Purata Harga Minyak Mentah Pada US$80 Setong Tahun Ini, Naik Kepada US$83 Pada 2024 — BMI

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) — Purata harga bagi minyak mentah Brent dijangka berada pada US$80 setong pada 2023 dan meningkat kepada US$83 setong pada 2024, kata syarikat Fitch Solutions, BMI.

Dalam laporan terbaharunya hari ini, BMI berkata ia menjangkakan permintaan daripada pasaran pesat membangun (EM) bagi memacu pertumbuhan, mengimbangi kemerosotan kecil dalam kalangan rakan pasaran maju (DM) mereka.

“Seperti yang dijangkakan, harga minyak telah mengukuh menuju ke suku ketiga, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi secara bermusim, pengurangan unilateral oleh Arab Saudi dan eksport Rusia yang lemah.

“Imbangan pasaran dilihat terhad sepanjang tahun ini, didorong oleh peningkatan berterusan dalam penggunaan minyak, gangguan bekalan dalam kalangan pengeluar utama dan pengurangan baharu oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu yang diketuai oleh Rusia (OPEC+) ,” kata BMI.

BMI berkata dengan minyak mentah Brent bulan hadapan yang kini didagangkan pada sekitar US$85 setong, ia menjangkakan pasaran kekal disokong baik pada suku ketiga, sebelum menurun pada suku keempat dan suku pertama.

“Secara keseluruhannya, secara amnya kami lebih yakin mengenai prospek pasaran tahun depan, apabila kemelesetan ekonomi semakin berkurangan dan aliran perdagangan global semakin meningkat,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian