Kemampuan Turunkan Defisit Fiskal Kepada Sasaran 3.5% Penentu Pengurangan Hutang Negara

KOTA KINABALU, 27 Jun (Bernama) — Kemampuan menurunkan defisit fiskal kepada sasaran 3.5 peratus menjelang akhir 2025 akan menjadi penentu kepada negara untuk mengurangkan hutang pada tahun-tahun berikutnya, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata sekiranya peratus itu dapat diturunkan berdasarkan sasaran dalam tempoh berkenaan, ia mampu memberi keyakinan pelabur antarabangsa bahawa negara mempunyai disiplin fiskal yang baik.

“Dengan keadaan hutang negara pada tahap RM1.5 trilion, sekiranya sasaran defisit fiskal itu tersasar, ia tidak akan membantu mengurangkan hutang negara mahupun kedudukan fiskal negara.

“Menjelang 2025 kalau kita kekal dengan pencapaian defisit yang ditetapkan, kita akan mula melihat hutang negara berkurang,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 bersama kerajaan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Rafizi berkata dengan pengurusan perbelanjaan itu pendekatan bagi golongan B40, M40 dan T20 perlu lebih tepat untuk mengukur kadar mampu belanja sesebuah isi rumah bagi memastikan subsidi dapat diberikan secara bersasar kerana ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM86 bilion setiap tahun.

“Kita sudah lakukan subsidi elektrik dengan dasar sedia ada telah pun dilaksanakan. Kerajaan dijangka dapat menjimatkan antara RM6 bilion hingga RM8 bilion setiap tahun bagi subsidi elektrik,” katanya sambil menjelaskan fokus seterusnya ialah subsidi diesel dan RON95.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Rafizi berkata permintaan Sabah agar peruntukan daripada kerajaan Persekutuan disalurkan ke akaun amanah yang dipantau oleh kerajaan negeri perlu diselaraskan dengan Kementerian Kewangan.

Beliau berkata perkara itu akan dilihat dari semua segi, selain banyak peraturan Perbendaharaan yang telah ditetapkan oleh kementerian yang perlu diteliti termasuk soal sama ada wang itu diletakkan dalam satu tabung amanah atau tidak.

“Ia perlu dikaji secara mendalam kerana soal wang pembangunan ini juga berkaitan dengan akta….semua itu perlu diperhalusi dengan mengkaji akta yang sedia ada juga,” katanya. 

Pada 23 Mei lepas semasa Persidangan Dewan Udangan Negeri Sabah, Hajiji mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menyalurkan lebihan peruntukan pembangunan bagi negeri itu ke dalam satu Akaun Amanah.

Sementara itu mengenai usaha untuk membantu beberapa daerah termiskin di Sabah, Rafizi berkata daerah terbabit menerima peruntukan terbanyak daripada kementeriannya dalam tempoh Januari lalu hingga kini, namun beliau tidak menyatakan jumlah yang disalurkan. 

“Beberapa pendekatan segera kita buat contohnya kita pastikan bahawa mereka diberi keutamaan dalam permohonan projek kecil. Ini akan berjalan cuma kita juga kena terima hakikat ada situasi unik di Sabah kerana banyak yang miskin ini mereka duduk jauh atau kadang-kadang dipisahkan dari segi logistik,” katanya.

Pada 8 Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementeriannya akan membantu membawa keluar tiga daerah termiskin di Sabah dari kategori daerah miskin tegar iaitu Pitas, Kota Marudu dan Tongod.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.