Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Anjur Persidangan Perbankan Malaysia Edisi Kedua Bersama Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) Untuk Memacu Agenda Kewangan Lestari Dan Pembinaan Kapasiti Tenaga Kerja Negara  

Kuala Lumpur (27 Jun 2023): Memandangkan Malaysia berusaha untuk mencapai peralihan kepada sifar bersih menjelang tahun 2050, negara terus menghadapi cabaran yang ketara dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, yang sebahagian besarnya berpunca daripada sektor tenaga dan pengangkutan. Kesedaran yang semakin meningkat terhadap kebimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) adalah menggalakkan, terutamanya isu-isu perubahan iklim dan impaknya kepada sektor kewangan.  Pengawal selia kewangan di seluruh dunia telah mempertingkatkan standard keperluan pelaporan ESG bagi mendorong institusi kewangan menggabungkan prinsip ESG, langkah penzahiran dan pengurangan risiko dalam strategi, keputusan dan rangka kerja risiko perniagaan mereka untuk menyokong usaha-usaha ESG kebangsaan.  

Meskipun bank-bank mempunyai peranan yang penting untuk dilaksanakan dalam menggalakkan kelestarian, mereka juga mempunyai peranan pemangkin untuk mencipta perubahan yang ketara terhadap penyahkarbonan selain memberikan komitmen kepada pinjaman dan amalan transformatif untuk mengurangkan impak perubahan iklim dan membina sistem perbankan yang lebih beretika. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh sektor kewangan untuk menyokong daya tahan dan kesiapsiagaan negara untuk cabaran berkaitan iklim.  Hal ini memerlukan kerjasama yang kukuh antara sektor awam dengan swasta merentas semua industri dan bersama organisasi antarabangsa, penglibatan yang meningkat dalam inisiatif iklim serantau, dan peruntukan yang mencukupi untuk menghasilkan impak yang positif untuk masyarakat dan planet bumi ini.    

Edisi kedua Persidangan Perbankan Malaysia (MBC) – Perbankan dan Revolusi ESG: Melangkaui Aspirasi,  dianjurkan secara bersama oleh AICB dan ABM pada 26-27 Jun 2023 di Shangri-La Kuala Lumpur menampilkan perbincangan yang berwawasan, perdebatan yang menarik dan perkongsian pengetahuan yang meluas berkenaan dengan inisiatif ESG oleh industri, cabaran utama yang dihadapi oleh institusi kewangan, serta peluang untuk membangunkan penyelesaian yang praktikal dan berkesan kepada pengurusan pembiayaan dan risiko peralihan untuk mempercepat  transformasi kepada ekonomi karbon rendah dan lebih lestari.   

Sebagai sebuah platform untuk memperkukuh kepentingan perbankan yang lestari dan bertanggungjawab, Persidangan tersebut menghimpunkan agensi kerajaan, para pengawal selia, peneraju industri kewangan dan pakar kelestarian untuk suatu wacana yang sangat tepat pada masanya mengenai pelbagai tajuk, termasuk  antara lain inisiatif iklim Malaysia: iklim, biodiversiti dan risiko peralihan; pasaran karbon; pembiayaan peralihan; modal sosial; teknologi untuk menyokong peralihan yang saksama, dan penghijauan rantaian nilai.

Dalam ucapan pembukaannya, Pengerusi AICB Tan Sri Azman Hashim berkata, “Sektor kewangan memainkan peranan yang penting dalam memacu agenda kelestarian dan iklim. Sebagai pegawai bank, kita mempunyai kuasa untuk mengurangkan kemiskinan, membina komuniti, menjana peluang pekerjaan baharu, dan memupuk warga kerja berfokuskan ESG dan berorientasikan masa hadapan. Pembinaan keupayaan dan kapasiti adalah penting dan AICB sedang menumpukan usahanya terhadap pembinaan kompetensi industri ini menerusi kelayakan profesional kami dan platform seperti persidangan ini akan terus menyokong sektor kewangan dan negara dalam mempercepat peralihan kepada ekonomi karbon rendah dan memperkukuh keyakinan orang ramai.” 

Pengerusi ABM, Dato’ Khairussaleh Ramli, berkata, “Bank-bank di Malaysia telah mula bekerjasama dengan para pelanggan dalam inisiatif penyahkarbonan mereka dan saya percaya bahawa perniagaan akan terdorong untuk memperluas perspektif mereka, iaitu menerapkan pandangan berorientasikan kewangan untuk mengenal pasti impak perubahan iklim kepada model perniagaan mereka melangkaui jejak karbon mereka sendiri, serta mencetuskan kesan domino merentas seluruh rantaian nilai.” Beliau menambah, “Memandangkan bank-bank menerajui usaha dalam merealisasikan peralihan yang adil untuk pelanggan mereka, mereka tidak seharusnya hanya menangani elemen ‘E’ (Alam Sekitar) dan ‘G’ (Tadbir Urus), tetapi juga elemen ‘S’ (Sosial) untuk mengambil pendekatan yang holistik serta memastikan bahawa tiada sesiapa yang dibiarkan keciciran.”    

Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, semasa menyampaikan ucaptama persidangan, berkata: “Kita boleh dan mesti berusaha mengubah impak perubahan iklim yang mungkin membawa bencana ke atas Malaysia. Namun, ruang dan peluang untuk kita berbuat demikian semakin sukar dan mengecil bulan ke bulan. Sebuah negara perlu mengukuhkan usaha awam-swasta yang bersepadu untuk menggembleng pembiayaan atau modal yang cukup bagi melaksanakan penyahkarbonan ekonomi dan mencapai agenda ESG, dan dalam masa yang sama memupuk pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh. Untuk itu, saya amat berharap agar industri kewangan Malaysia akan bekerjasama rapat dengan MITI untuk mempertingkatkan kerjasama dalam pembiayaan dan pelaburan ESG secara lebih berani dan lebih agresif, terutamanya untuk memperkasakan PKS di dalam rantaian nilai pembuatan, pelaburan dan perdagangan kita.”

Yang Berhormat Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dalam Ucapan Khas Menteri menggesa bank-bank Malaysia untuk menerajui usaha menerapkan kelestarian.

“Sama ada melalui operasi bank-bank, produk yang ditawarkan atau jenis projek perniagaan yang dibiayai oleh mereka, bank-bank kita hendaklah ‘melestarikan kewangan dan membiayai kelestarian’. Meskipun demikian, kita juga harus berhati-hati dalam menerapkan perubahan pemikiran, agar usaha yang dilakukan tidak didorong oleh keuntungan semata-mata.  

“‘Greenwashing’, amalan menerapkan kelestarian secara luaran sahaja tanpa melaksanakan keperluan dan maksudnya yang sebenar, hendaklah dikekang.”

Barisan penceramah terkenal di Persidangan merangkumi para pengawal selia, pakar ESG dan peneraju industri perbankan dan kewangan daripada institusi terkemuka, termasuk antara lain Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Pembangunan Asia (ADB), Bursa Malaysia Berhad, Maybank, Standard Chartered Bank, Perbadanan Kewangan Antarabangsa, Climate Impact X, Inisiatif Kewangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), AmBank, Tenaga National Berhad, dan Sime Darby Plantation.

Di samping Persidangan, beberapa perbincangan meja bulat industri dan media peringkat tinggi dan tertutup diadakan untuk meninjau secara lebih mendalam naratif dan isu ESG di Malaysia.  

MBC 2023 menarik lebih 500 delegasi daripada institusi kewangan tempatan dan antarabangsa. 

Berasaskan momentum MBC 2023, AICB, sebagai ahli pengasas dan ahli lembaga kepada Lembaga Piawaian Pendidikan Perbankan Global (GBEStB), akan menganjurkan Persidangan Institut Perbankan Dunia (WCBI) kali ke-24 pada 28 Jun 2023 di Kuala Lumpur untuk memacu perbincangan tentang pembinaan kemahiran yang penting bagi tenaga kerja perbankan era baharu dalam dunia tanpa sempadan selain mengilhamkan strategi serta idea yang boleh diambil tindakan untuk bank dan institut pendidikan perbankan melakukan transformasi, menyesuaikan serta mempersiapkan diri untuk masa hadapan. 

WCBI 2023 bakal menyaksikan pengenalan dua Piawaian baharu, iaitu Prinsip Risiko Perbendaharaan (Treasury Risk Principles) serta Risiko Operasi dan Daya Tahan (Operational Risk and Resilience), yang menyediakan panduan tambahan kepada pengetahuan dan kecekapan penting yang menjadi asas kepada kerjaya sebagai pegawai bank yang profesional. Piawaian baharu ini diselaraskan dengan rapi dan dibina berasaskan prinsip lima Piawaian GBEStB sedia ada yang saling menyokong dan membentuk panduan yang komprehensif terhadap kefahaman prinsip perbankan teras. 

Ketahui lebih lanjut acara akan datang yang dianjurkan oleh AICB di  https://www.aicb.org.my/events/upcoming.  

Previous ArticleNext Article

Kenapa CIMB Pertimbang Bawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa Saham Indonesia?

Pada 21 Oktober 2026, beberapa laporan media kewangan menyatakan CIMB Group Holdings Bhd, kumpulan perbankan dari Malaysia, sedang menilai kemungkinan membawa anak syarikatnya, PT Bank CIMB Niaga Tbk, keluar daripada Bursa Saham Indonesia atau Indonesia Stock Exchange (IDX).

Bagaimanapun, pada 22 Oktober 2026, CIMB Group mengeluarkan kenyataan menafikan bahawa pihaknya mempunyai rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga. Kumpulan itu menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat dan tiada cadangan rasmi dikemukakan berhubung perkara tersebut.

Walaupun begitu, laporan awal berkenaan memberikan gambaran tentang cabaran yang dihadapi syarikat tersenarai apabila perlu memenuhi peraturan pasaran saham dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

1. Peraturan Free Float Semakin Ketat

Antara faktor utama yang mencetuskan spekulasi tersebut ialah perubahan peraturan Bursa Saham Indonesia berkaitan free float, iaitu peratusan saham syarikat yang tersedia untuk dagangan pelabur awam.

CIMB Group dilaporkan memiliki kira-kira 91.4% saham CIMB Niaga. Pegangan yang besar ini menyebabkan bahagian saham yang tersedia untuk dagangan awam menjadi terhad.

Berdasarkan peraturan baharu yang dilaporkan, CIMB Niaga perlu meningkatkan pegangan saham awamnya kepada sekurang-kurangnya 12.5% menjelang Mac 2027 dan 15% menjelang Mac 2028.

Bagi memenuhi keperluan ini, CIMB mempunyai beberapa pilihan, termasuk menjual sebahagian saham kepada pelabur strategik atau menerbitkan saham tambahan kepada pelabur awam.

Namun, setiap pilihan mempunyai implikasi tersendiri terhadap struktur pemilikan, penilaian saham dan kepentingan pemegang saham sedia ada.

2. Saham CIMB Niaga Dianggap Belum Mencerminkan Nilai Sebenar

Faktor kedua ialah penilaian saham atau valuation.

Menurut laporan analisis yang diterbitkan pada 21 Oktober, CIMB melihat saham CIMB Niaga sebagai undervalued, iaitu harga pasaran yang dianggap lebih rendah daripada nilai asas perniagaannya.

CIMB Niaga bukan sekadar sebuah bank yang beroperasi di Indonesia. Bank ini mempunyai perniagaan dalam perbankan korporat, pengurusan kekayaan, perbankan Islam dan perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan tinggi.

Pada 30 Jun 2026, CIMB Niaga dilaporkan mempunyai jumlah aset sekitar 382 trilion rupiah.

Jika harga saham tidak mencerminkan potensi perniagaan tersebut, penjualan pegangan kepada pelabur baharu mungkin tidak menghasilkan nilai yang dianggap memadai oleh pemegang saham induknya.

Dalam keadaan sedemikian, pemilik syarikat mungkin menilai sama ada lebih baik mengekalkan pemilikan jangka panjang berbanding menjual saham pada penilaian pasaran semasa.

3. Pasaran Saham Indonesia Berdepan Ketidaktentuan

Keadaan pasaran turut mempengaruhi pilihan yang tersedia kepada CIMB.

Kebimbangan mengenai ketelusan pasaran dan kemungkinan perubahan klasifikasi pasaran Indonesia oleh MSCI telah menjejaskan sentimen pelabur terhadap saham Indonesia.

Dalam keadaan pasaran yang lemah, usaha menjual sebahagian besar saham kepada pelabur awam melalui penawaran saham sekunder atau re-IPO mungkin menjadi kurang menarik.

CIMB juga perlu mempertimbangkan sama ada pelabur sanggup membeli saham pada penilaian yang memenuhi jangkaan kumpulan tersebut.

Oleh itu, penswastaan muncul sebagai salah satu pilihan yang dibincangkan oleh penganalisis dalam laporan awal berkenaan.

4. Apakah Maksud Membawa CIMB Niaga Keluar Dari Bursa?

Jika sesebuah syarikat dinyahsenaraikan atau delisted, sahamnya tidak lagi didagangkan di bursa saham berkenaan.

Sekiranya proses itu melibatkan penswastaan, syarikat induk lazimnya membeli sebahagian atau semua saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti, tertakluk pada struktur transaksi dan kelulusan yang diperlukan.

Bagi CIMB, langkah sedemikian secara teori boleh memberikan lebih banyak fleksibiliti dalam mengurus modal, menentukan strategi perniagaan dan merancang pertumbuhan CIMB Niaga tanpa tekanan pasaran saham awam yang sama.

Bagaimanapun, penyahsenaraian tidak semestinya bermaksud bank tersebut akan ditutup atau menghentikan operasinya. CIMB Niaga boleh terus beroperasi sebagai bank di Indonesia walaupun tidak lagi tersenarai di bursa.

5. Berapa Kos Untuk Membeli Keluar Pemegang Saham Minoriti?

Laporan media pada 21 Oktober memetik anggaran penganalisis bahawa pembelian keluar pemegang saham minoriti boleh menelan belanja sekitar RM800 juta, bergantung pada harga tawaran dan struktur transaksi.

Angka ini merupakan anggaran analisis, bukannya jumlah yang telah dipersetujui atau diumumkan secara rasmi oleh CIMB Group.

Kos sebenar akan bergantung pada harga saham ketika transaksi dilaksanakan, premium yang ditawarkan kepada pemegang saham minoriti serta sama ada semua pemegang saham minoriti perlu menjual pegangan mereka.

Selain itu, struktur tertentu mungkin membolehkan sebahagian pelabur institusi mengekalkan pegangan dalam entiti yang tidak lagi tersenarai, tertakluk pada peraturan dan kelulusan berkaitan.

Kesimpulan

Laporan mengenai kemungkinan penyahsenaraian CIMB Niaga memperlihatkan bagaimana perubahan peraturan pasaran, penilaian saham dan keadaan pasaran modal boleh mempengaruhi strategi sesebuah kumpulan perbankan.

Walau bagaimanapun, CIMB Group pada 22 Oktober 2026 menafikan laporan mengenai kemungkinan membawa CIMB Niaga keluar daripada Bursa Saham Indonesia. Kumpulan itu menjelaskan bahawa tiada keputusan atau cadangan rasmi dibuat berhubung perkara tersebut.

CIMB turut menegaskan bahawa CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian perbankan serantaunya dan kumpulan itu komited untuk meneruskan operasi di Indonesia serta mematuhi semua keperluan kawal selia yang berkenaan.


Sumber rujukan

  1. The Star — CIMB Group steps up efforts to pursue potential delisting of CIMB Niaga (21 Oktober 2026).
  2. The Edge Malaysia — CIMB weighs taking Indonesian unit private as potential secondary offering loses appeal — analysts (21 Oktober 2026).
  3. The Business Times — Malaysia’s CIMB explores taking Indonesian arm private amid market volatility (21 Oktober 2026).
  4. CIMB Group Holdings Bhd — kenyataan rasmi bertarikh 22 Oktober 2026 yang menafikan rancangan untuk memprivatisasikan CIMB Niaga.