RUU Pasaran Modal Dan Perkhidmatan (Pindaan) 2023 Dibentang Bagi Bacaan Pertama

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Rang Undang-Undang (RUU) Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2023 telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini. 

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong yang membentangkan RUU tersebut, berkata bacaan kali kedua turut dijadualkan pada sesi kali ini.

RUU tersebut bertujuan meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671), termasuk cadangan untuk membolehkan penubuhan subsidiari pengawalseliaan bagi menjalankan kewajipan di bawah Akta 671 tersebut.

Pindaan Seksyen 21 itu juga membolehkan subsidiari pengawalseliaan kuasa mengambil tindakan tanpa menghalang subsidiari lain selain juga bertujuan untuk memberi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kuasa untuk mengubah, menambah kepada atau membatalkan apa-apa perkiraan yang dibuat.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memasukkan Seksyen baharu 21A yang memberi kuasa kepada SC untuk mengarahkan suatu syarikat pemegangan di Bursa Malaysia dalam menubuhkan subsidiari pengawalseliaan, jika diperlukan.

Pindaan lain termasuk meminda Seksyen 26 untuk memperluas kuasa SC bagi mengeluarkan arahan kepada subsidiari pengawalseliaan dan Seksyen 376 dalam memperluas skop indemniti kepada subsidiari pengawalseliaan dan mana-mana orang yang bertindak bagi pihaknya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

FCPO: Lantunan Melawan Arus Namun Trend Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mencatat lantunan melawan arus trend semalam apabila menaik MYR13 untuk ditutup pada paras MYR4,551. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras lebih rendah iaitu sebanyak MYR4,534. Ia jatuh kepada paras terendah sesi hari itu sebanyak MYR4,528 sebelum minat pembelian yang kuat muncul, lalu membawanya kepada paras tertinggi berjumlah MYR4,580. Akhirnya, ia menutup dagangan berhampiran paras tertinggi berkenaan dan membentuk corak lilin menaik. Pergerakan harga yang positif ini dianggap sebagai lantunan yang melawan arus trend. RSI sekarang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan momentum menaik kembali muncul.

Walaupun mengalami kenaikan harga, komoditi ini masih lagi berada di bawah garisan SMA 50 hari, yang mengesahkan bahawa struktur pasaran menurun dalam jangka sederhana masih kuat. Kami ramalkan tekanan jualan akan kembali menghampiri garisan SMA 50 hari sekiranya momentum menaik bertahan. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO melepasi paras MYR4,700.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.