BNM Akan Kukuhkan Sistem Kewangan Islam Pada 2023

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama)  — Bank Negara Malaysia (BNM) akan memberi keutamaan untuk terus membina sistem kewangan Islam berasaskan kekukuhan ekosistem kewangan Islam di  Malaysia bagi meningkatkan sumbangannya kepada semua pihak berkepentingan.

Di samping meneruskan inisiatif yang sedang dilaksanakan pada masa ini, bank pusat berkata ia akan memberikan tumpuan pada memodenkan penggunaan kontrak Syariah untuk menggalakkan inovasi yang memberi impak, merintis lebih banyak penyelesaian berasaskan nilai; dan memperkukuh pendorong ekosistem bagi memajukan perkembangan kewangan Islam. 

“Pada tahun 2022, bank memberikan tumpuan pada usaha memperkukuh peranan kewangan Islam dalam usaha menyokong pemulihan ekonomi yang mampan. 

“Bank bekerjasama rapat dengan industri untuk memajukan kewangan berasaskan nilai bagi memberikan kesan yang lebih besar kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar,” kata BNM di dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Bank Pusat itu juga berkata ia mempertingkat usaha untuk mengekalkan kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam pada peringkat global. Usaha ini diselaraskan dengan keutamaan pembangunan kewangan Islam seperti yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022- 2026.

Industri perbankan Islam dan takaful terus mengekalkan pertumbuhannya pada tahun 2022, memperoleh bahagian pasaran yang lebih besar daripada keseluruhan sistem kewangan pada 44.5 peratus bagi pembiayaan Islam. 

Ia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 10.8 peratus yang bernilai RM974.1 billion, yang membolehkan industri perbankan Islam memberikan sokongan yang mantap kepada keperluan pembiayaan perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), serta isi rumah. 

Perlindungan kewangan yang lebih meluas juga diberikan kepada pelbagai komuniti, kata BNM. 

Katanya, penggunaan penyelesaian kewangan Islam oleh syarikat yang diperakui halal telah meningkat hampir dua kali lebih tinggi pada tahun 2021 iaity 41.3 peratus berbanding tahun 2018 pada 21.9 peratus. 

BNM berkata usaha ini termasuk penawaran penyelesaian perniagaan yang disesuaikan, penggalakan kerjasama rapat antara agensi kerajaan berkaitan halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Halal, serta penganjuran program libat urus dan kesedaran berterusan sepanjang tahun.   

Pada bulan Mac 2022, Bank melancarkan Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) bagi menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Islamic Reference Rate). MYOR-i ialah kadar penanda aras berasaskan transaksi Islam pertama di dunia yang mematuhi Principles for Financial Benchmarks.  

Sejak Kertas Strategi mengenai Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) diperkenalkan pada tahun 2017, industri kewangan Islam telah mengantara sejumlah RM302.2 bilion dalam inisiatif yang selaras dengan VBI.

BNM berkata aktiviti kewangan berasaskan nilai didorong oleh pertimbangan berhubung dengan sumbangan dan impaknya kepada pihak berkepentingan yang lebih meluas. Hal ini termasuk menyokong agenda iklim dan kelestarian.

Bank pusat berkata ia sedang berbincang dan berinteraksi dengan pemohon lesen bank digital yang berjaya untuk memastikan mereka bersedia secara operasi untuk memulakan perniagaan berlesen ini. 

Daripada lima pemohon bank digital yang berjaya yang diumumkan pada bulan April 2022, dua pemohon akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.  

“Hal ini merupakan sebahagian daripada usaha bank untuk memperluas akses yang lebih baik, dan menggalakkan penggunaan yang bertanggungjawab terhadap penyelesaian kewangan yang bersesuaian, kepada segmen yang tiada atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.