RUU Pasaran Modal Dan Perkhidmatan (Pindaan) 2023 Dibentang Bagi Bacaan Pertama

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Rang Undang-Undang (RUU) Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2023 telah dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini. 

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong yang membentangkan RUU tersebut, berkata bacaan kali kedua turut dijadualkan pada sesi kali ini.

RUU tersebut bertujuan meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671), termasuk cadangan untuk membolehkan penubuhan subsidiari pengawalseliaan bagi menjalankan kewajipan di bawah Akta 671 tersebut.

Pindaan Seksyen 21 itu juga membolehkan subsidiari pengawalseliaan kuasa mengambil tindakan tanpa menghalang subsidiari lain selain juga bertujuan untuk memberi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kuasa untuk mengubah, menambah kepada atau membatalkan apa-apa perkiraan yang dibuat.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk memasukkan Seksyen baharu 21A yang memberi kuasa kepada SC untuk mengarahkan suatu syarikat pemegangan di Bursa Malaysia dalam menubuhkan subsidiari pengawalseliaan, jika diperlukan.

Pindaan lain termasuk meminda Seksyen 26 untuk memperluas kuasa SC bagi mengeluarkan arahan kepada subsidiari pengawalseliaan dan Seksyen 376 dalam memperluas skop indemniti kepada subsidiari pengawalseliaan dan mana-mana orang yang bertindak bagi pihaknya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.