Masa Tepat Laksanakan Pembaharuan Subsidi, Perlukan Strategi Tangani Halangan — Pakar Ekonomi

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) — Subsidi, pada dasarnya, adalah penyelarasan jangka pendek dan perlu dimansuhkan secara berperingkat kerana ia boleh memberi kesan kepada harga sekiranya terus dilaksanakan bagi satu tempoh yang berpanjangan. 

Malaysia yang mencatatkan belanjawan defisit menyaksikan kekangan dalam kedudukan fiskalnya berikutan langkah mengekalkan kos barang keperluan pada harga di bawah pasaran,

Subsidi kerajaan dianggarkan mencecah rekod RM80 bilion pada 2022, dengan subsidi bahan api dan minyak masak menyumbang separuh daripada jumlah itu. 

Pada Januari tahun ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata paras hutang negara termasuk liabiliti mencecah RM1.5 trilion dan perlu ditangani dengan segera kerana peningkatan hutang itu telahpun lebih 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara. 

Pembaharuan struktur telahpun bermula. Pemansuhan subsidi secara berperingkat, antara lainnya, berada di landasan yang betul dengan kerajaan sedang meneliti dan memperhalusi mekanismenya. 

Anwar, yang dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 pada November tahun lepas berkata kerajaan memperuntukkan subsidi berjumlah RM66.3 bilion pada 2022, sebahagian besarnya untuk mengimbangi harga bahan api, elektrik dan ayam ternakan.

Profesor ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata pembaharuan subsidi bagi elektrik adalah cara paling praktikal dan mudah untuk menghapuskan kesan herotan subsidi yang mana golongan berpendapatan paling tinggi paling banyak meraih manfaat daripadanya.  

“Elektrik bermeter, jadi kami boleh mengenal pasti pengguna tertinggi dalam kumpulan T20 (20 peratus teratas daripada pendapatan isi rumah) dengan mudah. Menghapuskan subsidi kepada mereka yang menggunakan lebih daripada 600 kWj sebulan boleh menjimatkan RM1.96 bilion dan hanya akan menjejaskan 11 peratus isi rumah,” katanya kepada Bernama.

Pada 23 Jun, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengumumkan bahawa 1.0 peratus pengguna elektrik teratas di negara ini akan membayar tarif yang lebih tinggi antara Julai dan Disember tahun ini. Di bawah mekanisme pelepasan kos tidak seimbang baharu, kira-kira 83,000 pengguna akan membayar sekurang-kurangnya RM187 lebih sebulan.

Sementara itu, Williams berkata pemotongan subsidi bahan api boleh dicapai dengan cara yang sama seperti pemotongan subsidi elektrik — dengan mengenakan harga penuh tanpa subsidi kepada pengguna tinggi dan harga bersubsidi rendah kepada pengguna rendah.

“Ini kebanyakannya merangkumi kumpulan T20 dan B40 (40 peratus terendah daripada pendapatan isi rumah). Menghapuskan subsidi untuk pengguna tinggi sahaja akan menjimatkan berpuluh bilion (ringgit). Teknologi ini boleh dicapai di tempat jualan di stesyen minyak. Orang tengahlah yang membantah perkara ini kerana mereka kerugian dari segi pembayaran,” katanya.

Williams menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu memahami isu ekonomi dan bahawa orang tengah serta kumpulan berpendapatan tinggilah yang paling mendapat manfaat daripada subsidi. 

“Subsidi juga mengganggu pasaran dalam jangka panjang jadi kita memerlukan pembaharuan sekarang,” katanya.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata kerajaan berada di landasan yang betul dengan melakukan pembaharuan subsidi memandangkan Malaysia sedang mengalami trend penurunan kadar inflasi dan ekonomi telah pulih ke tahap sebelum pandemik.

“Namun, walaupun sebahagian isi rumah sudah pulih, masih ramai yang memerlukan bantuan tambahan; justeru terdapat keperluan bagi subsidi bersasar daripada mengekalkan pendekatan secara lebih meluas,” katanya kepada Bernama.

Inflasi Malaysia terus menurun pada Mei 2023 dengan Indeks Harga Pengguna merosot kepada 2.8 peratus daripada 3.3 peratus pada bulan sebelumnya, terutamanya disumbangkan oleh kejatuhan indeks untuk makanan dan minuman bukan alkohol; pengangkutan; dan perabot, peralatan rumah dan penyelenggaraan rutin rumah.

Ia merupakan penurunan kadar inflasi negara bulan kesembilan berturut-turut sejak mencapai kemuncak 4.7 peratus pada Ogos tahun lepas.

Empat C untuk pembaharuan subsidi bahan api yang berjaya

Menurut Bank Dunia pada Jun 2022, cadangan pembaharuan subsidi Malaysia, yang bertujuan untuk menggantikan subsidi bahan api yang menyeluruh dengan sistem bersasar, adalah pendekatan yang sesuai, tetapi ia memerlukan input tambahan untuk menjamin kejayaan.

“Pada asasnya, kerajaan berusaha untuk menangani ekonomi politik di sebalik pembaharuan subsidi bahan api untuk mengatasi rintangan daripada mereka yang mendapat manfaat daripada status quo – biasanya segmen masyarakat yang kaya,” katanya.

Menurut bank itu, pembaharuan yang berjaya untuk Malaysia memerlukan 3 C — komitmen yang berwibawa, konsensus dan penyelarasan (program kerajaan) — yang disokong oleh C keempat, komunikasi. Ini perlu disertakan dengan naratif yang lebih daripada mengurangkan tekanan fiskal.

Ahmed Razman berkata kebiasaannya, apabila mana-mana kerajaan bercadang untuk memberi subsidi kepada rakyat, ia perlu dipadankan dengan hasil yang dijana melalui kutipan cukai.

Katanya pada masa ini, kerajaan dalam peringkat mengurangkan subsidi yang diperuntukkan untuk memastikan ia masih dapat menampungnya.

“Sekiranya mereka tidak mempunyai hasil yang mencukupi untuk itu, pembaharuan cukai mungkin diperlukan untuk memastikan kutipan mencukupi bagi tujuan pengeluaran subsidi,” kata Ahmed Razman.

Ketua Ekonomi dan Ketua Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata subsidi, pada dasarnya, adalah penyelarasan sementara dan perlu dimansuhkan selepas semuanya stabil. 

Dalam kes Malaysia, katanya subsidi telah menjadi ciri kekal, yang menjadikan tugas untuk memansuhkannya amat mencabar.

“Subsidi akan menjejaskan harga pasaran. Ia boleh mengakibatkan penggunaan yang berlebihan dan kurangnya insentif kepada pengeluar untuk menghasilkan lebih daripada itu.

“Ini akan mewujudkan ketidakseimbangan dalam ekonomi yang akan menghalang pelaburan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran ekonomi,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Beliau berkata, untuk menghapuskannya, kerajaan memerlukan strategi termasuk memastikan pemberhentian itu dibuat secara beransur-ansur dan mengikut tempoh masa yang ketat.

Beliau berkata penjimatan daripada subsidi itu perlu disalurkan kembali kepada pihak yang sepatutnya dengan kaedah pantas kerana penghapusan subsidi adalah inflasi.

Mohd Afzanizam berkata terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang berhasrat untuk mengambil kesempatan daripada situasi ini, dan penguatkuasaan undang-undang serta pendakwaan yang cukup tegas diperlukan untuk mengurangkan sebarang kesilapan.

Beliau berkata isu-isu seperti manipulasi harga, perbuatan menyorokkan dan kartel perlu dihapuskan sepenuhnya menerusi penguatkuasaan tegas dalam undang-undang berkaitan. Dengan cara itu, penetapan harga pasaran akan adil dan telus.

“Pangkalan data bagi mereka yang layak menerima bantuan kewangan mudah tersedia.

“Pelaburan dalam pembinaan kapasiti juga perlu dipercepat terutamanya dalam bidang berkaitan pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur. Ini adalah pelaburan jangka panjang, dan bagi menikmati manfaat ini, pelaburan tersebut perlu dilaksanakan tepat pada masanya,” katanya.

— BERNAMA

Artikel asal: https://thekapital.my/masa-tepat-laksanakan-pembaharuan-subsidi-perlukan-strategi-tangani-halangan-pakar-ekonomi/

Previous ArticleNext Article

Banyak Keistimewaan Jadi Miskin di Malaysia?

Jangan salah faham. Menjadi miskin bukanlah satu keistimewaan. Tetapi di Malaysia, golongan berpendapatan rendah dan keluarga yang benar-benar memerlukan memang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan.

Antaranya:

1. STR – Sumbangan Tunai Rahmah
Bantuan tunai kepada golongan yang memenuhi syarat pendapatan dan kategori ditetapkan.

2. SARA – Sumbangan Asas Rahmah
Bantuan untuk membeli barangan keperluan asas menggunakan MyKad.

Penerima STR 2026 yang telah disahkan daripada data Miskin Tegar dan Miskin eKasih layak SARA 2026 berjumlah RM200 / RM150 / RM100 setiap bulan bagi tempoh 12 bulan (Januari 2026 – Disember 2026).

3. Bantuan perumahan
Ada skim seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat (RMR), selain skim sewaan atau subsidi tertentu untuk keluarga berpendapatan rendah.

Keluarga berpendapatan kasar isi rumah sehingga RM3,000, belum memiliki rumah dan memenuhi syarat boleh memohon PPR.

4. Rumah Mesra Rakyat (RMR)

Ini berbeza dengan PPR.

Contoh:
Keluarga berpendapatan rendah mempunyai tanah sendiri tetapi belum mempunyai rumah yang sesuai boleh melihat kelayakan RMR.

Antara syarat yang dinyatakan SPNB ialah pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,000 dan pemohon/pasangan tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang/tidak sempurna. Tanah yang sesuai juga diperlukan.

Cara mohon:
Permohonan dibuat melalui SPNB dan dokumen berkaitan tanah, pendapatan serta maklumat keluarga perlu disediakan.

5. Bantuan JKM
Ini antara yang ramai tak tahu sebab bantuan JKM bukan satu jenis sahaja.

Contohnya terdapat bantuan berkaitan kanak-kanak, warga emas, OKU, penjagaan dan keadaan keluarga tertentu.

Cara mohon:
Permohonan boleh dibuat melalui sistem eBantuan JKM bagi negeri yang menyokong permohonan dalam talian, kemudian pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah bersama dokumen sokongan.

Terdapat pelbagai skim mengikut keadaan penerima, termasuk bantuan kanak-kanak, warga emas dan bantuan am.

6. Bantuan Kesihatan – mySalam

Skim Perlindungan B40 merupakan Skim Perlindungan Takaful PERCUMA yang disediakan oleh kerajaan kepada komuniti B40 di Malaysia. Skim ini bernaung di bawah kelolaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui Tabung Amanah mySalam dan diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Great Eastern Takaful Berhad.

Bagi penerima yang layak pada 2026, mySalam menyediakan manfaat seperti hospitalisasi sehingga RM700 setahun dan RM8,000 untuk penyakit kritikal yang dilindungi, tertakluk kepada syarat skim.

Cara mohon:
Semak kelayakan di Portal mySalam. Jika layak dan berlaku kejadian yang dilindungi, tuntutan dibuat secara dalam talian dengan memuat naik dokumen seperti nota discaj atau borang doktor.

7. Bantuan pendidikan
Bantuan yuran, tuisyen, biasiswa dan pelbagai bentuk sokongan pendidikan disediakan secara bersasar untuk keluarga yang memerlukan.

  • BAP (Bantuan Awal Persekolahan) → bantuan tunai RM150 seorang murid untuk murid yang layak.
  • RMT (Rancangan Makanan Tambahan) → murid yang layak mendapat makanan pada setiap hari persekolahan; KPM menetapkan sehingga 190 hari setahun.
  • KWAPM (Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin) → bantuan khusus untuk membantu murid miskin supaya tidak tercicir daripada persekolahan.
  • BKP (Biasiswa Kecil Persekutuan) → antara bantuan kewangan pendidikan yang disenaraikan KPM untuk murid yang memenuhi syarat.
  • Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (EMBPK) → bantuan khusus untuk murid yang memenuhi syarat berkaitan pendidikan khas.

8. Bantuan zakat
Bagi orang Islam yang layak, boleh memohon bantuan daripada institusi zakat negeri masing-masing.

Contohnya bantuan boleh melibatkan:

  • sara hidup
  • pendidikan
  • perubatan
  • sewa/rumah
  • bantuan kecemasan
  • modal perniagaan

Cara mohon:
Bergantung kepada negeri. Contohnya di Selangor, permohonan dibuat melalui saluran rasmi institusi zakat negeri dan biasanya memerlukan dokumen pendapatan, tanggungan, tempat tinggal dan dokumen sokongan berkaitan.

9. Bantuan pekerjaan & latihan
Kerajaan juga menyediakan program pekerjaan dan latihan kemahiran untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan pendapatan.

MYFutureJobs
Portal pekerjaan nasional yang dikendalikan PERKESO. Boleh cari kekosongan kerja, daftar sebagai pencari kerja dan dapatkan khidmat padanan pekerjaan.

TVET
Kalau nak belajar kemahiran seperti automotif, elektrik, kimpalan, penyelenggaraan, teknologi dan sebagainya, boleh semak institusi TVET kerajaan dan permohonan melalui UP_TVET.

HRD Corp
Terdapat pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan pekerjaan, bergantung kepada program serta kelayakan peserta.

Program penempatan pekerjaan PERKESO
PERKESO juga menjalankan program padanan pekerjaan, karnival kerjaya dan penempatan pencari kerja dengan majikan.

10. Bantuan membaiki atau membina rumah
Program bantuan perumahan turut merangkumi pembinaan baharu dan baik pulih rumah, khususnya bagi isi rumah miskin tegar.

Contoh 1 : Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar

KPKT ada Program Baik Pulih Rumah Daif di Bandar untuk isi rumah yang memenuhi syarat kemiskinan, termasuk yang disahkan dalam eKasih.

Contohnya rumah mengalami:

  • bumbung rosak
  • kerosakan akibat banjir/ribut/kebakaran
  • kerosakan kecil kerana faktor usia
  • keadaan rumah yang tidak lagi selesa tetapi masih ekonomik untuk dibaiki

Kadar bantuan maksimum yang dinyatakan KPKT ialah RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

11. Bantuan / inisiatif sewa rumah mengikut negeri

  • Selangor → Skim Smart Sewa – sewa pada kadar berpatutan + 30% bayaran sewa boleh dikumpulkan untuk membantu pemilikan rumah.
  • Johor → Bantuan Sewa Rumah Perumahan Kasih Johor – bantuan RM2,500 kepada penerima yang layak. Antara penambahbaikan yang diperluaskan bagi Bantuan Sewa Rumah ialah syarat kelayakan dengan membuka peluang kepada pelajar IPTA/IPTS di Negeri Johor untuk memohon.
  • Sarawak → Skim Bantuan Sewa Rumah (SRAS) – bantuan sewa untuk isi rumah yang memenuhi syarat.
  • Perak → Skim Bantuan Sewa Rumah MAIPk – bantuan sewa sehingga RM500 sebulan untuk asnaf yang layak.

12. Nak berniaga tetapi perlukan bantuan

Contohnya di Selangor:

  • Dana Usahawan Madani Selangor menyediakan bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan perniagaan sehingga RM30,000, tertakluk kepada syarat kelayakan. Ini geran bukan pinjaman. Tetapi setiap program ada syarat, kategori penerima dan tempoh permohonan tersendiri.
  • Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan Negeri Selangor menyediakan bantuan berbentuk mesin dan peralatan kepada usahawan kecil bernilai sehingga RM10,000. Program ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan taraf ekonomi peniaga kecil melalui pemberian bantuan peralatan atau mesin berdasarkan perniagaan yang sedang dijalankan.

Jadi, betul ke “banyak keistimewaan jadi miskin”?

Banyak bantuan disediakan untuk mereka yang berada dalam keadaan miskin atau berpendapatan rendah. Dan bantuan ini bukan bermaksud hidup mereka lebih mudah.

Sebab di sebalik setiap bantuan itu ada satu perkara yang kita selalu terlupa:

Miskin tetap bermaksud mempunyai sumber kewangan yang terhad.

Bantuan kerajaan mungkin meringankan beban, tetapi tidak semestinya mengubah kehidupan seseorang menjadi senang.

Bantuan ialah jaring keselamatan. Bukan tiket untuk hidup mewah.

Bantuan ini diwujudkan untuk membantu mereka yang layak. Gunakan bantuan sebagai ruang untuk meringankan beban, bukan untuk mengambil kesempatan.

Dan jangan lupa, Islam juga mengajar kita untuk berusaha mencari rezeki.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri.”
— Riwayat al-Bukhari