Inti Pati Laporan Bank Negara Malaysia 2022

KUALA LUMPUR,  29 Mac (Bernama) — Berikut adalah inti pati daripada Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2022, Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2022 (ST2 2022) dan Tinjauan Ekonomi and Monetari 2022 yang dikeluarkan hari ini:

  • Ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4-5 peratus pada 2023 (2022: 8.7 peratus)
  • Sektor pembinaan dijangka meningkat 6.3 peratus pada 2023, perkhidmatan (5.0 peratus), perkilangan (4.0 peratus), perlombongan dan pengkuarian (2.0 peratus), pertanian (0.7 peratus)
  • Inflasi keseluruhan dan inflasi teras diunjur berpurata antara 2.8-3.8 peratus pada 2023
  • Penggunaan swasta dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.1 peratus pada 2023 (2022: 11.3 peratus); pelaburan swasta diunjur berkembang 5.8 peratus berbanding 7.2 peratus sebelumnya
  • Penggunaan awam dijangka berkembang pada kadar yang lebih perlahan iaitu 1.3 peratus pada 2023 (2022: 3.9 peratus);  pelaburan dijangka meningkat tujuh peratus 2023 (2022: 5.3 peratus).
  • Kadar pengangguran dijangka bertambah baik kepada 3.5 peratus pada 2023 dengan pengembangan pendapatan yang lebih meluas
  • Akaun semasa imbangan pembayaran dijangka terus mencatatkan lebihan pada tahun 2023 iaitu 2.5 hingga 3.5 peratus daripada KDNK (2022: 2.6 peratus daripada KDNK)
  • Jawatankuasa Dasar Monetari akan memberikan tumpuan terhadap pengurusan risiko inflasi serta menyokong pertumbuhan yang mampan pada tahun 2023
  • Sistem perbankan kekal dengan permodalan yang kukuh sepanjang separuh kedua 2022
  • Sektor insurans dan takaful pada masa hadapan dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh kedudukan modal dan mudah tunai yang kukuh
  • Bank pusat  akan terus memastikan keadaan monetari dan kewangan kekal menyokong pemulihan ekonomi Malaysia – Gabenor BNM Tan Sri Nor Shamsiah Yunus
  • Penampan modal dan mudah tunai yang teguh membolehkan bank-bank meneruskan pemberian pinjaman kepada ekonomi, menawarkan bantuan kepada peminjam yang masih menghadapi kesukaran

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian