KWSP Catat Jumlah Pendapatan Pelaburan RM33.19 Bilion Pada Separuh Pertama 2023

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion bagi separuh tahun pertama berakhir 30 Jun, 2023 (1H 2023), peningkatan sebanyak RM9.44 bilion, berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2022.

Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh tersebut, kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, RM4.79 bilion mewakili keuntungan ‘mark-to-market’ (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran mata wang asing.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, prestasi pasaran ekuiti global pada separuh tahun pertama 2023 adalah positif, diterajui oleh pasaran maju, khususnya di AS yang terus menunjukkan daya tahan walaupun kadar faedah meningkat.

“Ketangkasan dan kebolehsuaian KWSP dalam strategi pelaburannya membuka ruang kepada pengurus pelaburan untuk memanfaatkan peningkatan pasaran, sekali gus menyumbang kepada pulangan yang lebih tinggi daripada ekuiti dalam tempoh tersebut.

“Ini berbeza dengan prestasi pasaran ekuiti yang dilihat pada separuh tahun pertama 2022, yang menyaksikan beberapa indeks mengalami kemerosotan yang ketara, dengan kebanyakan pasaran termasuk AS mencatatkan prestasi separuh pertama terburuk mereka dalam beberapa dekad,” tambah beliau.

Amir Hamzah berkata bagi Malaysia, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada suku tahun pertama 2023 telah melangkaui jangkaan, didorong khususnya oleh permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan dalam pasaran buruh.

“Pertumbuhan yang berdaya tahan telah meredakan keadaan kewangan yang ketat, seterusnya memberikan ruang kepada pasaran modal domestik,” katanya lagi.

Jumlah pendapatan pelaburan KWSP bagi suku kedua (S2 2023) ialah RM18.03 bilion, meningkat RM9.05 bilion daripada RM8.98 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Pelaburan ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi S2 2023 pada RM9.60 bilion manakala kelas aset ini menjana pendapatan RM4.07 bilion pada suku yang sama pada 2022.

Sebahagian besar daripada peningkatan tersebut adalah disumbang oleh langkah proaktif dan ketepatan dalam merealisasikan keuntungan, disokong oleh peningkatan pasaran keuntungan sekuriti MTM. Selepas mengambil kira turun nilai kos, angka ini menyumbang 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku tersebut, katanya.

Pelaburan domestik KWSP, yang merangkumi 61.4 peratus daripada jumlah aset, telah meningkat sebanyak RM57 bilion berbanding setahun lalu.

KWSP berkata pihaknya kekal komited untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dengan terus memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

Pada S2 2023, sebanyak RM16.27 bilion daripada RM18.03 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Konvensional, manakala RM1.76 bilion untuk Simpanan Shariah.

Sementara itu, KWSP terus meningkatkan keahliannya kepada 15.90 juta pada separuh pertama 2023, dan daripada jumlah itu, ia mencapai paras tertinggi sebanyak 8.47 juta ahli aktif, yang kini mewakili 50.2 peratus daripada 16.86 juta tenaga buruh Malaysia.

Peningkatan ahli aktif adalah 467,087 daripada 8 juta pada separuh pertama 2022 kepada 8.47 juta pada separuh pertama 2023.

Pendaftaran majikan baharu juga menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 43,084 dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 598,871.

Pertambahan ahli aktif dan majikan menjadikan jumlah caruman diterima meningkat sebanyak RM50.48 bilion pada separuh pertama 2023, naik 16.8 peratus daripada RM43.23 bilion pada separuh pertama 2022.

Pemulihan pasaran buruh di Malaysia dan usaha berterusan KWSP untuk menggalakkan ahli mencarum secara sukarela telah membantunya merekodkan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif yang lebih baik, naik daripada 52:48 peratus pada S2 2022 kepada 53:47 peratus pada S2 2023.

Pada separuh pertama 2023, KWSP mencatatkan pertumbuhan 36 peratus dalam jumlah pencarum sukarela kepada 535,307 daripada 393,966 pada separuh pertama 2022.

Jumlah caruman terkumpul ialah RM3.93 bilion pada separuh pertama 2023, meningkat sebanyak 46 peratus daripada RM2.70 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, bilangan ahli sektor formal yang memilih untuk menyumbang lebih daripada kadar berkanun ialah 31,128 pada separuh pertama 2023, berbanding 9,765 pada separuh pertama 2022.           — BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.