Sokong Kemasukan Peserta Digital Baharu Dalam Sektor Kewangan

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) — Bank Negara Malaysia (BNM) meneruskan usaha untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk merangsangkan lagi inovasi, persaingan dan kedinamikan pada 2022, antaranya dengan menyokong kemasukan peserta digital baharu dalam sektor kewangan.

Dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata pada April 2022, Menteri Kewangan telah memberikan kelulusan bersyarat kepada lima pemohon bank digital.

“Bank-bank digital kini sedang menjalani semakan persediaan dari segi operasi dan mungkin akan memulakan operasi menjelang suku kedua 2024,” katanya.

Menurut BNM, bank-bank digital menawarkan perkhidmatan perbankan dalam talian tanpa rangkaian cawangan fizikal, memberikan tumpuan kepada penggunaan teknologi inovatif dan dijangka memberikan tumpuan kepada segmen kurang mendapat perkhidmatan kewangan dan tidak mendapat perkhidmatan kewangan.

Menurutnya penanggung insurans dan pengendali takaful digital (DITO) baharu juga mungkin akan menyertai landskap kewangan Malaysia untuk memberikan rangkuman, persaingan pasaran, dan kecekapan yang lebih meluas terutamanya melalui cara digital.

Pada November 2022, BNM mengeluarkan draf dedahan berhubung Rangka Kerja Pelesenan dan Pengawalseliaan untuk DITO yang bertujuan memperkenalkan keperluan pelesenan yang setimpal dengan tahap kerumitan DITO pada peringkat awal operasi.

“Sama seperti bank-bank digital, DITO yang baru diberikan lesen dikehendaki untuk mengikut fasa asas serta mematuhi keperluan pengurusan risiko yang mantap dan keperluan perlindungan pengguna,” katanya.

BNM menyasarkan untuk memuktamadkan dokumen dasar dan menerima permohonan untuk lima lesen DITO pada 2023.

Pada 2022, strategi BNM tertumpu kepada usaha untuk menggalakkan sistem kewangan yang menyokong ekonomi yang lebih digital, pelbagai, inklusif dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim dengan berpandukan Pelan Sektor Kewangan 2022-2026.

Bergerak ke hadapan, pada 2023, bank pusat akan terus memastikan sektor kewangan Malaysia kekal progresif dalam memberikan tindak balas terhadap perkembangan pasaran yang sedang pesat membangun dan terus inklusif dalam memenuhi keperluan penduduk Malaysia.  

“Sektor kewangan Malaysia perlu terus mencapai kemajuan dalam perjalanan transformasi digital yang sedang dilaksanakan.

“Bagi menyokong usaha ini, BNM akan memuktamadkan rangka kerja pelesenan bagi DITO dan membuat persediaan bagi memulakan operasi lima bank digital yang pertama di negara ini,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Prestasi KWAP Perlu Dinilai Secara Adil, Catat RM12.9 Bilion Untung Bersih – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) — Prestasi Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) perlu dinilai secara adil memandangkan dana persaraan itu berjaya mencatatkan keuntungan bersih RM12.9 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata ia tidak mungkin dicapai tanpa kepakaran, komitmen dan dedikasi panel pelaburan, pengurusan serta kepimpinan KWAP.

Mengenai pelaburan dalam eFishery, Perdana Menteri berkata bukan sahaja KWAP, malah syarikat pelaburan terkemuka Singapura seperti Temasek, bank Jepun SoftBank, Sequoia Capital, Aqua-Spark, 42XFund yang berpangkalan di Abu Dhabi and NorthStar dari Indonesia, turut melabur dalam syarikat pemula teknologi akuakultur itu.

“Jadi saya mohon rakan-rakan Yang Berhormat melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan kompaun tahunan itu melebihi 8.5 peratus,” kata beliau pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Perdana Menteri menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berhubung strategi bagi memastikan tabung persaraan negara iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP mampu memberikan dividen terbaik walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa KWAP tidak hanya melabur dalam syarikat asing, sebaliknya turut mempunyai pelaburan yang besar dalam syarikat pemula tempatan.

Anwar berkata selain pelaburan sedia ada, KWAP turut terbabit dalam inisiatif GEAR-UP yang diterajui Kementerian Kewangan (MOF) bersama KWAN, melibatkan dana berjumlah RM30 bilion.

Menjawab soalan tambahan Mohd Hasbie mengenai unjuran KWAP membiayai sepenuhnya tanggungan pencen melalui pulangan pelaburannya tanpa bergantung kepada dana kerajaan, Anwar berkata setakat ini keuntungan yang dicatatkan, meskipun mencecah puluhan bilion ringgit, masih belum mampu menampung kos pencen bagi jangka panjang.

“Sebab itu kita juga terpaksa berdepan dengan kontroversi mengenai tuntutan sebahagian pihak supaya dana dikeluarkan dengan lebih mudah,” kata beliau.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Abdul Hasim Suleiman mengenai keanggotaan jawatankuasa pelaburan KWAP dan sama ada majoritinya terdiri daripada golongan profesional, Anwar berkata panel pelaburan itu dianggotai sepenuhnya oleh golongan profesional manakala lembaganya turut diwakili wakil kementerian dan pekerja.

“Bagaimanapun, saya setuju dengan Yang Berhormat, kerugian itu (atas pelaburan dalam eFishery) harus memberikan kita peringatan, tidak semestinya kelulusan diberikan oleh panel pelaburan besar dunia, macam kita lihat tadi dari Eropah, Jepun, (misalnya) itu harus mempengaruhi kita.

“Tentunya ia memberi sedikit pertimbangan kerana untuk Softbank, misalnya melabur atau Emiriah Arab Bersatu atau Eropah, tentunya bagi pertimbangan besar tapi kalau kita lihat, cerakin proses, ia satu kejadian luar biasa,” kata Anwar.

— BERNAMA