Juwai IQI: Malaysia Terima Manfaat Peralihan Pelaburan Hartanah Komersial China

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) — Malaysia telah menerima manfaat daripada perubahan dalam pelaburan hartanah komersial antarabangsa China yang telah beralih ke Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain, terutamanya Indonesia dan Thailand, menurut satu laporan yang baru dikeluarkan oleh syarikat teknologi hartanah global, Juwai IQI.

Menurut laporan itu, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor muncul sebagai destinasi utama dalam kalangan pelabur China di Malaysia.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Kashif Ansari berkata Johor mempunyai ekonomi yang maju dan berhampiran dengan Singapura.

“Bersama dengan Singapura, Johor adalah sebahagian daripada kawasan metropolitan trans-nasional dengan kira-kira enam juta orang. Kami menjangkakan peningkatan pelaburan di Johor apabila Projek RTS Link Johor Bahru-Singapura ke Singapura hampir siap pada 2026.

“Juwai IQI meramalkan seramai 50,000 tambahan penduduk yang boleh menjalani gaya hidup secara rentas sempadan menjelang 2030 yang akan menawarkan peningkatan yang ketara dari segi permintaan terhadap hartanah komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kashif berkata rangkaian Singapura di Johor telah menjadi asas kepada banyak pelaburan China di negara ini dan pelaburan ini akan meningkat.

Menurutnya RTS Link akan membawa kepada lebih banyak limpahan pelaburan dari Singapura, menarik lebih ramai rakyat Singapura dan China untuk mencari pulangan lebih tinggi, gaya hidup serta kemampuan yang ditawarkan oleh Johor.

“Destinasi paling popular seterusnya untuk pelabur hartanah komersial China adalah Kuala Lumpur dan Selangor, iaitu hab bandar dan perniagaan terbesar Malaysia,

“Malaysia kali pertama menjadi lima destinasi utama dalam kalangan pelabur komersial China pada 2022. Mencapai kedudukan ketiga seperti tahun ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Pada masa depan, kami tidak percaya bahawa ketidaktentuan ekonomi global akan menghalang Malaysia daripada mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada 2023,” katanya.

Kashif berkata Malaysia akan menarik lebih banyak pelaburan, dan inisiatifnya untuk mengurangkan birokrasi, dan mengembangkan ekonomi akan menyokong trend ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, China, selepas Singapura adalah pasaran eksport kedua Malaysia yang terbesar berjumlah RM16.7 bilion pada Mac 2023, kira-kira 13 peratus daripada keseluruhan eksport.

” China menyumbang sebanyak 20.5 peratus daripada import bernilai RM21.2 bilion pada Mac,” katanya.

 — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OIB Lancar Gardens Idaman, Memperkukuh Portfolio Perumahan Mampu Milik Mampan Di Selangor

Rawang, 17 Ogos 2026: Oriental Interest Berhad (OIB) hari ini mengumumkan pelancaran rasmi Myra Idaman, sebuah pembangunan perumahan mampu milik terbaharunya di bawah program Rumah Idaman, yang dipasarkan dengan nama Gardens Idaman. Pelancaran ini memperluas lagi portfolio perumahan mampu milik OIB di Selangor, dengan Gardens Idaman menjadi pembangunan terbaharu Kumpulan di bawah program Rumah Idaman.

Meliputi kawasan seluas 11.226 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM163.8 juta,
Gardens Idaman akan menawarkan 616 unit pangsapuri separa berperabot dengan harga bermula daripada RM250,000 hingga RM270,000. Setiap unit turut dilengkapi dengan dua ruang letak kereta.

Pembangunan berstatus pajakan ini dijangka siap pada tahun 2030 dan direka sebagai komuniti berpagar dan berpengawal untuk pembeli rumah pertama serta keluarga yang mencari kediaman yang lebih luas dan selesa.

Setiap unit berkeluasan 1,002 kaki persegi mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dua ruang letak kereta, serta dilengkapi secara separa berperabot dengan almari pakaian, penghawa dingin, pemanas air, kabinet dapur, peti sejuk, televisyen dan kabinet TV.

Para penghuni juga akan menikmati Central Park yang menampilkan trek joging, gimnasium luar, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal dan pickleball, selain kemudahan lain seperti dewan serbaguna, tadika serta surau.

William Lew, Pengurus Besar Unit Perniagaan Essential Myra, bahagian hartanah kediaman OIB, berkata program Rumah Idaman Selangor memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik berkualiti di seluruh negeri.

“Program Rumah Idaman telah menjadi penanda aras penting dalam menjadikan pemilikan rumah berkualiti lebih mudah dicapai oleh pembeli rumah pertama.

“Sebagai salah satu pemaju yang menyertai program ini, peranan kami bukan sekadar membangunkan kediaman yang memenuhi keperluan program, tetapi juga sentiasa mencari peluang untuk mewujudkan nilai tambah kepada pemilik rumah serta komuniti yang bakal didiami mereka,” katanya

Pelancaran ini turut memperluas portfolio perumahan mampu milik OIB, dengan Gardens Idaman dan pembangunan akan datang, Saujana Idaman di Dengkil, masing-masing menerima pensijilan Provisional GreenRE Bronze, mengiktiraf komitmen projek-projek tersebut terhadap amalan pembangunan yang mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

GreenRE merupakan skim pensijilan bangunan hijau Malaysia yang ditubuhkan oleh
Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), bagi mengiktiraf pembangunan yang
memenuhi penanda aras kelestarian merangkumi aspek seperti kecekapan tenaga, kecekapan air, perlindungan alam sekitar serta kualiti persekitaran dalaman.

Walaupun aspek kelestarian semakin diberi perhatian dalam sektor hartanah Malaysia, penerapan piawaian GreenRE dalam pembangunan perumahan mampu milik masih belum meluas.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk memperluaskan penerapan reka bentuk mampan dalam pembangunan perumahan mampu milik, agar manfaat kelestarian dapat dinikmati oleh lebih ramai pemilik rumah.

Lew menambah bahawa walaupun pensijilan GreenRE bukan merupakan keperluan di bawah program Rumah Idaman, OIB percaya aspek kelestarian wajar diterapkan dalam pembangunan perumahan mampu milik dan tidak seharusnya terhad kepada pembangunan bertaraf premium.

“Sering kali wujud persepsi bahawa kelestarian hanya sesuai untuk pembangunan berharga tinggi. Namun, kami percaya perumahan mampu milik juga boleh menerapkan elemen kelestarian tanpa menjejaskan kemampuan milik, terutamanya apabila aspek ini dipertimbangkan sejak peringkat awal reka bentuk.

“Pensijilan Provisional GreenRE Bronze yang diterima oleh Gardens Idaman dan Saujana Idaman menunjukkan bahawa kelestarian dan kemampuan milik boleh bergerak seiring. Pencapaian ini turut mencerminkan usaha kami untuk menerapkan pendekatan pembangunan yang lebih mampan dalam projek perumahan mampu milik,” jelasnya.

Gardens Idaman menggabungkan pelbagai ciri reka bentuk mampan termasuk reka bentuk luaran bangunan bagi mengurangkan penyerapan haba, kelengkapan kecekapan air 100%, penggunaan bahan binaan rendah karbon, sistem acuan aluminium boleh guna semula, sistem lif cekap tenaga, cat rendah penyerapan sebatian organik (VOC) serta pengoptimuman pencahayaan semula jadi.

Secara keseluruhannya, langkah-langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga dan air, memperbaiki kualiti persekitaran dalaman serta mewujudkan persekitaran kediaman yang lebih selesa untuk para penghuni.

Berdasarkan penilaian GreenRE, Gardens Idaman dijangka mencapai penjimatan tenaga kira-kira 30.61% berbanding dengan garis dasar GreenRE, serta mengurangkan pelepasan karbon operasi yang dianggarkan sebanyak 337 tan karbon dioksida setara (CO₂e) setiap tahun.

Terletak di salah satu koridor pertumbuhan utama Selangor, Gardens Idaman menawarkan hubungan strategik ke Rawang, Sungai Buloh, Kwasa Damansara, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Koridor Guthrie serta Lebuhraya Utara-Selatan (NSE).

Pembangunan ini turut menawarkan akses mudah ke sekolah, kemudahan penjagaan kesihatan dan rekreasi serta pusat komersial berhampiran.

Gardens Idaman merupakan projek terbaharu dalam portfolio Rumah Idaman OIB, selepas kejayaan pelancaran Putra Idaman di Desa Pinggiran Putra pada tahun 2024.

Dengan Saujana Idaman dijadualkan untuk dilancarkan pada suku ketiga 2026, OIB akan terus mengembangkan portfolio perumahan mampu miliknya di Selangor, selaras dengan aspirasi perumahan negeri. Untuk maklumat lanjut mengenai Gardens Idaman, layari https://www.myra.com.my/myra-homes/gardensidaman