Meta: Banyak Perniagaan Di APAC Tidak Mampu Lagi Berada Di Facebook, Instagram

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) — Meta Platforms Inc memberitahu banyak perniagaan di Asia Pasifik (APAC) tidak lagi boleh mempunyai kedai dalam talian seperti di Facebook atau Instagram atau menggunakan penandaan produk dalam siaran mulai 10 Ogos 2023 kecuali di tujuh pasaran yang mana ia melihat peluang masa depan untuk membawa pembayaran ke pasaran tersebut. 

Tujuh pasaran itu ialah Australia, Korea Selatan, Taiwan, India, Jepun, Indonesia dan Thailand.

“Di pasaran terpilih ini, kami akan terus menyokong kedai tanpa pembayaran di Facebook dan Instagram yang diaktifkan untuk memudahkan peralihan sebaik mungkin,” katanya dalam satu kenyataan. 

Meta berkata perniagaan dengan kedai yang terletak di semua pasaran lain di seluruh Asia Pasifik tidak lagi boleh menjadi penganjur kedai di halaman Facebook atau Instagram mereka melainkan kedai itu mempunyai pembayaran di Facebook dan Instagram yang didayakan di Amerika Syarikat (AS). 

Perniagaan tanpa kedai yang boleh diakses tidak lagi dapat menggunakan ciri yang berkaitan dengan kedai termasuk pengetagan produk (dalam siaran, kekili atau cerita) dan mencipta khalayak tersuai/semirip yang diperoleh daripada orang yang mengunjungi kedai. 

Di Instagram, iklan dengan tag produk akan terus tersedia sebagai penyelesaian untuk membolehkan pelanggan baharu dan sedia ada menemui produk anda secara berskala melalui pengalaman yang tidak terkait secara langsung dengan kedai. 

“Perniagaan secara aktif yang memanfaatkan iklan dengan tag produk tidak perlu mengambil sebarang tindakan dan kempen mereka akan diteruskan tanpa gangguan,” kata Meta. 

Bagaimanapun, perniagaan dengan kedai yang terletak di 11 pasaran iaitu Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Norway, Sepanyol, Sweden, Switzerland, UK dan Ukraine akan terus dapat menggunakan kedai di Facebook serta Instagram sehingga diberitahu kelak. 

Meta menggalakkan perniagaan untuk terus menggunakan gabungan alat percuma dan berbayar yang paling berprestasi bagi mencari pelanggan serta memacu jualan, termasuk perniagaan yang boleh melabur dalam perbelanjaan pemasaran mereka secara lebih bijak dengan berhubung dengan pelanggan berdasarkan minat mereka.

“Kini tersedia di seluruh dunia, kempen beli-belah Advantage membantu perniagaan menjadi lebih bijak dan pantas mengenai kempen mana yang mampu memaksimumkan pulangan pelaburan iklan mereka,” tambahnya. 

Perniagaan juga boleh membuat kandungan video pendek untuk ditemui oleh pelanggan yang belum mengikuti jenama mereka.   

Meta berkata kekili adalah format yang paling pesat berkembang pada aplikasi Meta dan bersama-sama dengan suapan, cerita serta pemesejan, syarikat itu menawarkan sekumpulan alat yang membolehkan perniagaan berkongsi kisah jenama mereka, membina hubungan selain mengembangkan perniagaan mereka.

Sementara itu, pemesejan merentasi WhatsApp, Facebook dan Instagram, perniagaan boleh menghantar mesej dan menjalankan iklan klik ke mesej yang membantu menghubungkan mereka secara langsung dengan pembeli kerana pemesejan membolehkan perniagaan menjual, menyokong serta memasarkan produk mereka tanpa meninggalkan urutan sembang.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.