Kadar Dasar Semalaman Mungkin Hampir Cecah Paras Optimal – Ahli Ekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan besar menghampiri paras optimalnya berdasarkan faktor-faktor sebelum ini yang menyaksikan pergerakan dalam jajaran 3.0-3.25 peratus, kata ahli ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun rekod atau sejarah sebelum ini boleh dijadikan panduan bagi menentukan angka OPR, namun tiada siapa dapat menyatakan kadar paling tepat untuk masa depan.

“Tiada siapa pun dapat menyatakan apakah paras optimal atau dirujuk ahli ekonomi sebagai kadar neutral. Bagaimanapun, kadar pada 3.0 peratus berkemungkinan besar telah menunjukkan bahawa kita menghampiri paras optimal.

“Kita juga hanya mengetahui bahawa ekonomi telah pulih apabila perkembangan ekonomi berada pada kadar 8.7 peratus tahun lepas. Paras OPR yang terlalu rendah juga hanya menjejaskan lagi ekonomi negara,” katanya pada program ‘The Brief’ terbitan Bernama TV, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Afzanizam berkata Bank Negara Malaysia sebagai bank pusat yang bertanggungjawab dalam aspek dasar monetari negara, telah bertindak menaikkan OPR bagi mewujudkan satu zon penampan untuk menangani sebarang kesukaran ekonomi.

“Sebelum ini, kita telah melihat bagaimana OPR dikurangkan daripada 3.0 peratus kepada 1.75 peratus pada 2020 kerana perlu menangani COVID-19. Tetapi, apabila ekonomi mulai pulih, OPR telah dinaikkan lagi sebanyak 125 mata asas sehingga sekarang,” katanya.

Mengulas prospek masa depan, beliau berkata ketidaktentuan ekonomi bukanlah sesuatu yang dapat dielakkan dan pihak Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) turut membangkitkan mengenai kemungkinan negara maju mengalami kemelesetan.

“Oleh itu, ada kemungkinannya OPR akan diturunkan di masa depan, tetapi bukan dalam masa terdekat ini,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA