Pemegang Unit ASB 2, ASM Terima Agihan Pendapatan RM1.64 Bilion – PNB

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) — Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB), Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM1.64 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.

Dalam kenyataan hari ini, menurutnya Amanah Saham Bumiputera (ASB 2) mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM0.62 bilion, bersamaan 5.00 sen seunit kepada 513,244 pemegang unit yang kini memiliki 12.42 bilion unit.

Amanah Saham Malaysia (ASM) mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM1.02 bilion, iaitu bersamaan 4.50 sen seunit kepada 575,351 pemegang unit dengan pegangan 22.74 bilion unit.

Sehingga 28 Mac 2023, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM536.09 juta, manakala ASM mencatatkan RM784.83 juta.

“Pendapatan bagi kedua-dua dana ini diperoleh melalui keuntungan, dividen serta sumbangan pendapatan lain terealisasi daripada pelaburan domestik dan antarabangsa, dalam persekitaran inflasi yang lebih tinggi dan kebimbangan terhadap kemelesetan global yang meningkat.

“Kedua-dua dana juga telah mendapat manfaat daripada strategi kepelbagaian portfolio masing-masing dengan peningkatan peruntukan dalam instrumen pendapatan tetap seiring dengan peningkatan keluk kadar hasil,” menurut PNB. 

Pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan, masing-masing sebanyak 5.00 peratus dan 4.50 peratus, kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.52 peratus sebanyak 248 mata asas (bps) untuk ASB 2 dan 198 bps untuk ASM.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana ini akan dilaburkan semula secara automatik dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2023.

Urus niaga ASB 2 dan ASM di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan Internet telah ditangguhkan sementara bermula 28 hingga 31 Mac 2023 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB pada 1 April 2023, atau mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 3 April.

Sementara itu, PNB berkata had pelaburan individu dalam ASB dan ASB 2 yang ditingkatkan daripada RM200,000 kepada RM300,000 setiap satu akan berkuat kuasa pada 1 April 2023.

“Peningkatan had pelaburan ini merupakan satu langkah positif dan sejajar dengan usaha PNB untuk terus menggalakkan budaya menabung dan pelaburan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menurun Sekali Lagi

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO melanjutkan fasa mendatarnya pada hari Isnin apabila ia menurun MYR63 untuk ditutup pada paras MYR4,534. Ia membuka sesi dagangan pada harga MYR4,620 dan tindakan pengambilan untung mengheretnya ke paras terendah intrahari pada MYR4,531. Komoditi ini kemudiannya ditutup pada harga MYR4,534, dengan menyasarkan paras sokongan MYR4,500 selepas menembusi paras sokongan sebelumnya pada MYR4,550. Meskipun penurunan berlaku, struktur trend kenaikan secara meluasnya masih bertahan, dengan garisan SMA 50 hari masih bergerak ke atas.

RSI pula terus bergerak lebih rendah, sekali gus mencerminkan rentak kenaikan yang mereda. Paras sokongan terdekat sekarang adalah pada MYR4,500, yang mungkin membataskan pergerakan menurun lanjut dan membuka ruang untuk lantunan teknikal ke arah paras rintangan MYR4,680. Melainkan FCPO jatuh bawah paras sokongan MYR4,400, penurunan yang berlaku baru-baru ini akan dianggap sebagai fasa koreksi yang baik dalam kerangka kenaikan. Pada ketika ini, kami tetap berpegang pada bias dagangan positif.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac (MYR4,367). Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan awal kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Bagi pergerakan menaik, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh paras ambang MYR4,800