Untung Bersih Suku Kedua KLCCP Stapled Group Meningkat Kepada RM180.8 Juta

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) — KLCCP Stapled Group mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM180.8 juta bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun, 2023, daripada RM165.18 juta bagi suku sama tahun lepas, didorong oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen hotel dan perkhidmatan pengurusan.

Kumpulan itu meliputi KLCC Property Holdings Bhd dan KLCC Real Estate Investment Trust (KLCC Reit).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata perolehan hasilnya turut meningkat kepada RM394.63 juta dalam suku berkenaan daripada RM350.31 juta, dipacu oleh peningkatan prestasi semua segmen perniagaan susulan pertambahan aktiviti perniagaan dan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE).

Selain itu, dalam kenyataan berasingan, ia berkata segmen pejabat terus menjana pulangan lebih stabil yang diterajui oleh Menara Berkembar Petronas, Menara 3 Petronas, Menara ExxonMobil dan Menara Dayabumi dengan hasil dan keuntungan sebelum cukai masing-masing sebanyak RM145.4 juta dan RM119.6 juta.

Suria KLCC serta podium runcit Menara 3 Petronas yang mewakili segmen runcit, mencatat hasil lebih tinggi sebanyak RM128.5 juta, peningkatan sebanyak 2.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM97.2 juta.

“Segmen hotel dan perkhidmatan pengurusan juga meningkat, didorong oleh kehadiran pihak penaung hotel dan pertambahan aktiviti penyelenggaraan yang dijalankan oleh segmen pengurusan fasiliti,” katanya.

Menurutnya, segmen hotel yang merangkumi Mandarin Oriental Kuala Lumpur, terus mencatat prestasi memberangsangkan pada suku kedua 2023 susulan kadar penginapan yang lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Md Shah Mahmood berkata kumpulan berkenaan menjangkakan pertumbuhan positif tersebut akan berterusan sehingga suku akan datang dengan peningkatan semula aktiviti acara dan pelancongan MICE domestik serta antarabangsa.

Lembaga Pengarahnya telah mengumumkan dividen 8.8 sen bagi sesaham dengan pembayaran setakat ini pada 17.3 sen.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan MADANI Sasar Senaraikan 10 Syarikat Bumiputera Di Bursa Malaysia Pada 2026, 2027

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 syarikat Bumiputera disasar untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2026 dan 2027, dengan empat daripadanya berada dalam perancangan bagi disenaraikan tahun ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penyenaraian itu susulan hasil Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, sasaran itu jauh melebihi pencapaian lima tahun sebelumnya.

“Bagi menyokong sasaran berkenaan, program ’10 Juara Bumiputera’ hasil kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah diperkenalkan untuk membimbing syarikat berpotensi tinggi serta melahirkan 10 syarikat Bumiputera bernilai RM500 juta setiap satu menjelang 2028,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Fahmi berkata ekosistem PETRONAS, GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan salah satu penyumbang penting kepada agenda pembangunan bumiputera negara.

Beliau berkata, ekosistem berkenaan telah menyumbang RM50 bilion setahun, termasuk RM49.2 bilion pada tahun lalu, merangkumi pelaburan langsung, perolehan vendor, pembangunan bakat dan komuniti.

“Pada masa yang sama, garis panduan baharu pembangunan vendor Bumiputera turut diperkenalkan bagi memperkukuh saluran pembangunan vendor serta meningkatkan kapasiti mereka secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga sedang meneliti cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) agar tempoh bayaran GLC dan GLIC kepada vendor tempatan dipendekkan bagi memastikan aliran kewangan atau ‘cash flow’ syarikat dan vendor tempatan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Sementara itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai prestasi operasi pelabuhan persekutuan bagi suku pertama tahun ini yang mencatat 8.002 juta unit setara 20 kaki (TEU), menunjukkan peningkatan 8.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini dipacu oleh peranan negara sebagai penghubung utama bagi barangan dunia melalui aktiviti pemunggahan pindahan ke kapal atau transshipment yang mencatat pertumbuhan 9.96 peratus berbanding suku pertama 2025,” katanya.

Beliau berkata, kargo konvensional turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, terutama bagi kargo am yang meningkat 8.93 peratus dan kendalian pukal kering yang bertambah sebanyak 3.55 peratus.

“Prestasi ini amat membanggakan walaupun ketika negara berdepan dengan krisis geopolitik di Asia Barat yang bermula sekitar suku pertama tahun ini,” katanya.

— Berita Harian