Wanita Malaysia Jana Lebih RM176 Juta Pada 2022 Sebagai Hos – Airbnb

KUALA LUMPUR, 29 Mac (Bernama) — Airbnb berkata wanita Malaysia secara kolektif memperoleh lebih RM176 juta pada 2022 dengan membenarkan hartanah mereka dibuka kepada tetamu sebagai rumah inap dan merasai pengalaman jangka pendek.

Dalam satu kenyataan hari ini, Airbnb berkata wanita adalah tulang belakang dalam komuniti hos Airbnb, dan mereka merangkumi 55 peratus daripada semua hos di seluruh dunia.

Mereka memperoleh lebih daripada US$16 bilion (US$1=RM4.41) pada platform itu pada tahun 2022 di seluruh dunia, hampir 10 peratus lebih tinggi berbanding hos lelaki.

Ketua dasar awamnya untuk Asia Tenggara, India, Hong Kong dan Taiwan Mich Goh berkata hos wanita memainkan peranan yang semakin penting dalam sektor pelancongan terutamanya di Malaysia. Menjadi hos kepada rumah inap telah memberikan wanita Malaysia peluang kewangan yang besar di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.

Memandangkan kos sara hidup terus meningkat, wanita beralih menjadi penyambut kedatangan pengembara ke rumah mereka bagi memperoleh pendapatan tambahan dan berkongsi layanan serta budaya mereka dengan orang lain.

“Pada Bulan Wanita Antarabangsa ini, kami meraikan wanita yang luar biasa ini di platform kami, dan semangat keusahawanan serta semangat sepanjang hayat mereka.

“Kami komited untuk memastikan setiap wanita diiktiraf, dan menyediakan peluang kepada lebih ramai lagi untuk berkongsi manfaat pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

UOB Malaysia Catat Keuntungan Bersih Sebelum Cukai Paling Tinggi Sebanyak RM2.5 Bilion Pada 2025

Kuala Lumpur, Malaysia UOB Malaysia melaporkan keuntungan bersih sebelum cukai (NPBT) paling tinggi sebanyak RM2.5 bilion dan jumlah pendapatan operasi RM4.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2025. Ini didorong oleh pertumbuhan 9.5 peratus dalam keuntungan operasi dan tahap jangkaan kerugian kredit yang lebih rendah, disokong oleh masuk kira semula aset-aset tidak terjejas.

Keuntungan bersih sebelum cukai UOB Malaysia meningkat 15.6 peratus (2024: RM2.2 bilion), manakala pendapatan operasi mencatat kenaikan 4.5 peratus kepada RM4.9 bilion (2024: RM4.7 bilion) bersandarkan pertumbuhan dalam pendapatan faedah bersih daripada penyata imbangan yang dioptimumkan, pendapatan bukan faedah yang lebih baik serta pendapatan lebih tinggi daripada perniagaan Perbankan Islam.

Sementara itu, nisbah kos kepada pendapatan Bank meningkat lebih daripada dua peratus, menunjukkan pengurusan kos secara berdisiplin yang berterusan di seluruh bank. Pada masa yang sama, jumlah elaun untuk jangkaan kerugian kredit telah menurun dengan ketara hampir 70 peratus disebabkan oleh masuk kira semula aset-aset tidak terjejas.

Pada 2025, pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar UOB Malaysia meningkat 2.8 peratus kepada RM112.6 bilion (2024:RM109.5 bilion), disokong oleh pertumbuhan yang stabil dalam kedua-dua segmen Borong dan Runcitnya. Sementara itu, deposit bukan bank meningkat 5.8 peratus kepada RM121.3 bilion (2024: RM114.6 bilion). Dalam usaha mengukuhkan penyata imbangannya, Bank terus memberi tumpuan pada pengembangan dan pengekalan deposit berkualiti, dan ini telah menghasilkan campuran pendanaan yang lebih baik serta nisbah akaun simpanan dan akaun semasa (CASA) yang lebih tinggi.

Puan Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Kami berbesar hati untuk mencatatkan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak RM2.5 bilion pada 2025. Ini merupakan hasil daripada pertumbuhan pendapatan yang mantap dalam kesemua perniagaan teras kami, pengurusan kos yang berdisiplin, dan kos kredit yang lebih rendah. Prestasi kukuh ini membuktikan daya tahan francais kami, pengurusan risiko berhemat dan tumpuan berterusan untuk membina perniagaan yang mampan dan seimbang bagi membantu pelanggan kami dan juga pertumbuhan jangka panjang Malaysia.”

Kedudukan kredit yang kukuh dan prospek yang stabil Bank juga disahkan melalui penarafan AAA oleh RAM Holdings Berhad, satu pencapaian yang kekal sejak 2012. Kedudukan modal juga terus kukuh, dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 sebanyak 16.0 peratus dan Nisbah Kecukupan Modal sebanyak 19.4 peratus, jauh melebihi keperluan kawal selia, justeru menyediakan penampan yang mencukupi bagi pertumbuhan masa hadapan.

Sempena menandakan ulang tahun ke-75 UOB Malaysia, Bank akan terus memberi tumpuan pada kesalinghubungan serantau, memperkukuh platformnya dan meningkatkan keupayaan rentas sempadan bagi membantu pertumbuhan pelanggan. Ini berikutan tinjauan Bank terhadap kedudukan kekuatan Malaysia secara relatif dalam keadaan ketidakpastian global, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang stabil dan aliran pelaburan yang mantap, di samping pelbagai inisiatif kebangsaan bagi mengukuhkan ekonomi dan mempercepatkan peralihan ke arah sektor nilai tambah yang lebih tinggi.

Bank juga telah melaksanakan program bantuan kewangan bagi membantu pelanggan yang terjejas oleh konflik di Asia Barat. Pelanggan yang menjangkakan atau sedang mengalami masalah kewangan amat digalakkan untuk menghubungi Bank lebih awal melalui saluran bantuan khusus atau pengurus perhubungan.

Sebagai mengiktiraf prestasi kewangan yang konsisten, kesalinghubungan serantau yang kukuh, dan komitmen terhadap kemampanan, UOB Malaysia telah menerima anugerah Bank Terbaik 2026 dan Bank Mampan Terbaik di Malaysia di bawah Kategori Antarabangsa oleh FinanceAsia. Ini adalah tahun kedua berturut-turut Bank menerima kedua-dua anugerah tersebut. Prestasi kewangan UOB Malaysia yang terkini boleh didapati dalam Laporan Tahunan 2025, diterbitkan hari ini, dan boleh didapati di laman web Bank di uob.com.my