Maersk Nyatakan Hasrat Melabur Di Pelabuhan Tanjung Pelepas – MB Johor

JOHOR BAHRU, 6 Julai (Bernama) — Maersk, syarikat pengangkutan maritim dan logistik global, telah menyatakan hasrat untuk melabur di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, dengan potensi pelaburan yang signifikan, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ketika berkongsi mengenai perkara itu dalam hantaran di laman Facebook, beliau berkata perkara itu telah dinyatakan dalam pertemuan dengan syarikat tersebut di Singapura sempena lawatan kerja beliau selama tiga hari mulai semalam ke republik berkenaan.

“Adalah penting untuk kedua-dua pihak meneliti dan memperincikan setiap aspek perancangan pembangunan serta pelaburan jangka panjang untuk kawasan PTP.

“Kerajaan negeri yakin dengan pengalaman Maersk sebagai penyedia perkhidmatan logistik terbaik serta prestasi PTP sebagai pelabuhan ke-15 terbaik dunia, mampu menarik lebih ramai pelabur serta memangkin ekonomi Johor ke tahap lebih cemerlang, insya-Allah,” kata beliau.

Turut hadir ialah Pengerusi Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor di Singapura (JETCO) Datuk Seri Ir Hasni Mohammad; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim.

Pada Ogos 2022, Maersk dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang membabitkan perancangan untuk mewujudkan rangkaian hab logistik di Malaysia menerusi beberapa fasa sehingga 2030.

Bagi tahun lepas, Maersk berjaya merekodkan hasil pendapatan sebanyak US$81.5 bilion dengan tenaga sebanyak 110,000 pekerja di seluruh dunia.

Sementara itu, dalam hantaran lain, Onn Hafiz berkongsi mengenai pertemuannya dengan Menteri Pembangunan Singapura Desmond Lee, hari ini, dengan perbincangan menyentuh cadangan untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura di Wilayah Iskandar Malaysia.

Perbincangan lain pula berkaitan usaha Johor meningkatkan kerjasama dengan Singapura demi kepentingan bersama rakyat masing-masing.

“Johor dan Singapura saling melengkapi dan hubungan istimewa yang terjalin selama ini perlu terus diperkukuh demi kemakmuran bersama. 

“Kami turut berbincang mengenai persiapan bagi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) kali ke-16 yang akan diadakan di Singapura pada tahun ini,” kata beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama