S&P Global: Reaksi Sederhana Terhadap Harga Minyak Di Tengah-Tengah Ancaman Pemberontakan Bersenjata Di Rusia

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) — Terdapat reaksi yang sederhana daripada pasaran minyak global walaupun terdapat ancaman pemberontakan bersenjata di Rusia, iaitu negara pengeksport minyak mentah kedua terbesar di dunia, kata S&P Global.

Rusia pada Sabtu (24 Jun) mengisytiharkan operasi rejim antipengganas di Moscow dan wilayah Moscow.

Ini berlaku selepas ketua kumpulan tentera upahan Wagner yang diketuai oleh Yevgeny Prigozhin berikrar untuk menggulingkan kepimpinan tentera Rusia.

Naib Pengerusi S&P Global Daniel Yergin berkata tiada gangguan berlaku setakat ini dan isu utama yang mengawal pasaran tenaga ialah pemulihan ekonomi yang lebih kukuh di China dan kebimbangan tentang kesan daripada kadar faedah tinggi di Amerika Syarikat dan negara lain.

“Separuh kedua tahun ini hanya tinggal empat hari lagi tetapi setakat ini kami tidak melihat asas-asas yang semakin ketat.

“Tidak banyak kesan geopolitik dapat dilihat dalam pasaran sekarang kerana kita telah melihatnya beberapa bulan lalu,” katanya pada taklimat media mengenai kesimpulan hari pertama persidangan Energy Asia 2023 di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai kekurangan pelaburan untuk projek tenaga boleh diperbaharui tradisional, Yergin berkata Asia adalah negara yang paling terdedah kepada kurangnya pelaburan bagi minyak dan gas (O&G).

“Kami mendapati (kekurangan pelaburan) memberi kesan kepada negara-negara seperti Bangladesh dan Pakistan, yang tidak mampu membeli gas asli cecair,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata terdapat pelbagai sebab kurangnya pelaburan dalam industri O&G, termasuk tekanan daripada pelabur institusi dan, dalam beberapa kes, ia melibatkan kerajaan.

“Kita telah melihat beberapa pihak meningkatkan pelaburan mereka tetapi masih terdapat isu yang tergantung di pasaran dan itu telah terbukti dengan kurangnya pelaburan yang signifikan pada musim luruh 2021 sebelum pencerobohan Rusia ke atas Ukraine,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik berkata terdapat tempoh yang menyebabkan kurangnya pelaburan disebabkan oleh dua kejatuhan harga komoditi itu sebelum ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA